|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 1 – Kedaulatan Negara

Kedaulatan Negara

1.1 Konsep kedaulatan

Kedaulatan ditakrifkan sebagai kekuasaan tertinggi dan kewibawaan sesebuah negara serta mempunyai hak untuk melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran negara.

Kedaulatan negara kita dapat dilihat sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 mengukuhkan serta memantapkan negara bangsa kita.

Takrif Kedaulatan

Takrif kedaulatan mengikut bahasa adalah seperti yang berikut:

1. Bahasa Yunani
Kedaulatan ialah supernuus atau superanus yang bermaksud agung atau tertinggi. Perkataan ini merujuk negara yang bebas dan merdeka.

2. Bahasa Inggeris
Dalam bahasa Inggeris, kedaulatan ialah sovereignty yang bermaksud negara mempunyai kuasa penuh terhadap pemerintahan

3. Bahasa Arab
Perkataan kedaulatan dalam bahasa Arab berasal daripada kata daulah yang bermaksud kuasa pemerintahan sesebuah kerajaan.

4. Bahasa Melayu
Kedaulatan merujuk perkataan daulat yang bermaksud kekuasaan tertinggi terhadap pemerintahan negara.

Pandangan Tokoh

Beberapa orang tokoh memberikan tafsiran mereka tentang kedaulatan yang sesuai dengan zamannya.

a. Aristotle (ahli falsafah Yuanani)
Kedaulatan merupakan kuasa tertinggi dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Kedaulatan merujuk kerajaan yang terikat oleh undang-undang.

b. Ibnu Khaldun (Ilmuan Islam)
Kedaulatan merupakan kekuatan dan kekuasaan sesebuah negara berasaskan semangat kekitaan bangsanya. Kekuatan semangat kekitaan yang diiringi dengan kekuatan semangat beragama menyebabkan sesuatu bangsa rela untuk berkorban demi mencapai cita-cita yang sama.

c. Jean Bodin (ahli falsafah Politik Perancis) Kedaulatan merupakan kuasa tertinggi dalam sesebuah negara. Kedaulatan mempunyai sifat kekal dan mempunyai kuasa tidak terbatas untuk membuat undang-undang, mentafsir dan melaksanakannya.

d. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama)
Kedaulatan dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan yang sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

e. Tun Dr. Mohamed Salleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara).
Kedaulatan merupakan asas negara yang merdeka, memiliki kebebasan pada peringkat antarabangsa bersama dengan hak dan kuasa untuk mengatur urusan dalam negeri tanpa telunjuk asing.

Jenis Kedaulatan

Kedaulatan berbeza mengikut bentuk pemerintahan yang diamalkan oleh sesebuah negara. Setiap negara mempunyai hak untuk menentukan bentuk dan jenis kedaulatan yang diamalkannya.

Terdapat beberapa jenis kedaulatan seperti kedaulatan tradisional, kedaulatan moden, kedaulatan undang-undang dan kedaulatan antarabangsa.

Kedaulatan Tradisional

Kedaulatan tradisional merujuk sistem pemerintahan berkuasa mutlak yang menguasai sepenuhnya segala urusan negara. Kedaulatan ini wujud sejak tamadun awal manusia.

Kedaulatan negara kita berpaksi pada kedaulatan Raja-raja Melayu. Kedaulatan terletak pada kekuasaan dan kewibawaan raja. Raja merupakan pemerintah yang mempunyai kuasa tertinggi. Kedudukan dan kedaulatan raja diperkukuh oleh taat setia rakyat.

Kedaulatan Moden

Kedaulatan moden dikaitkan dengan idea kemunculan negara bangsa selepas Revolusi Keagungan di England dan Revolusi Perancis.

Kedaulatan juga dikaitkan dengan hak rakyat dan kerajaan berperlembagaan.

Selepas Perang Dunia Pertama, kedaulatan dikaitkan dengan nasionalisme yang menggunakan unsur persamaan rumpun bangsa dan bahasa untuk membentuk negara bangsa masing-masing.

Kedaulatan negara kita sebagai sebuah negara bangsa pula lahir hasil gabungan negeri yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Persekutuan Malaysia 1963.

Kedaulatan Undang-undang

Kedaulatan undang-undang bermaksud kerajaan dan rakyat terikat oleh undang-undang yang perlu dipatuhi. Kedaulatan undang-undang menjamin keadilan dalam kehidupan bermasyarakat serta menjadikan negara aman, stabil dan makmur. Badan kehakiman yang bebas dan berwibawa diwujudkan untuk memelihara dan melaksanakan kedaulatan undang-undang. Kedaulatan undang-undang menjadi prinsip keempat dalam Rukun Negara.

