|

Definisi dan Huraian 36 Nilai Murni Pendidikan Moral SPM

Nilai Murni Pendidikan Moral SPM

Berikutnya definisi nilai murniPendidikan Moral dan kata kunci serta huraian yang membantu pelajar menulis jawapan soalan Pendidikan Moral.

Nilai Murni Berkaitan Dengan Perkembangan Diri

Kepercayaan kepada Tuhan

Keyakinan wujudnya Tuhan sebagai pencipta alam dan mematuhi segala suruhannya berlandaskan pegangan agama masing-masing selaras dengan prinsip rukun negara.

  • Mematuhi ajaran Tuhan
  • Mengamalkan ajaran agama
  • Menuruti tuntutan agama
  • Mempunyai pegangan agama yang kukuh
  • Bertindak mengikut ajaran agama

Nota Nilai Kepercayaan kepada tuhan

Amanah

Sikap bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kepercayaan dan keyakinan orang lain.

  • Mengamalkan  sikap yang boleh dipercayai  oleh orang lain dalam menjalankan tanggungjawab diberi
  • Bersifat jujur

Nota Nilai Amanah

Harga Diri

Keupayaan dan keyakinan diri agar mampu memulia dan menjaga maruah diri dalam kehidupan.

  • Menjaga nama baik/imej diri dan keluarga
  • Mengharumkan nama…

Nota Nilai Harga Diri

Bertanggungjawab

Kesanggupan diri seseorang untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan dengan sempurna.

  • Menjalankan kerja/tugas yang diberi dengan baik
  • Memainkan peranan sebagai… dengan baik
  • Menjaga kebajikan …
  • Tahu peranan…ialah …
  • … diurus dengan baik

Nota Nilai Bertanggungjawab

Hemah Tinggi

Beradab sopan dan berbudi pekerti mulia dalam pergaulan seharian.

  • Berbudi bahasa
  • Besikap bersopan santun
  • Berperibadi mulia
  • Berakhlak baik
  • Menjaga imej diri…agar tidak dipandang serong

Nota Nilai Hemah Tinggi

Toleransi

Kesanggupan bertolak ansur, sabar dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham demi kesejahteraan hidup.

  • Mengawal perasaan/emosi
  • Besikap sabar dan tenang
  • Bersikap liberal
  • Tidak bertindak terburu-buru

Nota Nilai Toleransi

Berdikari

Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain.

  • Tidak mengharapkan bantuan …
  • Melakukan tugas/perkara dengan sendiri

Nota Nilai Berdikari

Kerajinan

Usaha yang berterusan penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan berdaya maju dalam melakukan sesuatu perkara.

  • Tidak mudah putus asa
  • Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh  dalam … untuk mencapai kejayaan
  • Berupaya menghadapi cabaran dan rintangan dengan semangat yang kuat

Nota Nilai Kerajinan

Kasih Sayang

Kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.

  • amat menyayangi …
  • Mengambil berat terhadap…
  • Berperasaan sayang yang kekal abadi
  • Prihatin terhadap…

Nota Nilai Kasih Sayang

Keadilan

Tindakan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

  • Tidak pilih kasih terhadap…
  • Mengambil tindakan yang sama terhadap kedua-dua pihak tanpa mengira/dipengaruhi oleh pangkat dan keturunan
  • Membuat keputusan yang tidak menyebelahi satu pihak sahaja

Nota Nilai Keadilan

Rasional

Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan berasaskan pertimbangan yang wajar.

  • Memikirkan kesan/akibat/implikasi…
  • Boleh membuat pertimbangan yang baik dengan …
  • Berfikir sebelum bertindak
  • Mengambil kira …
  • Menimbangkan kesan positif…
  • Ambil tindakan/langkah terbaik dengan mengambil kira…

Nota Nilai Rasional

Kesederhanaan

Bersikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan tanpa mengabaikan kepentingan diri dan orang lain.

  • Bersikap tidak melampau dalam…
  • Tidak mengabaikan kebajikan /perasaan/diri dan orang lain
  • Tidak bercakap/ bertutur keterlaluan
  • Tidak bertindak di luar batasan

Nota Nilai Kesederhanaan


Nilai Murni Berkaitan Dengan Kekeluargaan

Kasih Sayang terhadap keluarga

Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan terhadap keluarga.

