|

Tema Novel Komsas Bahasa Melayu SPM

Tema Novel Komsas

Berdasarkan sebuah komsas novel yang anda kaji di tingkatan 4 dan tingkatan 5, huraikan tema dan buktinya dalam novel tersebut.

Leftenan Adnan Wira Bangsa

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib. Tema novel ini adalah tentang keberanianaskar Melayu dalam mempertahankan tanah airdaripada dijajah oleh orang asing.

Bukti yang pertama ialah keberanian menganggotai Rejimen Askar Melayu walaupun mengetahui risiko sebagai askar. Adnan berani menganggotai Rejimen Askar Melayu dan sanggup menjalani latihan ketenteraan yang keras dan penuh disiplin di Kem Haig Lines, Port Dickson. Adnan dilatih menggunakan senjata api, teknik mempertahankan diri dan gerak tempur. Adnan turut mempelajari ilmu agama dan undang-undang. Hasil keberanian Adnan akhirnya beliau muncul sebagai rekrut terbaik.

Bukti yang kedua ialah keberanian dalam usaha untuk mempertahankan negara ini daripada dijajah oleh tentera Jepun. Adnan sanggup terkorban di tangan Jepun demi memastikan Bukit Candu tidak jatuh ke tangan Jepun. Walaupun semua askar Melayu telah terkorban dan yang tinggal hanya Leftenan Adnan dan Koperal Yaakob, namun Leftenan Adnan tetap terus berjuang menentang Jepun. Selepas senjata api mereka kehabisan peluru, Leftenan Adnan terus bertempur menggunakan bayonet hingga akhirnya beliau ditangkap lalu dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun.


Di Sebalik Dinara

Novel yang saya kaji ialah novel Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor. Tema novel ini adalah tentang ketaasuban terhadapdunia sains dan teknologi hingga menghilangkannilai kemanusiaan.

Bukti yang pertama ialah pakar penggodam sistem pengkomputeran menjadi mangsa kepada ayah kandungnya sendiri. Karl yang taasub untuk mencipta sesuatu yang baharu telah mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan asalkan hajatnya tercapai sehingga sanggup menjadikan Farisha, anaknya sendiri bahan uji kaji dengan memasukkan mikrocip dalam badan Farisha sejak dia kecil lagi agar dia mewarisi kebijaksanaan karl.

Bukti yang kedua ialah sikap seseorang yang sanggup melenyapkan pesaingnya. Karl yang taasub dengan teknologi telah hilang sifat kemanusiaan apabila dia sanggup melenyapkan Marilyn/Medina yang merupakan pesaingnya. Pada awalnya, Marilyn ialah pembantu penyelidik Karl. Namun, apabila Karl merasakan bahawa Marilyn lebih hebat daripadanya, maka Karl telah merancang untuk menghapuskan Marilyn. Marilyn dijadikan bahan uji kaji sehingga akhirnya dia menjadi gila. Walaupun dikatakan gila oleh kebanyakan orang, namun Marilyn tetap meneruskan dendamnya untuk menjatuhkan Karl. Dia meneruskan ciptaan sainsnya dan akhirnya menyebarkan virus ke dalam sistem komunikasi terbaharu yang dihasilkan oleh Karl, iaitu Dinara.


Jendela Menghadap Jalan

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin. Tema novel ini adalah tentang kehidupan masyarakat kampungMelayu yang masih mengamalkan kehidupan tradisional namun semakin diancam arus pemodenan.

Bukti yang pertama ialahpengamalan perubatan tradisional yangboleh mengubati pesakit dengan menggunakan ubat-ubatan tradisional. Datuk menggunakan ubat-ubatan tradisional untuk mengubati Kak Mimah yang menghidapi penyakit gout. Datuk membalut kaki kiri Kak Mimah dengan campuran herba, cendawan pokok, daun sirih, daun belimbing, pegaga, dan mas cotek untuk meredakan bengkak urat. Datuk menyuruh Kak Mimah bermalam di rumahnya untuk membuat rawatan susulan iaitu mandi akar-akar kayu.

Bukti yang kedua ialah anak yang mengubati ayahnya dengan perubatan moden. Danel menyatakan kepada datuk bahawa dia ingin membawa William mencuba rawatan moden. Namun, pantang larang ketika proses rawatan tradisional telah menghalang hasrat mereka. Danel mahu ayahnya menghentikan pengambilan akar kayu dan herba sebaliknya beralih menggunakan produk kesihatan keluaran syarikat MLM. Datuk cuba mempertahankan kaedah rawatannya namun Danel tetap dengan pendiriannya menyebabkan datuk kecewa.


Pantai Kasih

Novel yang saya kaji di Tingkatan 4 ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Tema novel ini adalah tentang ketabahan seorang wanita menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam hidupnya.

Bukti yang pertama ialah peristiwa ketabahan seorang ibu dalam menghadapi kekurangan fizikal anaknya. Raiha tabah menghadapi kekurangan fizikal anak perempuan tunggalnya yang merupakan seorang anak istimewa. Sejak mengetahui keadaan anaknya dalam kandungan, suaminya meminta agar kandungan itu digugurkan, namun Raiha tetap mahu melahirkan anak tersebut walaupun mendapat tentangan daripada suaminya. Doktor Sadiz turut meminta agar Ayu dihantar ke asrama yang mengasuh anak istimewa, namun Raiha bertegas untuk memelihara sendiri dan menghabiskan masa dengan anaknya itu. Kedegilan Raiha menyebabkan suaminya berasa marah dan membakar kereta mewah yang dibawa oleh Raiha untuk melarikan diri bersama Rohayu.

