| |

Karangan SPM: Cara Menggalakkan Permainan Tradisional

Karangan Cara Mengekalkan Permainan Tradisional

Golongan remaja kini minat dalam permainan atas talian dan melupai permainan tradisional. Apakah cara yang boleh Menggalakkan Permainan Tradisional?

Peranan Ibu Bapa untuk Menggalakkan Permainan Tradisional

‘Mobile Legend’, ‘War Craft’, ‘Counter Strike’ dan ‘Candy Crush’ antara nama permainan atas talian yang popular dalam kalangan masyarakat di dunia. Permainan moden ini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup malah ada antara permainan dalam talian yang memberi pendapatan sampingan sehingga artis tempatan juga terjebak dalam permainan atas talian. Keghairahan permainan moden ini telah mengambil tempat permainan tradisional dalam masyarakat. Oleh itu ibu bapa wajar mencari pendekatan yang boleh menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional.

Ibu bapa menjadi contoh teladan

Pendekatan pertama menggalakkan permainan tradisional ialah ibu bapa hendaklah menguasai kemahiran bermain permainan tradisional supaya menjadi contoh teladan dan idola anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana kita tidak mahu ibu bapa bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Sebagai contoh, permainan congkak mempunyai pelbagai peraturan yang boleh mengelirukan dan boleh menyebabkan berlaku pertelingkahan antara adik-beradik. Jika ibu bapa mengetahui peraturan-peraturan congkak sudah tentu masalah atau kekeliruan dapat diselesaikan dengan mudah. Oleh itu, secara jelasnya pendekatan ini sangat penting dalam menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional.

Semangat cinta akan warisan dan khazanah

Pendekatan yang seterusnya ialah ibu bapa hendaklah memupuk semngat cinta akan warisan dan khazanah budaya bangsa dengan memberikan set permainan tradisional kepada anak-anak. Dalam isu ini, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menceritakan sejarah permainan tradisional kepada anak-anak agar mereka mengetahui asal usul permainan tradisional tersebut. Lebih menarik lagi jika ibu bapa menceritakan pengalaman mereka bermain permainan tradisional kepada anak-anak sewaktu mereka kecil. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih menghargai permainan tradisional kerana permainan tersebut pernah dimainkan oleh ibu bapa mereka. Secara tidak langsung, peralatan mainan tersebut mempunyai nilai estetika yang perlu disimpan sebagai khazanah dan warisan keluarga.

Menyertai pertandingan permainan tradisional

Dari cara yang berbeza pula, ibu bapa hendaklah menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan permainan tradisional yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Kebiasaannya pertandingan permainan tradisional ini diadakan di peringkat taman perumahan oleh persatuan penduduk. Pertandingan permainan ini diadakan untuk menggalakkan penyertaan anak-anak muda. Melalui pertandingan ini, anak-anak akan giat berlatih untuk memastikan kemenangan diperoleh mereka. Secara tidak langsung, semangat yang bersungguh-sungguh ini akan memupuk perasaan cinta akan permainan tradisional dalam diri anak-anak.

Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru

Cara terakhir yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka hendaklah menyampaikan hasrat ibu bapa yang menginginkan anak-anak terlibat dalam aktiviti permainan teradisional. Ibu bapa hendaklah bersikap proaktif dalam menyuarakan pendapat demi kebaikan dan masa depan anak-anak. Mereka hendaklah memberi cadangan agar pihak PIBG bersetuju untuk mencari dana bagi membiayai program yang berkaitan permainan tradisional. Sebagai contoh, pihak PIBG menganjurkan pertandingan permainan tradisional dengan menawarkan hadiah lumayan kepada peserta. Oleh itu, usaha ibu bapa ini harus dipuji kerana mereka bekerjasama dengan pihak sekolah demi memertabatkan permainan tradisional.

Penutup Karangan Permainan Tradisional

Secara keseluruhannya, ibu bapa menjadi faktor utama yang dapat memupuk minat anak-anak dalam permainan tradisional. Walaupun ibu bapa menghadapi masalah untuk mengubah persepsi anak-anak terhadap permainan tradisional, namun kesungguhan ibu bapa dalam usaha ini ibarat peribahasa lalu ada menyebut genggam bara api biar sampai jadi arang. Tindakan ibu bapa yang konsisten dalam usaha bersepadu ini haruslah dihargai demi mempertahankan permainan tradisional sebagai sebahagian daripada budaya bangsa yang perlu diwarisi oleh generasi akan datang.


Contoh Karangan: Kebaikan Semangat Kejiranan

Similar Posts