  • Menyayangi anggota keluarga
  • Sayangi anggota keluarga dengan kekal abadi
  • Berperasaan amat menyayangi/mencintai  anggota keluarga
  • Terus menyayangi…

Nota Nilai Kasih Sayang terhadap keluarga

Hormat dan taat kepada anggota keluarga

Memuliakan setiap anggota keluarga dengan berinteraksi dan memberi layanan secara bersopan untuk mewujudkan keluarga yang harmonis.

  • Sanjungi setiap anggota keluarga
  • Memberi layanan yang baik terhadap anggota keluarga
  • Mempunyai hubungan yang mulia/baik dengan anggota keluarga
  • Menghargai…

Nota Nilai Hormat dan taat kepada anggota keluarga

Mengekalkan tradisi kekeluargaan

Menerima, menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan, adat dan kepercayaan yang diwarisi secara turun-temurun dalam keluarga.

  • Menerima warisan/amalan yang diwarisi keluarga
  • Menghormati adat resam keluarga
  • Mengamalkan adat resam dan pantang larang nenek  moyang

Tanggungjawab terhadap keluarga

Kewajipan yang harus dilaksanakan oleh setiap individu terhadap keluarga untuk melahirkan keluarga bahagia, meningkatkan imej dan menjaga maruah keluarga.

  • Peranan terhadap keluarga yang harus dilaksanakan oleh setiap anggota keluarga
  • Untuk mewujudkan keluarga sejahtera /menjaga nama baik keluarga
  • Berasa gembira dapat…

Nilai Murni Berkaitan Dengan Alam Sekitar

Menyayangi dan menghargai Alam Sekitar

Kesedaran tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekeliling untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem.

  • Sedar kepentingan menjaga alam sekitar
  • Tidak mengugat/mengancam kepentingan ekosistem
  • Tidak memusnahkan/merosakkan flora dan fauna
  • Habitat haiwan dan tumbuhan tidak musnah/pupus
  • Menjaga alam sekitar dan membaik pulih alam sekitar

Keharmonian antara manusia dengan alam sekitar

Keadaan saling memerlukan hubungan yang harmonis antara manusia dengan alam sekeliling supaya kualiti kehidupan manusia dan alam sekeliling terpelihara.

  • Menjaga hubungan yang baik/sejahtera antara manusia dan alam
  • Menjaga kualiti kehidupan  antara manusia dan alam
  • Kekalkan flora dan fauna

Kemapanan Alam Sekitar

Pengekalan keseimbangan alam sekeliling sebagai tanggungjawab bersama untuk kesejahteraan hidup.

  • Memikul tugas bersama bagi mengekalkan keseimbangan alam sekitar
  • Menjaga alam secara maufakat
  • Bekerjasama bagi menjaga alam sekitar
  • Memainkan peranan secara bersemangat berpasukan bagi memelihara alam sekitar
  • Memelihara hutan simpanan
  • Memastikan ekosistem terpelihara
  • Peranan semua pihak menjaga alam sekitar

Peka terhadap isu-isu Alam Sekitar

Prihatin terhadap persoalan yang berkaitan dengan alam sekeliling dan berusaha menyelesaikannya.

  • Mengambil berat masalah alam sekitar
  • Berganding bahu menyelesaikan masalah alam sekitar
  • Sedar masalah yang berlaku
  • Berusaha menangani masalah yang berlaku

Nilai Murni Berkaitan Dengan Patriotisme

Cinta akan Negara

Perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri.

  • Menyayangi dan kagum terhadap negara
  • Mengutamakan kepentingan negara
  • Menyokong usaha/program negara
  • Cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap negara

Taat Setia kepada Raja dan Negara

Kepatuhan dan kesetiaan yang berkekalan kepada Raja dan Negara.

  • Mengutamakan raja dan negara
  • Menurut/ Menjunjung perintah raja dan negara
  • Patuh kepada raja dan negara

Sanggup berkorban untuk Negara

Kerelaan melakukan atau menyerahkan sesuatu termasuk nyawa sebagai tanda kebaktian untuk Negara.

  • Sanggup menggadai nyawa untuk negara
  • Mencurah bakti kepada negara
  • Bersedia berkhidmat/memberi sumbangan kepada negara

Nilai Murni Berkaitan Dengan Hak Asasi Manusia

Melindungi Hak kanak-kanak

Membela, memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna.

