|

Karangan Langkah mengurangkan kemalangan jalan raya

kemalangan jalan raya

Isu kemalangan jalan raya sukar untuk diatasi, namun kerajaan perlu mengambil langkah yang efektif bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Langkah-langkah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya

Kemalangan jalan raya bukanlah satu perkara baru di negara kita, malahan sejak sekain lama kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada musim perayaan. Hal ini disebabkan anggota masyarakat di Malaysia begitu ghairah untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dengan perasaan bagai digamit rindu sehingga mengabaikan kepentingan peraturan di jalan raya. Oleh itu, pihak yang berkenaan perlu mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Pemeriksaan kenderaan diwajibkan

Antara usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah pemandu mesti memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik. Mereka perlu sentiasa menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis. Kenderaan yang baik boleh menjamin keselamatan pemandu dan penumpang ketika di jalan raya. Sebaliknya, keadaan kenderaan seperti sistem brek yang rosak boleh mengakibatkan kenderaan tidak dapat dikawal dan menjadi penyumbang utama kemalangan di jalan raya. Pihak kerajaan juga haruslah mewajibkan pemeriksaan kenderaan dilakukan pada setiap tahun dan mengenakan denda terhadap mereka yang mengingkarinya.

Ibu bapa menjadi teladan yang baik

Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka perlu mematuhi peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar ketika menunggang motosikal. Ibu bapa juga perlu memandu kenderaan mengikut had laju yang ditetapkan. Dengan itu, anak-anak akan mencontohi amalan yang baik itu. Oleh hal yang demikian, ibu bapa sememangnya berperanan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Pendidikan Keselamatan Jalan Raya

Sekolah juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Sekolah boleh melaksanakan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya. Para pelajar akan diberi pendedahan tentang  hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya sejak kecil lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, mereka akan menggunakan ilmu yang dipelajari di sekolah dan menjadi pengguna jalan raya yang berhemah. Oleh itu, pendidikan di sekolah boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Peranan media massa

Di samping itu, media massa juga boleh membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Media massa seperti televisyen boleh menyiarkan dokumentari berkaitan kemalangan jalan raya. Penonton akan menjadikan peristiwa kemalangan yang ditonton sebagai pengajaran. Dengan itu,mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jalan raya seperti memandu dengan laju dan menggunakan  telefon ketika memandu. Tindakan ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita.

Kempen keselamatan jalan raya

Seterusnya, kerajaan boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah dengan mengadakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya secara berterusan. Antara kempen yang telah diadakan ialah Kempen Berhati-hati di Jalan Raya. Kempen ini boleh dijalankan di sekolah dan disiarkan melalui televisyen dengan berterusan. Kempen ini sangat penting untuk mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya. Pengguna perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya melalui kempen-kempen keselamatan ini dan janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna menyesalinya lagi.

Undang-undang keselamatan perlu diperketat

Kemalangan jalan raya yang kerap berlaku sejak belakangan ini berpunca daripada sikap pemandu yang suka memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Antara langkah yang patut dilakukan ialah undang-undang keselamatan jalan di jalan raya perlu diperketat supaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Denda harus dikenakan terhadap pengguna yang memandu melebihi had yang ditetapkan. Jika seseorang pemandu itu didapati melakukan kesalahan yang sama lebih daripada dua kali, maka lesen memandu mereka perlu digantung. Sikap tidak mengambil peduli akan keselamatan di jalan raya dalam kalangan pengguna selama ini pasti akan terhakis apabila amaran menggantung lesen memandu mereka dikeluarkan.

Penutup Karangan kemalangan jalan raya

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Kadar kemalangan jalan raya boleh dielakkan dengan wujudnya kerjasama daripada pelbagai pihak. Setiap pihak bertanggungjawab melaksanakan usaha-usaha tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dengan ini, kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan. Hal ini bertepatan dengan slogan “Pandu Cermat Jiwa Selamat”.


Peribahasa dan Ungkapan menarik tentang Kemalangan Jalan Raya
– Ingat orang tersayang
– Jangan sudah terantuk, baru terngadah
– Pandu Cermat Jiwa Selamat
– Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
– Biar lambat asalkan selamat
– Sediakan payung sebelum hujan

Contoh Karangan SPM: Punca Kemalangan Jalan Raya

Similar Posts