Kedaulatan Antarabangsa

Kedaulatan antarabangsa merujuk pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap sesebuah negara yang tidak boleh dicabuli oleh negara lain.

Deklarasi Hubungan Persahabatan PBB 1970, mengesahkan prinsip persamaan kedaulatan dari segi undang-undang antarabangsa. Keanggotaan negara kita dalam PBB membuktikan bahawa dunia mengiktiraf negara kita sebagai negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.

1.2 Ciri Negara yang Berdaulat

Setiap negara yang bebas dan merdeka mempunyai ciri tertentu bagi menentukan kedaulatannya. Negara kita turut mempunyai ciri yang menjadi identitinya. Ciri negara yang berdaulat ialah mempunyai pemerintahan, mempunyai sempadan, mempunyai perundangan dan mempunyai rakyat yang menjadikan negara kita sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat.

Mempunyai Pemerintahan

Pemerintahan negara berdaulat diwujudkan untuk menjaga kestabilan politik, keamanan, pertahanan dan ekonomi. Pemerintahan ini dijalankan secara teratur.

Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Ketua Utama Negara ialah Yang di-Pertuan Agong. Ketua Kerajaan ialah Perdana Menteri yang dibantu oleh Jemaah Menteri.

Mempunyai Sempadan

Sempadan merupakan garis pemisah antara negeri atau negara. Malaysia merupakan negara yang berkongsi sempadan darat, air dan udara dengan negara jiran, iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina.

Sempadan Malaysia diakui oleh masyarakat antarabangsa, khasnya PBB. Penetapan sempadan memudahkan urusan pemerintahan, pentadbiran, pertahanan dan pembangunan ekonomi negara kita.

Mempunyai perundangan

Sistem perundangan menjadi asas kepada peraturan negara. Sistem perundangan penting untuk memelihara kesejahteraan, menjamin keadilan dan melindungi rakyat.

Asas kepada sistem perundangan negara kita berpandukan Perlembagaan Persekutuan. Parlimen bertanggungjawab menggubal dan menentukan sistem perundangan negara kita.

Mempunyai Rakyat

Rakyat merupakan penduduk di sesebuah negara. Rakyat terikat kepada undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh pemerintah.

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan adat resam. Disatukan melalui satu bahasa dan kebudayaan, Rukun Negara serta identiti nasional yang sama.

1.3 Kepentingan Mewujudkan Negara Berdaulat

Kedaulatan negara penting bagi mewujudkan keberkesanan pentadbiran, kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan kecemerlangan hubungan luar negara. Selain itu, negara diiktiraf setaraf:

Keberkesanan Pentadbiran

Kedaulatan memberikan kebebasan kepada negara untuk menjalankan urusan pentadbiran tanpa campur tangan pihak luar.

Dasar pentadbiran negara dilaksanakan dengan berkesan melalui Jemaah Menteri dan kementerian.

Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui pengagihan kuasa mewujudkan keberkesanan pentadbiran.

Sistem pentadbiran diperkukuhkan melalui peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kemakmuran Ekonomi

Kedaulatan penting untuk negara melaksanakan dasar kemakmuran ekonomi.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, pelbagai usaha dilakukan untuk memajukan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berbilang kaum.

Pembangunan ekonomi meliputi bidang pertanian, perindustrian dan perdagangan yang diperkenalkan melalui dasar pembangunan ekonomi negara.

Kesejahteraan Sosial

Kedaulatan penting untuk negara melaksanakan dasar sosial bagi kesejahteraan rakyat.

Negara dapat melahirkan generasi yang berilmu dan berkemahiran melalui pendidikan.

Generasi berilmu dapat memberikan sumbangan untuk pembangunan negara.

Beberapa perkara berkaitan dengan bahasa kebangsaan, kebudayaan, sukan dan Rukun Negara diperkenalkan untuk memupuk perasaan muhibah dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kecemerlangan Hubungan Luar Negara

Kedaulatan penting bagi memberikan hak kepada negara untuk menjalinkan hubungan dengan negara lain.

Melalui penggubalan dasar luar negara kita dapat menjalinkan hubungan diplomatik dan persahabatan dengan negara lain, negara juga dapat mengadakan perjanjian dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Kesannya, Malaysia menikmati pelbagai faedah dan kelebihan dalam usaha mempertahankan kedaulatan.

Keanggotaan Malaysia dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa meningkatkan imej negara. Masyarakat antarabangsa mengakui peranan dan kebolehan negara kita setaraf dengan negara lain di dunia.

