|

Contoh Karangan SPM: Cara memupuk gaya hidup sihat

Cara memupuk gaya hidup sihat

Aspek kesihatan telah menjadi mangsa kerakusan industri pengeluaran negara. Huraikan cara – cara yang boleh memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan remaja.

Cara-cara untuk memupuk gaya hidup sihat

Dalam arus pemodenan ini, gaya hidup masyarakat berubah mengikut peredaran zaman. Pada zaman dahulu, masyarakat banyak menghabiskan waktu dengan melakukan kerja- kerja berat tanpa bantuan peralatan jentera. Berbeza pada hari ini, masyarakat banyak menghabiskan masa bekerja menghadap peranti elektronik yang menyebabkan kita tidak mengeluarkan peluh. Tambahan pula teknologi pemprosesan makanan menyebabkan wujudnya makanan yang tidak berkhasiat dan merosakkan tubuh badan. Persoalannya apakah cara untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat hari ini?

Peranan Ibu bapa

Aspek utama yang signifikan dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat ialah peranan keluarga dan ibu bapa. Ibu bapa merupakan dua insan yang bertanggungjawab untuk mengatur jadual kehidupan anak bermula dari bangkit tidur seawal enam pagi. Mereka hendaklah menyediakan makanan seimbang bermula dengan sarapan yang berkhasiat. Aktiviti ini hendaklah dijadikan rutin harian agar anak-anak akan mengamalkan gaya hidup sihat yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka sejak kecil lagi sesuai dengan peribahasa Melayu yang mengatakan ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Malah usaha ibu bapa ini akan dapat membentuk sebuah keluarga yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Kantin sekolah menjual makanan yang memenuhi piawaian piramid makanan

Selain aspek utama tersebut, pentadbir sekolah hendaklah memastikan pengusaha kantin menjual makanan yang memenuhi piawaian piramid makanan agar pelajar-pelajar dapat mengambil makanan seimbang di sekolah. Mereka hendaklah dipantau setiap enam bulan agar tiada penjualan kudap-kudapan yang boleh merosakkan matlamat gaya hidup sihat. Pada masa sama, pentadbir sekolah perlu menangani peniaga-peniaga di luar sekolah yang menjual pelbagai makanan ringan yang tidak menepati amalan gaya hidup sihat. Pentadbir sekolah hendaklah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani masalah ini dengan bijak seperti menarik rambut di dalam tepung, tepung tidak berselerak rambut tidak putus.

Program Rakan Muda

Di samping usaha pihak sekolah, kerajaan juga memainkan peranan besar dalam usaha memupuk gaya hidup sihat. Pada sedekad yang lalu, Kementerian Belia dan Sukan pernah memperkenalkan Program Rakan Muda yang berjaya menobatkan belia negara. Program ini merupakan salah satu aktiviti gaya hidup sihat yang diperkasakan oleh Kementerian Belia dan Sukan dan mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan yang lain. Kejayaan program Rakan Muda boleh menjadi kayu pengukur atau panduan untuk kerajaan menganjurkan program yang sedemikian. Secara tidak langsung, amalan gaya hidup sihat dapat diadakan dengan skala besar yang membabitkan semua pelajar sekolah, remaja, dan belia negara.

Kemudahan taman rekreasi

Aspek lain yang turut signifikan dalam usaha ini ialah peranan pemaju perumahan. Pemaju perumahan tersebut hendaklah menyediakan prasarana atau kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman agar dapat menggalakkan penduduk sekitar untuk melakukan aktiviti riadah dan senaman setiap hari. Sebagai contoh, syarikat Sime Darby yang membangunkan kawasan perumahan Elmina 8 telah menyediakan kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan orang ramai dan menjadi lokasi popular bagi peminat sukan berbasikal. Keindahan kawasan rekreasi tersebut pada waktu malam dengan hiasan lampu neon menjadikan kawasan tersebut lokasi tumpuan orang ramai bersenam pada waktu malam. Secara tidak langsung kawasan perumahan tersebut menjadi terkenal.

Penutup Karangan gaya hidup sihat

Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat ini bukanlah semata-mata tertumpu pada aktiviti senaman dan penjagaan makanan sahaja tetapi turut menumpukan aspek gaya hidup yang positif. Oleh itu, semua pihak perlulah memainkan peranan masing-masing dalam memupuk amalan gaya hidup sihat. Usaha ini perlulah dilakukan secara berterusan dan tidak sekadar melepaskan batok di tangga sahaja kerana jika usaha ini diteruskan, rakyat negara akan mencapai kesihatan mental dan fizikal demi pembangunan negara.


Contoh Karangan: Faedah bersukan bagi Pelajar

Similar Posts