|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 2 – Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan

2.1 Latar Belakang Sejarah Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi sebagai teras pemerintahan sesebuah negara. Sebelum kedatangan British, negara kita diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Raja memerintah berdasarkan undang-undang dan peraturan yang digubal.

Pada zaman British, raja terus diterima sebagai pemerintah berdaulat. Apabila merdeka, negara kita mempunyai perlembagaan yang merupakan unsur penting dalam sesebuah negara.

Asas Pembentukan Perlembagaan

Perlembagaan Persekutuan berasaskan nilai tradisi Kesultanan Melayu dan kemudiannya beberapa prinsip undang-undang Inggeris disesuaikan dengan nilai tempatan.

a. Undang-undang Negeri Melayu

  • Raja sebagai pemerintah.
  • Rakyat memberikan ketaatsetiaan.
  • Undang-undang dan sistem pemerintahan ditentukan oleh raja.
  • Undang-undang yang wujud pada zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka mempengaruhi kandungan undang-undang bertulis di negeri Melayu yang lain. Antara undang-undang bertulis di negeri-negeri Melayu termasuklah Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Johor dan Undang-Undang 99 Perak.
  • Sebelum kedatangan Kuasa Barat, negara kita sudah mempunyai undang-undang dan adat Melayu yang digunakan sebagai asas perlembagaan. Undang-undang ini menjadi panduan serta kawalan kepada raja dan pembesar dalam proses pemerintahan negara.
  • Undang-undang di negeri-negeri Melayu mengalami perubahan demi perubahan selaras dengan perkembangan masyarakat sehingga kemunculan dan pengenalan undang-undang dari barat sekitar awal abad ke-19.

b. Undang-undang Inggeris

  • British memperkenalkan undang-undang di Negeri- negeri Selat (NNS) yang dikenali sebagai Charter of Justice.
  • Diambil daripada undang-undang yang digubal di England.
  • Piagam terpilih yang bersesuaian dengan kegunaan NNS sahaja diguna pakai. Contohnya, Charter of Justice 1807.
  • Di Sarawak pula terdapat The Sarawak Application of Laws Ordinance 1949 yang menggunakan The Common Law of England.
  • Di Sabah terdapat undang-undang yang sama disebut Sabah Application of Laws Ordinance 1951.
  • Pada zaman pentadbiran British di NNS, iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura memperkenalkan undang-undang yang diambil dari England, iaitu Charter of Justice. Matlamatnya adalah untuk melindungi penduduk asal daripada penindasan dan ketidakadilan.

c. Charter of Justice di Negeri-negeri Selat

  • Charter of Justice I – 1807
    • Mewujudkan mahkamah di Pulau Pinang.
  • Charter of Justice II – 1826
    • Menyatukan mahkamah di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.
  • Charter of Justice III – 1855
    • Mewujudkan mahkamah di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pada bulan Ogos 1956, Perlembagaan Sarawak memberikan kuasa kepada badan membuat undang-undang, iaitu Council Negri (Majlis Negeri) yang mengandungi 45 orang ahli dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha. Majlis Tertinggi pula dipengerusikan oleh Gabenor yang turut dianggotai oleh Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara. Perlembagaan Sarawak pada tahun 1959 memberikan kuasa pentadbiran negeri kepada Majlis Tertinggi dan Council Negri.

Di Sabah pula ditubuhkan Majlis Undangan dan Majlis Kerja pada tahun 1950. Majlis Undangan memberikan kuasa kepada Gabenor untuk menggubal undang-undang dalam pemerintahannya.

Institusi pemerintahan beraja diteruskan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Walaupun begitu, beberapa pindaan disesuaikan dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diperkenalkan dan menjadi asas kepada perlembagaan negara kita pada hari ini. Perlembagaan inilah menjadi asas kepada sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

2.2 Sejarah Penggubalan Perlembagaan Persekutuan

Sejarah penggubalan Perlembagaan Persekutuan bermula pada tahun 1877 hingga tahun 1957. Pembentukan undang-undang dalam sesebuah negara dilakukan oleh badan yang sah dalam perundangan.

Di Malaysia, badan perundangan dinamakan Parlimen yang berkuasa penuh membentuk undang-undang negara. Sejak negara mencapai kemerdekaan, ahli Parlimen memainkan peranan meminda perlembagaan bagi menegakkan kedaulatan negara.

Di NNS terdapat Charter of Justice untuk melindungi penduduk. Sementara itu, pembentukan undang- undang di negeri Melayu pula dimulai oleh Majlis Negeri Perak.

