| |

Contoh Karangan SPM: Cara Memupuk Minat Bersukan

Cara Memupuk Minat Bersukan

Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertai sukan dan memupuk minat bersukan. Huraikan.

Peranan Ibu Bapa dalam Memupuk Minat Bersukan Anak

Dalam arus pembangunan sukan negara, kejayaan pemain-pemain bola sepak negara yang berjaya menempa nama di persada dunia telah membuka mata ibu bapa dan mereka mula menggalakkan anak-anak terlibat dalam bidang sukan sebagai kerjaya. Kejayaan Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chong Wei, dan Datuk Shazlin Zulkifli telah menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia kerana mereka telah berjaya membina kerjaya masing-masing. Lantaran itu, ibu bapa berperanan penting dalam usaha menggalakkan anak-anak menyertai sukan.

Ibu bapa menggalakkan anak-anak

Langkah yang signifikan dalam menggalakkan anak-anak menyertai sukan ialah ibu bapa menggalakkan anak-anak turut serta bersukan dengan ibu bapa. Mereka hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menyertai aktiviti sukan seperti sukan boling. Ibu bapa hendaklah menjadikan aktiviti sukan tersebut sebagai aktiviti keluarga pada hujung minggu. Keadaan ini akan menjadikan anak-anak meminati sukan yang diceburi ibu bapa. Sesuai dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya, maka setiap tindakan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak. Secara tidak langsung tindakan ibu bapa ini akan membentuk masa depan anak-anak.

Ibu bapa memberi sokongan padu

Selain membawa anak-anak bersukan, ibu bapa juga hendaklah memberi sokongan padu kepada anak-anak dalam bidang sukan yang diceburi. Tindakan ibu bapa yang menyokong minat anak-anak dalam bidang sukan akan menjadikan anak-anak bersemangat untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang sukan. Ibu bapa boleh menemani anak-anak menjalani latihan sukan sambil memberi sokongan motivasi dan kata- kata pembakar semangat. Ibu bapa hendaklah turut menonton pertandingan tersebut sebagai tanda sokongan kepada anak-anak agar anak-anak bersemangat untuk memperoleh kemenangan. Tampak bahawa, tindakan ibu bapa yang memberi sokongan ini akan menghasilkan kejayaan anak dalam bidang sukan.

Ibu bapa membeli peralatan sukan

Biar kita ambil contoh Kejayaan Tigerwood pemain golf dunia bermula dari usia tiga tahun. Ibu bapa boleh membeli peralatan sukan yang diminati anak-anak. Dengan cara ini anak- anak kecil akan mula mengenali sukan dan minat terhadap sukan tersebut akan mula bercambah dalam diri anak-anak. Pada masa yang sama ibu bapa boleh membawa anak-anak merasai permainan tersebut seperti membawa anak-anak kecil bermain bola di padang atau halaman rumah. Usaha kecil ini merupakan langkah pertama yang akan membawa kejayaan besar kepada anak-anak pada masa akan datang. Pendek kata, ibu bapa tidak harus patah semangat dan mereka mesti terus melatih anak-anak mereka.

Ibu bapa membawa anak-anak meyaksikan perlawanan sukan

Selain membeli peralatan sukan, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak menonton atau meyaksikan perlawanan sukan yang diminati anak-anak seperti perlawanan bola sepak. Aktiviti ini akan menimbulkan keseronokan kepada anak-anak apabila melihat aksi lincah pemain-pemain di padang. Malah, anak-anak akan teruja melihat dengan mata sendiri pemain yang menjadi kegemaran mereka. Situasi gamat dengan sorakan penyokong tegar Harimau Malaya menambahkan lagi kemeriahan suasana di stadium. Kesemua peristiwa yang berlaku ini akan menjadi titik permulaan kepada anak-anak untuk meminati sesuatu sukan. Jelas bahawa, ibu bapa perlulah bersikap proaktif untuk menggalakkan anak-anak terlibat dalam sukan.

Penutup karangan Cara Memupuk Minat Bersukan

Secara intihanya, ibu bapa merupakan pengemudi bahtera yang membawa hala tuju anak-anak ke destinasi bahagia atau sengsara, maka ibu bapalah bertanggungjawab menjadi arkitek yang akan mencorak landskap kehidupan anak-anak mereka. Maka, ibu bapa perlu bijak untuk mencorakkan warna kehidupan mereka kerana anak-anak itu bagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya agar menjadi warna pelangi demi kebahagian hidup mereka pada masa akan datang.


Contoh Karangan SPM: Kepentingan Aktiviti Sukan

Similar Posts