|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 3 – Demokrasi Berparlimen

Demokrasi Berparlimen

3.1 Latar Belakang Pemerintahan Beraja dan Demokrasi Berparlimen

Pemerintahan beraja merupakan tradisi yang berakar umbi dan menjadi teras kewujudan kerajaan Melayu. Raja memerintah dengan kuasa yang penuh dan berdaulat.

Cabaran terhadap pemerintahan beraja berlaku selepas pentadbiran tempatan dikuasai oleh British dan Jepun. Walau bagaimanapun, pemerintahan beraja tidak terhapus. Pemerintahan beraja berkembang sejajar dengan peredaran masa sehingga diiktiraf sebagai Raja Berperlembagaan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen dalam pemerintahan negara kita pada hari ini.

Pemerintahan Beraja Kesultanan Melayu Melaka

Kesultanan Melayu Melaka memperlihatkan pemerintahan beraja yang berwibawa. Raja ialah pemerintah yang berkuasa mutlak. Pada baginda terletak semua kuasa pemerintahan termasuk kuasa pentadbiran, perundangan dan kehakiman.

Pemerintahan pula berdasarkan undang-undang, iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Keadaan ini membuktikan bahawa kehidupan bernegara dan ciri sistem berperlembagaan terserlah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pemerintahan kesultanan ini diperkukuh dengan konsep Islam. Konsep ini sekali gus menjadikan raja sebagai ketua agama Islam.

Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka mempunyai pengaruh yang besar bagi membina tradisi dan adat istiadat yang diwarisi oleh kesultanan Melayu yang muncul kemudiannya. Kesultanan Melayu merujuk kerajaan yang mempunyai pertalian dengan Kesultanan Melayu Melaka sama ada dari segi keturunan mahupun pernah menjadi naungan atau jajahan takluk kesultanan ini. 5.

Secara tradisinya, Raja-raja Melayu dianggap sebagai sumber undang-undang, ketua kerajaan dan ketua agama. Baginda bertanggungjawab mempertahankan adat dan struktur masyarakit dalam kerajaan Melayu. Keabsahan bagi semua tindakan terletak pada kedaulatan Raja-raja Melayu.

Sebelum Perang Dunia Kedua

Semasa peluasan pengaruh British, pemerintahan beraja menjadi penghalang yang menyukarkan British melakukan penjajahan di negeri Melayu.

British sekadar berupaya memperkenalkan Sistem Residen di NNMB dan Sistem Penasihat di NNMTB. Raja-raja Melayu memerintah dengan campur tangan British dalam pentadbiran tempatan yang dimeterai melalui perjanjian atau surat perisytiharan daripada Raja-raja Melayu.

Bagi NNMB, British hanya mengambil alih pentadbiran pada peringkat pembesar negeri. Raja- raja Melayu kekal sebagai pemerintah berdaulat, walaupun dikehendaki menerima nasihat daripada pegawai British yang dilantik sebagai Residen.

Bagi NNMTB, kedudukan raja yang memerintah adalah lebih kukuh. British menempatkan Penasihat British, namun pentadbiran negeri tetap dilaksanakan oleh pembesar yang dilantik oleh raja.

Penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 menyerlahkan ciri pemerintahan Raja Berperlembagaan dalam Kesultanan Johor dan Terengganu.

Penggubalan undang-undang tersebut berkait rapat dengan usaha raja, pembesar dan rakyat untuk menghalang peluasan pengaruh British dan mengekalkan kedaulatan negeri.

Kebijaksanaan diplomasi Raja-raja Melayu membolehkan pemerintahan beraja dipertahankan. Raja sebagai ketua negeri yang mengesahkan undang-undang membuktikan kedaulatan raja dalam struktur pentadbiran negeri Melayu.

Perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan British sebelum Perang Dunia Kedua tidak memindahkan kedaulatan negeri Melayu kepada British. Negeri Melayu hanya menjadi negeri naungan British.

Semasa Pendudukan Jepun

Semasa pendudukan Jepun, Raja-raja Melayu diiktiraf sebagai ketua dalam hal ehwal agama Islam. Raja-raja Melayu juga memperoleh pendapatan seperti sebelum Perang Dunia Kedua.