Tahun 1877

Mesyuarat pertama Majlis Negeri Perak pada tahun 1877 yang dipengerusikan oleh Raja Muda Yusuf permulaan kepada pembentukan undang-undang negara. Majlis Negeri Perak berperanan menggubal undang-undang negeri Perak. Kemudiannya, peranan yang sama ini dimainkan oleh semua Majlis Negeri di negeri Melayu yang lain.

Tahun 1947

Undang-undang di NNS digubal oleh Majlis Undangan Negeri manakala undang-undang di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) digubal oleh Majlis Persekutuan. Sementara itu, undang-undang di Negeri- negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) pula digubal oleh Majlis Negeri.

Tahun 1948

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 merupakan titik penting pembentukan sebuah Persekutuan yang terdiri daripada negeri-negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang. Antara kandungan yang terdapat dalam Persekutuan Tanah Melayu termasuklah pentadbiran, kuasa raja Melayu, perundangan dan kewarganegaraan.

Tahun 1957

Suruhanjaya perlembagaan ini dikenali sebagai Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu atau Suruhanjaya Reid. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 disesuaikan dengan model Westminster diambil dari Britain. Perlembagaan ini berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan ini menjadi asas kepada perlembagaan negara kita. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 bermodelkan Westminster.

2.3 Ciri Utama Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan merupakan peraturan tertinggi dan panduan dalam sistem pemerintahan negara. Perlembagaan mempunyai dua ciri utama, iaitu tradisional dan moden yang diperlukan bagi kestabilan serta kemajuan negara.

Ciri Tradisional

1. Kesultanan atau Pemerintahan Beraja

Sejak berabad-abad, negeri Melayu diperintah berdasarkan pemerintahan beraja. Sultan merupakan pemerintah berdaulat dan memiliki kuasa penuh di negeri masing-masing.

Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, pemerintahan beraja diteruskan dan disesuaikan dengan konsep Demokrasi Berparlimen. Yang di- Pertuan Agong diperuntukkan melalui perlembagaan kuasa pemerintahan sebagai pemerintah tertinggi negara. Kuasa Yang di- Pertuan Agong termasuklah kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman orang yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah. Baginda juga mempunyai kuasa membuat pelantikan bagi jawatan utama negara.

Pada peringkat negeri, raja merupakan ketua negeri. Pada baginda, terletak kuasa eksekutif yang dilaksanakan melalui nasihat Majlis Mesyuarat Negeri. Raja mempunyai kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman kepada mereka yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah serta pelantikan jawatan utama negeri. Raja dikenali sebagai tonggak kehormatan dan keadilan yang membolehkan baginda mengurniakan anugerah, penghormatan dan bintang kehormat kepada individu yang terpilih.

2. Agama Islam

Peruntukan perlembagaan berkaitan agama Islam antara ciri tradisional. Pada zaman British, raja di negeri Melayu tidak menerima nasihat daripada penasihat British berkaitan dengan hak dan kedaulatan raja, adat istiadat orang Melayu dan agama Islam.

Selepas merdeka, agama Islam negeri Melayu terletak di bawah kuasa raja di negeri masing- masing. Bagi Wilayah Persekutuan dan negeri tidak beraja, ia terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

3. Bahasa Melayu

Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu digunakan dalam pemerintahan. Bahasa Melayu menjadi lingua franca dan memainkan peranan sebagai liahasa ilmu.

Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita.

4. Kedudukan Orang Melayu dan Bumiputera

Sebelum merdeka, kedudukan orang Melayu dan bumiputera adalah di bawah kuasa raja dan ketua peribumi.

Apabila mencapai kemerdekaan, Yang di-Pertuan Agong diberi tanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sarawak dan Sabah serta kepentingan sah kaum lain.

Ciri Moden

1. Kerajaan Persekutuan

Antara perkara utama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah mewujudkan satu sistem kerajaan Persekutuan.

Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menyarankan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diberi kuasa dalam bidang tertentu.

Apabila Malaysia dibentuk, Sarawak dan Sabah diberi beberapa autonomi.

2. Sistem Demokrasi Berparlimen

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sistem demokrasi di Malaysia. Asas kepada demokrasi ialah pilihan raya umum pada tahun 1955.

Tujuan utama pilihan raya adalah untuk memberikan kebebasan kepada rakyat memilih wakil pemimpin dan menubuhkan kerajaan.