  • Menegakkan hak kanak-kanak
  • Menjaga hak kanak-kanak
  • Memastikan keperluan kanak-kanak dipelihara
  • Menjamin keselamatan kanak-kanak

Menghormati Hak Wanita

Melindungi hak wanita dan mengiktiraf wanita sebagai individu yang boleh memberi sumbangan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

  • Menjaga hak wanita
  • Menghargai sumbangan wanita

Melindungi hak pekerja

Menghormati, menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan, jasa dan sumbangan golongan pekerja dalam pembangunan Negara.

  • Memelihara hak pekerja
  • Menjaga hak pekerja dan kebajikan golongan pekerja

Menghormati hak golongan kurang berupaya

Memberi layanan yang bersopan kepada golongan kurang berupaya supaya tidak berasa tersisih dan mengiktiraf mereka sebagai insan ciptaan Tuhan.

  • Menjaga hak golongan kurang berupaya
  • Memberi layanan yang baik kepada golongan kurang berupaya
  • Tidak memandang serong/rendah golongan kurang berupaya
  • Tidak pinggir golongan kurang berupaya
  • Menghargai golongan kurang berupaya

Melindungi hak pengguna

Membela dan memelihara hak individu untuk menjadi pengguna yang berilmu, mendapat perkhidmatan serta barangan yang berkualiti dan tidak mudah dieksploitasi.

  • Menegakkan hak pengguna
  • Menjaga kebajikan pengguna
  • Memastikan pengguna tidak ditindas oleh pengeluar
  • Menjaga hak pengguna agar tidak ditindas

Nilai Murni Berkaitan Dengan Demokrasi

Mematuhi peraturan dan undang-undang

Menerima dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di mana seseorang itu berada.

  • Akur dengan peraturan dan undang-undang
  • Tidak melanggar peraturan dan undang-undang
  • …adalah salah di sisi undang-undang
  • …agar tidak dikenakan tindakan demerit/rotan/penjara/denda wang

Kebebasan bersuara

Kebebasan berucap dan mengeluarkan fikiran dengan batasan tertentu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman.

  • Bebas mengeluarkan kata-kata dengan batasan
  • Bebas memberi idea dengan batasan/syarat
  • Mengemukakan pendapat dengan batasan/syarat
  • Bebas bercakap/berhujah dengan syarat

Kebebasan beragama

Kebebasan setiap individu untuk menganuti dan mengamalkan agamanya seperti yang diperuntukkan dalam Perlembangan Malaysia.

  • Bebas memilih agama dan mempraktikkan agama yang dianuti
  • Bebas melibatkan diri dalam akiviti keagamaan yang dianuti

Penglibatan diri dalam pembangunan Negara

Kebebasan untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pembangunan negara dengan mematuhi peraturan, undang- undang dan Perlembagaan Malaysia.

  • Melibatkan diri/menyertai program pembangunan negara
  • Menyokong program/aktiviti pembagunan negara

Sikap keterbukaan

Bersedia memberi dan menerima pandangan, pembaharuan dan kritikan selaras dengan kebenaran fakta dan norma masyarakat Malaysia.

  • Berlapang dada dalam menerima kritikan/pandangan
  • Menerima pendapat dengan hati yang terbuka

Nilai Murni Berkaitan Dengan Keamanan & Keharmonian

Hidup Bersama Secara Aman

Hidup berbaik-baik antara satu sama lain dengan mengutamakan kedamaian dan keharmonian hidup tanpa mengira agama, bangsa, dan budaya.

  • Hidup secara aman damai/harmoni antara satu sama lain
  • Mementingkan  kesejahteraan dan kedamaian hidup
  • Tiada pertelingkahan /perbalahan/ konflik/ pergaduhan/ peperangan
  • Tidak bertelagah dengan negara lain
  • Memastikan keamanan sejagat

Saling Membantu dan Bekerjasama

Usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat.

  • Tolong-menolong antara satu sama lain
  • Bermuafakat

Saling Menghormati antara Negara

Menghargai dan memuliakan hubungan antara negara untuk menjamin kesejahteraan sejagat.

  • Menjalinkan hubungan yang baik antara negara
  • Mempunyai hubungan diplomatik yang baik antara negara
  • Mementingkan hubungan diplomatik antara negara
  • Mengekalkan hubungan baik

Similar Posts