Pengiktirafan tersebut diisytiharkan semasa persidangan Raja-raja Tanah Melayu dan Sumatera dengan pemerintah tentera Jepun di Singapura pada bulan Januari 1943. Kedudukan Raja-raja Melayu di negeri masing-masing diletakkan di bawah pengawasan Gabenor Jepun di Tanah Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua

Pemerintahan beraja menerima cabaran apabila Malayan Union diperkenalkan pada tahun 1946. Raja-raja Melayu kehilangan kuasa sebagai pemerintah negeri kerana kuasa pemerintahan diambil oleh Raja England.

British memerintah Malayan Union secara langsung melalui Gabenor yang dilantik oleh kerajaan British. Kesepakatan Raja-raja Melayu menentang Malayan Union dengan sokongan orang Melayu menyebabkan British menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kedaulatan Raja-raja Melayu yang diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka dikembalikan seperti senium Perang Dunia Kedua melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Undang-Undang Tubuh digubal oleh Raja-raja Melayu bagi negeri masing-masing dan diguna pakai sehingga hari ini mengangkat Raja-raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.

Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen Selepas Merdeka

Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 diperoleh melalui perundingan dan persetujuan Raja-raja Melayu. Pemerintahan beraja diteruskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan beberapa pindaan dibuat supaya sesuai dengan konsep demokrasi.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sebagai Ketua Utama Negara. Kedudukan, kuasa dan tugas Yang di-Pertuan Agong termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ciri Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dalam Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf raja sebagai pemerintah tertinggi negara. Sementara itu, rakyat diberi hak memilih wakil mereka melalui pilihan raya untuk membentuk kerajaan.

Pemerintahan beraja merupakan kesinambungan sejarah dan warisan negara yang kekal peranannya sehingga hari ini. Pemerintahan beraja menjadi punca dan identiti kedaulatan negara. Pembinaan negara bangsa menuju Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen merupakan proses yang bersandarkan muafakat. Sistem tersebut mesti dipertahankan sebagai tonggak kestabilan dan teras perpaduan untuk kemakmuran negara.

3.2 Sejarah dan Kedudukan Institusi Majlis Raja- Raja

Majlis Raja-Raja yang bermula dengan pembentukan Durbar merupakan sebahagian daripada institusi Raja Berperlembagaan di negara kita. Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan dan peranan dalam pemerintahan negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Pembentukan Durbar Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB)

Durbar dibentuk pada tahun 1897 seiring dengan penubuhan NNMB.

Durbar dalam negeri-negeri ini berperanan sebagai sebuah majlis persidangan bagi Raja-raja Melayu negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan bagi membincangkan hal ehwal pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan pihak British.

Majlis Sultan-Sultan Semasa Malayan Union

Perlembagaan Malayan Union 1946 memperuntukkan penubuhan Majlis Sultan-Sultan (The Council of Sultans). Di bawah The Malayan Union Order in Council 1946, Majlis Sultan-Sultan dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Ahli majlis terdiri daripada sembilan orang Raja Melayu dan tiga pegawai kanan British.

Antara fungsi Majlis Sultan-Sultan termasuklah membincangkan undang-undang berkaitan dengan agama Islam dan menasihati Gabenor tentang perkara yang dibangkitkan oleh Raja-raja Melayu.

Walau bagaimanapun. majlis tersebut tidak pernah diwujudkan dalam tempoh Malayan Union kerana Raja-raja Melayu menentang pelaksanaan Malayan Union.

Majiis Raja-Raja Semasa Persekutuan Tanah Melayu 1948

Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk menggantikan Malayan Union. Berdasarkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Raja-Raja menjadi institusi yang dilengkapi dengan kuasa dan sekretariat, sesuai dengan kedudukan dan peranannya.

Majlis Raja-Raja diurus sepenuhnya oleh Raja-raja Melayu. Pengerusi mesyuarat ditentukan oleh Raja- raja Melayu dalam kalangan sembilan orang Raja Melayu. Persidangan Majlis Raja-Raja perlu disertai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk memeterai keputusan persidangan. Raja-raja Melayu diberi hak dan kuasa untuk mendapat penerangan daripada Pesuruhjaya Tinggi British tentang penggubalan undang-undang dan dasar Kerajaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja Selepas Merdeka

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, peranan Majlis Raja-Raja dikekalkan, namun keanggotaannya mengalami perubahan.

  • Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli Majlis Raja-Raja.
  • Selepas Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Sabah turut menjadi ahli Majlis Raja-Raja.
  • Yang di-Pertua Negeri tidak turut serta dalam mesyuarat khas melibatkan institusi beraja seperti pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedudukan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa dan fungsi dalam sistem Raja Berperlembagaan. Majlis Raja-Raja boleh bertindak menggunakan budi bicara bagi melaksanakan fungsinya. Antara fungsi Majlis Raja-Raja termasuklah seperti yang berikut:

  • Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
  • Bersetuju atau tidak bersetuju sebarang undang-undang yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.
  • Memberikan nasihat berkaitan dengan pelantikan jawatan tertentu.
  • Menjadi rujukan dalam perubahan dasar berhubung dengan kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera di Sarawak dan Sabah dan kepentingan sah kaum lain.
  • Menjadi Lembaga Pengampunan bagi kes-kes tertentu.
  • Memperkenankan perubahan persempadanan negeri setelah mendapat perkenan raja negeri berkenaan.
  • Memperkenankan pindaan perlembagaan bagi perkara-perkara tertentu.

Majlis Raja-Raja merupakan institusi beraja di Malaysia. Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja melaksanakan peranan sebagai pengimbang dalam sistem demokrasi melalui dua cara, iaitu hak untuk dirundingi dalam beberapa pelantikan penting dan hak untuk membincangkan hal berhubung dengan dasar negara.

Kita sewajarnya menghargai peranan Majlis Raja-Raja dalam memakmurkan negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan institusi ini kerana tidak wujud institusi sepertinya pada hari ini di negara lain.

3.3 Yang di-Pertuan Agong dan Raja dalam Perlembagaan Persekutuan

Raja Berperlembagaan merupakan sebahagian daripada pentadbiran negara apabila Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi beraja. Institusi beraja ini terdiri daripada institusi Majlis Raja-Raja, institusi beraja di negeri-negeri dan institusi Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan.

Institusi Yang di-Pertuan Agong

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Yang di-Pertuan Agong dipilih dalam kalangan raja yang memerintah di sembilan buah negeri dalam Persekutuan, iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor. Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Pemilihan Yang di- Pertuan Agong dilaksanakan oleh Majlis Raja-Raja menurut kaedah yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan- peraturan Majlis Raja-Raja.

Seiring dengan kewujudan jawatan Yang di-Pertuan Agong, turut diperkenalkan jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan AgongNama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Pertama Negeri SembilanAlmarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (31 Ogos 1957 – 1 April 1960).
Kedua SelangorAlmarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah (14 April 1960-1 September 1960).
Ketiga PerlisAlmarhum Tuanku Syed Putra Al- haj ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (21 September 1960 – 20 September 1965).
Keempat
Terengganu
Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin (21 September 1965 – 20 September 1970).
Kelima KedahAlmarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (21 September 1970 – 20 September 1975).
Keenam KelantanAlmarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (21 September 1975 -29 Mac 1979).
Ketujuh PahangAlmarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Mu’adzam Shah (26 April 1979 – 25 April 1984).
Kelapan JohorAlmarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail (26 April 1984 – 25 April 1989).
Kesembilan PerakAlmarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah (26 April 1989 -25 April 1994).
Kesepuluh Negeri SembilanAlmarhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman (26 April 1994 – 25 April 1999).
Kesebelas SelangorAlmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al- haj (26 April 1999 – 21 November 2001).
Kedua belas PerlisTuanku Syed Sirajuddin ibni Al- Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (13 Disember 2001 – 12 Disember 2006).
Ketiga belas TerengganAl-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah (13 Disember 2006 – 12 Disember 2011).
Keempat belas KedahAlmarhum Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (13 Disember 2011 – 12 Disember 2016).
Kelima belas KelantanKebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Muhammad V (13 Disember 2016 8 Januari 2019).
Keenam belas PahangKeenam belas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka pahang Baginda Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah (mulal 31 Januari 2019).

