|

Contoh Karangan SPM: Faedah Menabung

Karangan Faedah Menabung

Remaja harus mengamalkan amalan menabung sejak kecil sebagai satu budaya kehidupan. Apakah faedah menabung terhadap remaja?

Faedah Menabung terhadap Remaja

Pada dua dekad yang lalu, murid di sekolah rendah akan mendapat sebuah tabung simpanan apabila membuka akaun simpanan di bank. Mereka berasa teruja dengan tabung- tabung simpanan tersebut lalu mulai menyimpan duit pada setiap hari. Semua ini menjadi kenangan kepada mereka dan suatu yang menjadi nostalgia pada zaman ini. Walau bagaimanapun, pelbagai faedah menabung perlu didedahkan kepada generasi muda agar mereka mengamalkan amalan menabung ini.

Digunakan pada waktu kecemasan

‘Sediakan payung sebelum hujan’ merupakan peribahasa yang sinonim dengan amalan menabung atau menyimpan wang. Bagi situasi ini, wang simpanan dapat digunakan pada waktu kecemasan. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan adanya wang tabungan yang disimpan dalam pelbagai bentuk, menjadi mudah untuk seseorang guna pakai tatkala berlaku musibah. Misalannya, seseorang yang disahkan menghidap penyakit kerosakan buah pinggang memerlukan rawatan harian atau mingguan untuk rawatan dialisis, maka wang tabungan boleh diguna pakai sementara mendapatkan bantuan daripada kerajaan. Keadaan ini akan dapat meringankan beban keluarga atau waris yang menjaga pesakit. Sesungguhnya, kita yang menentukan situasi untuk menjadi pilihan kita, tepuk dada tanya selera.

Perbelanjaan untuk bersekolah

Selain kegunaan pada masa kecemasan, wang tabungan atau simpanan juga dapat membantu ibu bapa menyekolahkan anak-anak mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi anak-anak desa, bersekolah di sekolah berasrama penuh menjadi idaman mereka. Namun impian besar tersebut perlu disokong dengan wang simpanan yang cukup untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama apatah lagi jika mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan atau luar negara. Dengan amalan menabung ini, ibu bapa dapat menyediakan wang untuk perbelanjaan harian bagi anak yang belajar di sekolah berasrama atau di universiti. Tegasnya, amalan menabung ini dapat menjamin tahap pendidikan seseorang agar meraih kejayaan pada masa depan.

Tabiat berjimat cermat dan disiplin diri

Di samping itu, amalan menabung ini juga dapat memupuk tabiat berjimat cermat dan disiplin diri yang tinggi. Lazimnya, mereka akan mengasingkan wang perbelanjaan harian untuk disimpan dalam tabungan. Sesetengah orang, mereka menabung mengikut kepingan wang sebagai contoh menabung wang bernilai lima ringgit setiap hari. Bagi pelajar sekolah, mereka boleh menabung dengan menyimpan sepertiga daripada wang saku yang diberikan oleh ibu bapa. Walaupun jumlah tabungan sedikit tetapi pepatah Melayu ada mengatakan sedikit- sedikit, lama-lama jadi bukit justeru, amalan menabung ini membentuk jati diri menjadi insan kamil yang memiliki pegangan dan pendirian yang teguh.

Kegunaan pada hari tua

Amalan menabung juga dapat digunakan untuk kegunaan pada hari tua. Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai skim simpanan hari tua seperti pencen kerajaan dan Skim KWSP namun wang tersebut hanya dapat digunakan untuk kelangsungan hidup setelah bersara daripada kerja. Keadaan ini amat malang sekali jika mereka tidak mempunyai anak- anak yang sanggup menjaga mereka pada usia tua dan lebih malang lagi mereka diusir dari rumah dan ditempatkan di rumah orang tua-tua. Cerita-cerita sedih yang selalu terhidang dalam drama di televisyen merupakan cerminan yang terjadi dalam masyarakat pada hari ini. Oleh itu, amalan menabung ini merupakan salah satu jalan keluar daripada masalah yang selalu timbul dalam kalangan warga emas.

Penutup Karangan Faedah Menabung

Kesimpulannya, setiap yang muda pasti akan tua, begitu juga dalam roda kehidupan ini, setiap manusia akan menghadapi hari tua. Merekalah yang mencorakkan hari tua mereka gembira atau duka, bahagia atau derita. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berfikir secara positif untuk menjadikan amalan menabung ini sebagai satu rutin hidup agar kita dapat terus menikmati kehidupan yang selesa sehingga akhir hayat malah dapat pula menjadikan wang simpanan kita ini sebagai sedekah jariah untuk manfaat dan bekalan kita menuju kehidupan yang abadi.


Contoh Karangan: Cara memupuk gaya hidup sihat

Similar Posts