1.4 Langkah Mempertahankan Kedaulatan

Pemerintah dan rakyat memainkan peranan penting bagi mempertahankan kedaulatan negara, Oleh itu, pemerintah dan rakyat perlu bekerjasama untuk mewujudkan kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi, mengekalkan perpaduan kaum, memupuk patriotisme dan mengukuhkan pertahanan negara. Kerjasama ini penting bagi memastikan kedaulatan dapat dipertahankan demi kemajuan dan kesejahteraan negara.

Mewujudkan Kestabilan Politik dan Kemakmuran Ekonomi

Pemerintah dan rakyat mempunyai peranan yang sama untuk menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.

Pemerintah melaksanakan pentadbiran dengan cekap dan menjalankan pelbagai usaha serta program bagi memajukan ekonomi.

Rakyat pula memberikan kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan semua usaha dan program yang dilaksanakan oleh pemerintah.

Pemerintah

  1. Mewujudkan pentadbiran yang cekap.
  2. Mengelakkan amalan rasuah dalam pentadbiran
  3. Memastikan agihan sumber kekayaan negara secara adil kepada semua kaum melalui dasar pembangunan ekonomi.
  4. Melaksanakan undang-undang negara menurut perlembagaan secara berkesan.

Rakyat

  1. Memberikan kesetiaan kepada raja dan negara.
  2. Menyokong segala usaha dan dasar kerajaan bagi mewujudkan kestabilan politik.
  3. Memupuk kerjasama dengan semua kaum supaya agihan kekayaan negara dinikmati oleh semua.
  4. Mematuhi undang-undang negara.

Mengekalkan Perpaduan Kaum

Sejak awal kemerdekaan, pemerintah dan rakyat berusaha untuk mengekalkan perpaduan kaum. Perpaduan penting dalam usaha kita mengekalkan kedaulatan negara. Beberapa langkah dilaksanakan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

Pemerintah

  1. Menggubal dasar dan undang-undang berkaitan dengan perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  2. Memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar berkaitan dengan bahasa, pendidikan dan kebudayaan oleh kementerian serta agensi berkaitan.
  3. Merangka program serta kempen ke arah memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Memperuntukkan perbelanjaan yang mencukupi untuk program memupuk perpaduan kaum

Rakyat

  1. Menggunakan bahasa kebangsaan dan menghayati prinsip Rukun Negara yang dapat menjamin perpaduan kaum.
  2. Memahami dan menghormati agama serta budaya pelbagai kaum.
  3. Mengamalkan semangat perkongsian, bertoleransi dan saling menghormati sesama rakyat Malaysia.
  4. Melibatkan diri dalam program kemasyarakatan yang dapat memupuk kerjasama antara kaum.

Memupuk Patriotisme

Patriotisme ialah perasaan cinta yang mendalam terhadap negara serta sanggup mempertahankan sejarah, bahasa, undang-undang, warisan dan budaya. Patriotisme merupakan nadi kepada kebebasan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara. Semangat ini juga penting untuk melahirkan pemimpin dan rakyat yang taat setia serta sanggup berkorban demi negara.

Pemerintah

  1. Menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan untuk menimbulkan kecintaan terhadap negara.
  2. Mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah bagi melahirkan generasi yang peka terhadap sejarah negara.
  3. Menganjurkan kempen dan menerbitkan filem atau rencana untuk memupuk patriotisme melalui pelbagai media.
  4. Memberikan pengiktirafan kepada rakyat Malaysia yang berjasa kepada negara dengan mengabadikan nama mereka pada bangunan dan jalan.

Rakyat

  1. Menghormati lambang negara seperti bendera Jalur Gemilang, Jata Negara dan lagu Negaraku.
  2. Menyanjungi dan menghargai adat dan warisan negara.
  3. Meningkatkan imej negara dengan melakar kejayaan dalam bidang pendidikan, sukan dan ekonomi.
  4. Menghargai tokoh pelbagai kaum yang berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Mengukuhkan Pertahanan Negara

Pemerintah dan rakyat mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Pertahanan negara penting untuk mengekalkan kedaulatan negara kita.

Pemerintah

  1. Menggubal dasar dan undang-undang untuk melindungi keselamatan negara.
  2. Mengadakan perjanjian pertahanan serta latihan ketenteraan bersama-sama negara serantau dan antarabangsa.
  3. Memodenkan aset ketenteraan untuk mengukuhkan pasukan pertahanan negara.
  4. Memastikan pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga menghadapi cabaran semasa.

Rakyat

  1. Peka terhadap isu keselamatan negara. Contohnya, memberikan maklumat tentang pencerobohan sempadan negara.
  2. Mengelakkan kolaborasi dengan pihak luar yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
  3. Menganggotai pasukan keselamatan dan pasukan sukarelawan untuk mempertahankan negara.
  4. Sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara.

Similar Posts