Bukti yang kedua ialah peristiwa ketabahan seorang isteri dalam menghadapi kegagalan rumah tangga. Raiha tabah menghadapi kegagalan rumah tangga dengan Doktor Sadiz. Doktor Sadiz marah kerana Raiha melebihkan perhatian kepada anaknya apabila sudah dilahirkan. Kejadian kematian anaknya akibat disambar api kereta mewah yang sedang marak merupakan kemuncak kemarahan suaminya. Doktor Sadiz menang dalam kes kematian Ayu kerana saksi utama tidak muncul dalam perbicaraan di mahkamah keluarga. Doktor Sadiz melafazkan bahawa dia tidak akan melepaskan Raiha melainkan meninggalkannya gantung tiada bertali sepanjang hayatnya.


Songket Berbenang Emas

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip. Tema novel ini adalah tentang kegigihan seorang gadis dalam menempuhi berbagai-bagai cabaran dan dugaan hidup.

Bukti yang pertama ialah kegigihan cucu berhadapan dengan sikap buruk sangka neneknya. Dahlia gigih berhadapan dengan sikap buruk sangka nenek terhadap dirinya. Nek Kiah menuduh Dahlia pembawa sial dan perempuan murahan kerana membawa lelaki pulang. Apabila Nek Kiah jatuh sakit, Dahlia dan adik-adiknya menjaga Nek Kiah di hospital secara bergilir-gilir.

Bukti yang kedua ialah kegigihan anak menghadapi masalah kesihatan ibunya. Dahlia gigih menghadapi masalah kesihatan ibunya, Saleha yang bersikap kurang siuman dan terpaksa dihantar ke Hospital Batu Pahat dan Hospital Permai di Johor Bahru untuk rawatan pemulihan. Ibu Dahlia sering bercakap sendirian dan sesekali ketawa di kebun getah dan merayau-rayau tidak tentu arah apabila menjelang senja. Masalah kesihatan ibunya ini menyebabkan Dahlia perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adiknya.


Novel Tirani

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Tirani karya Beb Sabariah. Tema novel ini ialah kecantikan fizikal bersifat sementara tetapi ilmu yang dimiliki seseorang dapat melindungi kelemahan diri.

Bukti yang pertama ialah kecantikan fizikal menyebabkan seseorang itu menjalani pembedahan. Waheeda yang mahu kelihatan cantik sanggup menjalani pembedahan kosmetik selepas diserang oleh seekor monyet Belanda. Waheeda telah dicederakan oleh monyet Belanda pada bahagian muka dan hidungnya menyebabkan Dr. Zakaria menjahit luka pada kulit pipi dan hidung Waheeda.

Bukti yang kedua ialah kecantikan fizikal menyebabkan isteri diceraikan oleh suaminya. Kecantikan wajah yang dimiliki oleh Waheeda menyebabkan Waheeda banyak kenalan lelaki sehinggakan Zahid menuduh Waheeda mempunyai hubungan dengan Dawood selepas menemukan mereka di dalam bilik chalet Tajau Emas. Zahid cemburu apabila melihat kemesraan Waheeda dengan semua pelanggan di chalet tersebut. Sikap cemburu Zahid ini menyebabkan Waheeda diceraikan olehnya.


Bimasakti Menari

Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Tema novel ini adalah tentang kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar.

Bukti yang pertama ialah kegigihan anak muda memulihkan populasi kelip-kelip. Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman telah bersatu hati dalam berjuang untuk melestarikan alam sekitar. Mereka cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang. Misalnya, Muhammad Taufik memagar anak sungai supaya kelip-kelip mempunyai tempat untuk bersembunyi. Nurul Hafsa pula menjalankan projek menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Langit Gelap untuk mengembalikan populasi kelip-kelip dan kegemilangan Kuala Selangor sebagai pusat kajian falak yang terkenal.

Peristiwa yang kedua ialah kegigihan anak muda untuk mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek mereka. Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman gigih mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek Kawasan Simpan Langit Gelap yang pertama di Asia Tenggara. Nurul Hafsa membentangkan Rancangan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Menteri Besar. Hasil kegigihan mereka, Menteri Besar menyokong projek tersebut dan berharap agar kontraktor yang dipilih mampu menyediakan lampu seperti yang dikehendaki.


Silir Daksina

Novel yang saya kaji ialah novel Silir Daksina karya Nizar Parman. Novel ini membawa tema kekeluargaan.

Bukti yang pertama ialah konflik keluarga yang berpunca daripada perceraian ibu bapanya. Penceraian antara Cikgu Zam dengan isterinya Rafiqah menyebabkan Haiqal dipisahkan oleh ibunya daripada ayah kandungnya iaitu Abdullah Kayan. Namun setelah dewasa dan menerima manuskrip yang dikirimkan oleh Swee Hwa, Haiqal bertekad untuk mengetahui asal usul ayah kandungnya seperti yang terdapat dalam manuskrip walaupun hasratnya ditentang keras oleh ibunya.

Bukti yang kedua ialah kehadiran ibu menonton persembahan anak. Rafiqah yang tidak merestui keputusan Haiqal untuk ke Johor akhirnya melihat persembahan D’Purnama yang disertai oleh Haiqal. Kehadiran Rafiqah ini seolah-olah merestui impian dan cita-cita Haiqal dalam bidang kebudayaan dan sastera. Rafiqah, ayah tiri dan adik tirinya berdiri sambil tersenyum di bahagian belakang balai tempat duduk penonton. Haiqal terkejut dan amat terharu apabila adik tirinya menunjukkan isyarat bagus dengan kedua-dua ibu jarinya kepada Haiqal.

Similar Posts