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong menjadi punca kedaulatan, ketaatan, perpaduan, kebesaran dan kemuliaan negara.

Perkara 32: Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya

(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan. digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.

(2) Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.

(3) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja bagi tempoh lima tahun, tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Majlis Raja-Raja atau boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-Raja, dan hendaklah berhenti memegang jawatan apabila terhenti

Keutamaan Kedudukan dalam Persekutuan

  1. Yang di-Pertuan Agong.
  2. Raja Permaisuri Agong.
  3. Raja-raja dan Pemangku Raja.
  4. Yang di-Pertua bagi Negeri-ncgeri.
  5. Bekas Raja Permaisuri Agong yang menerima saraan Diraja daripada Kerajaan Persekutuan.
  6. Perdana Menteri.
  7. Timbalan Perdana Menteri.

Institusi beraja merupakan penaung rakyat, melangkaui semua agama, bangsa, budaya dan fahaman politik. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk memartabatkan institusi beraja kerana institusi ini menjadi lambang kedaulatan negara.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa atau peranan yang luas dalam pemerintahan negara meliputi kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Kuasa Eksekutif

Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Melantik Perdana Menteri dan Jemaah Menteri

  1. Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada budi bicara baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
  2. Baginda dengan nasihat Perdana Menteri melantik Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri daripada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Pelantikan Jawatan Penting

  1. Yang di-Pertuan Agong melantik Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Audit Negara.
  2. Baginda juga melantik Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Ahli Suruhanjaya Polis dan sejumlah ahli dalam Majlis Angkatan Tentera.

Ketenteraan

  1. Yang di-Pertuan Agong ialah pemerintah tertinggi seluruh Angkatan .Tentera Malaysia.
  2. Baginda dibantu oleh Majlis Angkatan Tentera yang bertanggungjawab di bawah kuasa baginda bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera serta perkara yang bersangkutan dengan gerakan tentera.

Diplomatik

  1. Yang di-Pertuan Agong melantik diplomat Malaysia ke luar negara.
  2. Baginda juga menerima menghadap diplomat asing sebelum mereka mula menjalankan tugas di Malaysia.

Kuasa Perundangan

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang yang melalui proses pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Persidangan Parlimen

  1. Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memanggil Parlimen bersidang.
  2. Baginda juga berkuasa memberhentikan> dan membubarkan Parlimen.

Ugama

  1. Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam di negeri baginda sendiri, Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.
  2. Ketua agama Islam di negeri-negeri lain ialah sultan atau raja yang memerintah di negeri masing- masing.

Hak dan Keistimewaan

  1. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjaga serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sarawak dan Sabah.
  2. Baginda juga bertanggungjawab melindungi kepentingan sah kaum lain di Malaysia.

Pengisytiharan Darurat

  1. Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pengisytiharan darurat.
  2. Pengisytiharan darurat dibuat setelah baginda memastikan kebenaran wujudnya keadaan yang mengancam keselamatan awam dan ekonomi negara.

Kuasa Kehakiman

  1. Yang di-Pertuan Agong melantik hakim Mahkamah Atasan atas nasihat Perdana Menteri setelah dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
  2. Hakim Mahkamah Atasan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sarawak dan Sabah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi.

Kuasa Pengampunan

  1. Dalam hal jenayah di Wilayah Persekutuan, seseorang yang sudah dihukum boleh memohon keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
  2. Baginda akan bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan.
  3. Baginda berkuasa mengampunkan, menangguhkan dan meringankan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tentera, Mahkamah Syariah di Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

3.4 Amalan Demokrasi dan Pengasingan Kuasa

Demokrasi Berparlimen diterima sebagai sistem pentadbiran negara. Ciri demokrasi seperti amalan pilihan raya, jaminan kepada kebebasan asasi serta pembahagian kuasa pada peringkat Persekutuan dan negeri dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Amalan Pilihan Raya

Pilihan raya ialah elemen penting yang menandakan wujudnya amalan demokrasi di negara kita. Pada asasnya, pilihan raya umum diadakan dalam tempoh lima tahun. Pilihan raya diadakan sejak negara kita mencapai kemerdekaan membuktikan amalan demokrasi dilaksanakan di Malaysia sehingga hari ini.

