|

Contoh Karangan: Rakan yang terlibat dengan gejala sosial

Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga mengabaikan pelajaran. Huraikan cara-cara yang dapat anda lakukan untuk membantu mereka.

Cara untuk membantu rakan yang terlibat dengan gejala sosial

Pada tahun-tahun belakangan ini, masalah gejala sosial merupakan isu yang semakin berkembang dan menjadi perhatian di kalangan masyarakat. Seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial dan kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Kelakuan ini menyebabkan rakan saya yang cemerlang dalam akademik telah mengabaikan pelajarannya. Bak kata pepatah “sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya supaya dia insaf. Oleh itu, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan dan membantu rakan saya untuk menghadapi masalah gejala sosial ini?

Menasihati rakan yang terlibat dengan gejala sosial

Cara yang pertama untuk membantu rakan yang terlibat dengan gejala sosial ialah menasihatinya supaya tidak terjebak dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan rakan saya tentang akibat terlibat dengan gejala sosial dan kesan terhadap masa depan. Bak kata pepatah “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Remaja sepatutnya memberi tumpuan dalam pelajaran dan menjauhi daripada gejala sosial yang tidak memberi apa-apa kebaikan. Pengaruhan rakan sebaya telah menyebabkan rakan saya terlibat dalam gejala sosial serta mengabaikan akademik. Saya berharap nasihat-nasihat saya dapat menyedarkan rakan saya dan berinsaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur.

Ibu bapa mengambil berat tentang masalah gejala sosial

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk membantu remaja menjadi dewasa yang berguna. Mereka harus memahami bahawa remaja mesti memfokuskan diri dalam pelajaran supaya masa depannya terjamin. Ibu bapa rakan saya haruslah sentiasa mengambil berat tentang pencapaian akademik anak mereka. Mereka juga harus sentiasa memahami apakah masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Faktor kekurangan kasih sayang sentiasa menjadi punca remaja terjebak dalam gejala sosial. Saya akan berjumpa dengan ibu bapa rakan saya dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa merupakan orang yang dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.

Guru kaunseling membantu remaja yang terlibat dalam gejala sosial

Seseorang yang terlibat dalam gejala sosial perlu mendapatkan bantuan daripada profesional. Saya berharap guru kaunseling dapat membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap. Saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Menerusi sesi kaunseling, rakan saya dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi dalam pelajarannya. Guru kaunseling juga dapat membantu remaja yang mempunyai perasaan kecemasan, kemurungan atau ketakutan. Nasihat dan dorongan guru kaunseling akan membantu rakan saya supaya dia dapat membina keyakinan diri dan tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Menerusi sesi kaunseling, remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya remaja sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.

Remaja menyertai program-program yang berfaedah

Selain itu, saya akan mengajak rakan saya untuk menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Jelasnya, rakan saya mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya kerana dia tidak menghargai jati diri. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk membuat perubahan dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Saya juga akan mengajak rakan saya untuk menghadiri kumpulan perbincangan dan mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dengan rakan yang lain. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Dengan program-program yang berfaedah, rakan saya dapat benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran.

Penutup Karangan tentang gejala sosial

Kesimpulannya, sebagai rakan yang bertanggungjawab, saya sentiasa bersedia untuk memberi bantuan kepada rakan yang menghadapi masalah. Sekiranya rakan anda dipengaruh oleh rakan sebaya dan terjebak dalam gejala sosial, anda harus memberi perhatian dan membantu mereka supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Manakala rakan saya haruslah mempunyai jati diri agar tidak mudah ajakan yang tidak baik. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Remaja harus berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Similar Posts