|

Contoh Karangan Kebaikan Semangat Kejiranan

Kebaikan Semangat Kejiranan

Semangat kejiranan kian luntur dalam norma masyarakat kini. Masalah ini tidak boleh dipandang sepi kerana semangat ini mendatangkan pelbagai kebaikan dalam pembangunan Keluarga Malaysia. Ulaskan pernyataan tersebut.

Kebaikan Semangat Kejiranan

Umumnya, jiran ialah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang atau tetangga. Hidup berjiran memerlukan semangat kejiranan. Semangat kejiranan ini merujuk kepada tahap keakraban dalam hubungan sesama jiran. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan harmoni samangat berjiran perlu diamalkan kerana pelbagai kebaikan yang diperoleh. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara.

Mudah mendapat bantuan

Kebaikan semangat kejiranan ialah kita akan mudah mendapat bantuan jika kita menghadapi sesuatu masalah. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kehidupan kita tidak dapat lari daripada perkara luar dugaan seperti kebakaran, kemalangan atau kematian. Jika kita menghadapi sesuatu bencana sudah tentunya jiranlah orang yang paling cepat dapat membantu kita. Begitu juga jika kita sakit, jiranlah yang kita harapkan untuk menghantar kita ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan.

Menjamin keselamatan tempat tinggal

Selain itu, semangat kejiranan yang terjalin akan menjamin keselamatan tempat tinggal kita. Semangat kejiranan akan mendorong jiran kita menjaga keselamatan tempat tinggal. Jika jiran mendapati ada orang yang tidak dikenali datang atau memasuki rumah sewaktu kita tiada di rumah, jiran pasti akan menghubungi kita. Contoh pada musim perayaan, jika kita pulang ke kampung untuk menziarahi rumah saudara-mara, jiranlah orang yang diharapkan dapat membantu menjaga rumah kita.

Menjayakan majlis keramaian

Kebaikan lain semangat kejiranan ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian. Majlis keramaian yang kita adakan kadang kala memerlukan bantuan jiran di sekeliling. Dengan adanya bantuan jiran, majlis tersebut menjadi ringan dan berjaya dilaksanakan. Semangat kejiranan yang terjalin juga membolehkan gejala negatif di tempat tinggal kita dicegah. Jiran yang baik, pastinya dapat mendidik dan menasihati anak mereka agar tidak melakukan perkara negatif yang boleh mengganggu ketenteraman membuat bising dan perkara berbahaya di kawasan kejiranan.

Memupuk semangat perpaduan

Di samping itu, semangat kejiranan membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di kita. Perpaduan yang terjalin akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai. Nyatalah semangat kejiranan banyak memberi manfaat baik kepada diri sendiri, penduduk setempat dan masyarakat umumnya. Manfaat yang lebih besar ialah semangat kejiranan ini dapat mendorong terjalinnya hubungan baik antara kaum dan membawa kepada perpaduan.

Penutup Karangan Semangat Kejiranan

Kesimpulannya, semangat kejiranan dalam setiap individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan membentuk perpaduan kaum di negara kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara dengan dengan hati yang ikhlas. Usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan yang beribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama!


Peribahasa tentang Semangat Kejiranan
– Jiran sepakat membawa berkat
– Seperti aur dengan tebing
– Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
– Seikat bagai sirih serumpun bagai serai

Similar Posts