Sebagai rakyat dalam sebuah negara demokrasi, kita sewajarnya memahami kepentingan pilihan raya yang memberikan mandat untuk membentuk kerajaan. Warganegara yang layak mengundi perlu menunaikan hak dan tanggungjawab melalui pilihan raya untuk memilih pemimpin berwibawa bagi mencorakkan pemerintahan demi kemakmuran negara.

Kebebasan Asasi

Kebebasan asasi atau hak asasi merupakan hak yang dimiliki oleh seseorang individu di sisi undang- undang. Perlembagaan Persekutuan menggariskan peruntukan berkaitan dengan kebebasan asasi. Antaranya termasuklah kebebasan diri, kebebasan beragama, hak berkenaan dengan pendidikan serta kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Kebebasan Asasi Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan

Kebebasan Diri

Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang- undang.

Kebebasan Beragama

Islam ialah agama Persekutuan. Penganut agama lain boleh mengamalkan agama masing-masing.

Hak Berkenaan dengan Pendidikan

Tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

Kebebasan Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan

Setiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan membentuk persatuan.

Kebebasan asasi yang diperuntukkan dalam perlembagaan tidak bersifat mutlak, tetapi tertakluk pada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang yang digubal oleh Parlimen Malaysia. Sekatan tersebut bertujuan memastikan ketenteraman dan kesejahteraan awam terjamin dalam masyarakat yang demokratik.

Pengasingan Kuasa dalam Pemerintahan

Pengasingan kuasa diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan hingga hari ini. Kuasa pemerintahan di negara kita dibahagikan kepada tiga badan, iaitu badan perundangan (legislatif), eksekutif (pelaksana) dan kehakiman (judisiari). Kuasa badan tersebut ditentukan oleh Ptrlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara merupakan punca kuasa kepada ketiga-tiga badan ini.

Badan Perundangan

Badan perundangan berfungsi menggubal undang- undang. Badan perundangan pada peringkat Kerajaan Persekutuan ialah Parlimen. Badan perundangan pada peringkat Kerajaan Negeri pula ialah Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parlimen

Parlimen ialah badan perundangan tertinggi di Malaysia. Parlimen terdiri daripada tiga komponen, iaitu Yang di- Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Parlimen merupakan lambang demokrasi dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih.

Parlimen berkuasa menggubal undang-undang. Selain itu, Parlimen juga boleh membuat pindaan undang- undang Persekutuan sedia ada, menyemak dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan sistem cukai yang baharu.

Yang di-Pertuan Agong

Salah satu komponen dalam badan perundangan.

Dewan Negara atau Senat

Dewan tertinggi dalam sistem perundangan negara. Membahaskan rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan lebih teliti.

Dewan Rakyat atau Perwakilan

Dewan yang ahlinya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat.

Dewan Undangan Negeri (DUN)

Di Malaysia, terdapat DUN di setiap negeri kecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Ketiga-tiga wilayah tersebut hanya mempunyai ahli Parlimen.

Dewan ini terdiri daripada Sultan atau Yang di-Pertua Negeri selaku ketua negeri, Speaker Dewan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih melalui pilihan raya peringkat negeri. DUN berfungsi untuk menggubal undang-undang bagi negeri masing-masing.

Badan Eksekutif

Badan eksekutif ialah badan pemerintah yang melaksanakan kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan Persekutuan. Badan eksekutif peringkat Kerajaan Persekutuan ialah Jemaah Menteri manakala badan eksekutif peringkat Kerajaan Negeri ialah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jemaah Menteri (Kabinet)

