| |

Contoh Karangan PT3: Faedah Amalan Gotong Royong

Karangan Faedah Amalan Gotong Royong

Aktiviti gotong-royong merupakan budaya Malaysia sejak zahulu lagi. Huraikan Faedah Amalan Gotong Royong dalam kalangan Masyarakat.

Faedah Amalan Gotong Royong dalam kalangan Masyarakat

Gotong-royong adalah amalan saling menolong atau kerja bersama-sama tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Masyarakat Malaysia pada hari ini semakin kurang mengamalkan gotong-royong kerana mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer. Sebenarnya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus dipupuk sejak kecil. Amalan bergotong-royong juga telah banyak membawa kebaikan kepada kita.

Mengeratkan perpaduan

Pertama sekali, amalan gotong royong dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan curiga.

Mempermudah kerja seharian

Selain itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mempercepat dan mempermudah kerja seharian. Jika semua orang bersatu padu, tolong-menolong, maka kerja yang sukar atau berat akan menjadi senang dan ringan. Contohnya, sekumpulan murid diberi tugasan oleh guru untuk membersihkan Taman Bunga di kawasan sekolah. Kalau murid-murid bekerjasama dan tidak malas, aktiviti pembersihan Taman Bunga dapat disiapkan dalam masa yang singkat.

Memperkukuh semangat kejiranan

Amalan gotong royong juga dapat memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat berbilang ras dan agama. Dalam satu taman, terdapat jiran tetangga yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, semangat kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti-aktiviti seperti majlis kenduri- kendara, musim perayaan utama, kempen yang berkaitan dengan semangat kejiranan atau aktiviti yang memerlukan kerjasama semua orang.

Mewujudkan pesekitaran yang bersih

Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan pesekitaran yang bersih dan ceria. Kawasan yang bersih dan ceria dapat mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera bak kata slogan pihak berkuasa tempatan, yakni ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.

Penutup Karangan Amalan Gotong Royong

Secara kesimpulannya, aktiviti gotong-royong banyak mendatangkan kebaikan kepada penduduk setempat yang rata-rata terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Amalan ini akan membantu kita untuk hidup aman makmur, saling menghormati dan bekerjsama, bak kata peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Similar Posts