Bagi menentukan pilihan raya dapat dijalankan dengan adil, maka ditubuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya. SPR bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan pilihan raya:-

  • Pilihan raya persekutuan memilih wakil bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
  • Pilihan raya negeri pula memilih wakil untuk membentuk Kerajaan Negeri.

3. Kewarganegaraan

Kewarganegaraan Persekutuan mula diperkenalkan pada tahun 1948 melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Sebelum itu tidak terdapat satu kewarganegaraan yang sama bagi seluruh negara.

Rakyat dikategorikan sebagai rakyat raja dan terdapat juga penduduk yang mendapat kerakyatan British sekiranya dilahirkan di Melaka atau Pulau Pinang.

Kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia melahirkan taraf kewarganegaraan yang sama kepada rakyatnya.

2.4 Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1963 dan 1965

Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Hal ini berlaku apabila terjadi penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.

Pindaan perlembagaan dilakukan bertujuan menyesuaikan peruntukan negeri baharu ke dalam perlembagaan tanpa mengubah kedudukan negeri yang sedia ada.

Terdapat beberapa pindaan perlembagaan yang utama dilakukan pada tahun 1963 dan 1965 melibatkan struktur Mahkamah Atasan dan pemisahan Singapura.

Pindaan Perlembagaan 1963

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dipinda selepas pembentukan Malaysia. Pindaan yang dibuat adalah dengan cara memasukkan klausa baharu pada bahagian tertentu bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa. Terdapat tiga perkara utama yang berlaku dalam pindaan Perlembagaan 1963, iaitu struktur Mahkamah Atasan, pembentukan Mahkamah Tinggi Borneo dan jawatan Yang di-Pertua Negeri.

1. Struktur Mahkamah Atasan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 menetapkan struktur Mahkamah Atasan mengikut model Mahkamah Tertinggi England yang membahagikannya kepada Mahkamah Atasan dan Mahkamah Rayuan. Apabila Malaysia dibentuk. Mahkamah Atasan diwujudkan, iaitu Mahkamah Persekutuan.

Tiga buah Mahkamah Atasan diwujudkan, iaitu di Persekutuan Tanah Melayu, di Sarawak dan Sabah serta di Singapura. Mahkamah Persekutuan boleh mendengar mana-mana persoalan perlembagaan dan pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri

2. Pembentukan Mahkamah Tinggi Borneo

Perlembagaan Malaysia mengekalkan kedudukan Mahkamah Tinggi Malaya dan pada masa yang sama diwujudkan Mahkamah Tinggi Borneo.

Mahkamah Tinggi Borneo ini berperanan untuk menguruskan soal kehakiman di Sarawak dan Sabah.

Pada tahun 1963, jawatan Ketua Hakim Borneo diwujudkan dengan berpusat di Kuching, Sarawak.

Menjelang tahun 1994, nama jawatan ini diubah kepada Ketua Hakim Sarawak dan Sabah.

3. Jawatan Yang di-Pertua Negeri

Apabila Malaysia dibentuk, Sarawak dan Sabah diketuai oleh Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam menjalankan tugasnya, Yang di-Pertua Negeri perlu mengikut nasihat Majlis Tertinggi bagi Sarawak dan Kabinet Negeri bagi Sabah.

Pindaan Perlembagaan 1965

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selaku Perdana Menteri Malaysia pertama, membawa usul pindaan perlembagaan yang dinamakan pindaan Singapura di Parlimen pada 7 Ogos 1965.

Parlimen meluluskan usul ini yang membolehkan Singapura keluar daripada Malaysia. Oleh itu, semua perkara berkaitan dengan Singapura dimansuhkan dalam Perlembagaan Malaysia (pindaan 1965). Contohnya, dari segi imigresen, kewangan, hubungan luar negara dan pertahanan.

Rumusan

1. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara. Perlembagaan menjadi panduan penting bagi negara yang menjelaskan kuasa dalam setiap perkara. Negara kita juga mengalami pindaan perlembagaan pada tahun 1963 dan 1965.

2. Malaysia sebuah negara unik yang mempunyai perlembagaan berasaskan ciri tradisisional dan moden. Kedua-dua ciri ini saling melengkapi antara satu sama lain.

3. Apabila Malaysia dibentuk pada tahun 1963, pindaan perlembagaan dilakukan bagi menyesuaikannya dengan Sarawak dan Sabah.

4. Pindaan perlembagaan yang dilakukan pada tahun 1965 menyaksikan pemisahan Singapura daripada Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, kita bertanggungjaawab mempertahankan perlembagaan demi kedaulatan negara.

Similar Posts