  1. Jemaah Menteri terdiri daripada Perdana Menteri dan menteri seperti Menteri Kewangan, Menteri Pendidikan dan Menteri Kesihatan.
  2. Tugas utama Jemaah Menteri menggubal dasar negara dan melaksanakan pembangunan.
  3. Perdana Menteri mengetuai Jemaah Menteri, memimpin kerajaan dan menjalankan pentadbiran pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
  4. Menteri mengetuai kementerian untuk melaksanakan dasar kerajaan yang diputuskan oleh Jemaah Menteri.
  5. Anggota Jemaah Menteri berpegang pada prinsip tanggungjawab bersama secara kolektif kepada Parlimen. Setiap menteri mesti mempertahankan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.
  6. Sekiranya seseorang menteri tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, beliau hendaklah meletakkan jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

  1. Pada peringkat negeri, kuasa eksekutif terletak pada Sultan atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
  2. Bagi negeri di Semenanjung Malaysia, kuasa eksekutif ini dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau EXCO (Executive Council). Di Sarawak dan Sabah, badan eksekutif negeri dikenali sebagai Kabinet Negeri.
  3. Pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Badan Kehakiman

Badan kehakiman ialah badan yang bertanggungjawab mentarsirkan dan melaksanakan undang-undang serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

  1. Badan kehakiman diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Kuasa badan kehakiman dilaksanakan oleh mahkamah.
  2. Hakim dilantik untuk memastikan sistem kehakiman dan keadilan ditegakkan di negara kita.
  3. Peranan badan kehakiman adalah untuk mengadili pertikaian antara pemerintah dengan rakyat mahupun sesama rakyat. Badan kehakiman juga menyelesaikan konflik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
  4. Fungsi badan kehakiman bergantung pada status mahkamah yang terdiri daripada Mahkamah Atasan dan Mahkamah Bawahan serta Mahkamah Khas (Tidak terletak dalam hierarki mahkamah biasa, antaranya Mahkamah Khas Raja-Raja dan Mahkamah Tentera).
  5. Selain itu, terdapat mahkamah pada peringkat negeri, iaitu Mahkamah Syariah serta Mahkamah Anak Negeri di Sarawak dan Sabah.

Hakim mestilah bebas daripada pengaruh politik bagi memastikan badan kehakiman sebagai institusi keadilan.

3.5 Keunikan Amalan Demokrasi Berparlimen di negara kita

Keunikan amalan Demokrasi Berparlimen dapat dilihat dari aspek gabungan unsur tradisional dan moden, mekanisme semak dan imbang, kuasa budi bicara raja serta kerjasama politik.

Gabungan Unsur Tradisional dan Moden dalam Pentadbiran

Keunikan pemerintahan di Malaysia teradun antara unsur tradisional dengan moden. Unsur tradisional terletak pada kedudukan raja sebagai warisan sosiopolitik masyarakat Melayu. Unsur moden pula ialah Demokrasi Berparlimen berdasarkan model Westminster England.

Kombinasi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen merupakan kaedah terbaik untuk mengimbangi amalan demokrasi dalam persekitaran sosiopolitik di negara kita yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.

Mekanisme Semak dan Imbang dalam Pentadbiran

Sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi Berparlimen mewujudkan makanisme semak dan imbang dalam pemerintahan di negara kita.

Pemerintahan beraja berperanan bagi mengimbangi pemerintahan demokrasi kerana raja berkecuali dalam hal politik, ekonomi dan dasar negara.

Kuasa pengimbang yang pada raja mampu meredakan konflik yang berlaku dalam demokrasi pertikaian parti politik yang pelbagai ideologi dan perselisihan antara kaum.

Mekanisme semak dan imbang juga berlaku melalui pengasingan kuasa, iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Badan perundangan diberi peranan menggubal undang-undang yang akan dilaksanakan oleh badan eksekutif. Sekiranya timbul konflik dan kekeliruan, penyelesaian dibuat melalui badan kehakiman.

Kuasa Budi Bicara Raja

Secara umumnya, kuasa budi bicara raja ialah kuasa yang boleh dilaksanakan oleh baginda tanpa mendengar atau menurut nasihat ketua kerajaan dalam perkara tertentu.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan ketua Kerajaan Persekutuan, iaitu Perdana Menteri. Raja dan Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa budi bicara melantik ketua Kerajaan Negeri, iaitu Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa budi bicara untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen. Raja dan Yang di-Pertua Negeri pula mempunyai kuasa budi bicara tidak memperkenankan pembubaran DUN.

Similar Posts