| |

Karangan SPM – Cara mencungkil bakat pelajar

Karangan SPM kokurikulum mencungkil bakat pelajar

Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti yang penting terhadap pelajar. Apakah cara untuk mencungkil bakat pelajar melalui kegiatan kokurikulum?

Cara mencungkil bakat pelajar melalui kegiatan kokurikulum

Mutakhir, kegiatan kokurikulum dilihat sebagai satu kegiatan yang mampu mencungkil bakat dan potensi diri seseorang pelajar. melalui pelbagai aktiviti sama ada dalam Kelab dan Persatuan, Unit beruniform atau Sukan dan Permainan, pelajar mula berani menonjolkan sikap yang positif dalam semua bidang baharu yang diceburi mereka. Tidak dinafikan, usaha mencungkil bakat bukanlah satu langkah yang mudah namun kejayaan guru-guru terbukti apabila ramai pelajar berjaya dilahirkan sebagai seorang atlet, pemimpin dan usahawan berjaya. Persoalannya, apakah cara untuk mencungkil bakat pelajar melalui kegiatan kokurikulum?

Program Maju Diri untuk mengesan karakter

Salah satu langkah yang berkesan adalah melalui penyertaan pelajar dalam Program Maju Diri yang dapat mengesan karakter atau tingkah laku seseorang pelajar. Ujian ini akan dapat membantu pelajar untuk mengenali diri mereka dari sudut saintifik. Dengan cara ini, pelajar ingin mengetahui sifat atau karakter di sebalik warna yang dipilih oleh mereka. sebagai contoh, pelajar yang memilih warna hijau memiliki sifat kedekut dan suka akan alam sekitar. Kesemua perkara baharu ini akan menerujakan pelajar untuk melakukan ujian demi ujian bagi mengetahui diri mereka dari sudut yang berbeza. Penyelesaian daripada ujian tersebut akan dibantu oleh guru untuk mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku yang positif.

Melihat bakat terpendam pelajar

Selain ujian tingkah laku, pihak guru akan memberi satu tugasan kepada setiap pelajar untuk melihat bakat yang terpendam di dalam diri pelajar. Ada ketikanya, bakat yang diperoleh bukan daripada pembelajaran di sekolah tetapi kemahiran kendiri yang ada sejak kecil. Misalannya, seorang pelajar mampu menyanyi dengan suara yang merdu lantaran disebabkan ibu bapanya merupakan artis nyanyian, begitu juga dengan pelajar yang lahir daripada darah daging pasangan pelakon, pasti anak mereka memiliki bakat berlakon. Maka tidak hairan jika anak-anak mereka turut mengikut jejak langkah ibu bapa sesuai dengan peribahasa mengatakan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Membentuk bakat mengikut kemampuan pelajar

Di samping tugasan untuk mengenal pasti bakat yang terpendam, guru juga boleh membentuk bakat mengikut acuan yang difikirkan sesuai dengan kemampuan pelajar tersebut. Ada sesetengah pelajar memiliki bakat dan potensi diri hasil daripada pembelajaran dan latihan yang berterusan sehingga pelajar menjadi mahir dalam sesuatu kemahiran. Pelajar yang tidak memiliki kemahiran akan dilatih sehingga memiliki kemahiran tertentu. Kebiasaannya, kita dapat melihat dalam bidang sukan seperti sukan bola sepak, jurulatih akan melatih beberapa orang pemain untuk melakukan tendangan lencongan untuk sepakan sudut. Kesemua kemahiran ini akan dilatih sehingga mereka menguasai kemahiran tersebut. Secara tidak langsung, guru berperanan besar dalam membentuk acuan atau kerangka kemahiran untuk seseorang pelajar.

Memegang jawatan dalam persatuan

Dari sudut yang berbeza pula, bakat atau potensi seseorang pelajar juga boleh dibentuk melalui kegiatan kokurikulum. Pelajar yang diberi tanggungjawab memegang jawatan dalam persatuan akan dapat membentuk diri mereka berkemahiran untuk mengurus dan mepimpin. Dengan cara ini, kemahiran berkomunikasi dapat dibentuk dengan mudah dan pelajar yang berketrampilan ini akan menunjukkan karisma dalam pelbagai aspek kepimpinan. Sebagai contoh, pelajar ini akan dipilih sebagai ketua pelajar dan pengerusi Persatuan Pengawas. Dalam hal ini, pelajar tersebut berpotensi menjadi seorang pemimpin di universiti, pemimpin dalam masyarakat seterusnya menjadi pemimpin negara.

Penutup Karangan kokurikulum mencungkil bakat pelajar

Secara tuntasnya, kegiatan kokurikulum merupakan satu medium yang tersusun dengan pelbagai modul untuk membentuk sahsiah diri dan kemahiran bagi persiapan menghadapi cabaran masa depan yang yang tidak menentu. Oleh itu, semua pihak haruslah mengambil inisiatif bagi menggalakkan penyertaan anak-anak dalam kegiatan kokurikulum agar mereka dapat mempelajari sesuatu demi membentuk masa depan cemerlang, gemilang dan terbilang.


Karangan Berkaitan:  Faedah bersukan bagi Pelajar

Similar Posts