|

Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Kegiatan Kokurikulum

Cara menggalakkan Kegiatan Kokurikulum

Pelajar semakin tidak berminat dengan aktiviti kokurikulum seperti Kelab, Persatuan dan Unit Beruniform. Apakah langkah dan peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menyertai kegiatan Kokurikulum yang berfaedah ini?

Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Anak Menyertai Kegiatan Kokurikulum

Muktahir, kegiatan kokurikulum di sekolah sudah tidak mendapat perhatian pelajar. Mereka tidak berminat dengan aktiviti kokurikulum dijalankan oleh Kelab, Persatuan dan Unit Beruniform lantaran daripada sikap malas mereka dan pengaruh permainan atas talian. Ada sesetengah pelajar mendaftar nama dalam kegiatan kokurikulum hanya sekadar memenuhi tuntutan dan kewajipan sebagai seorang pelajar sahaja. Jelas sekali, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka agar dapat menggalakkan anak-anak menyertai kegiatan kokurikulum. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam menggalakkan anak- anak terlibat dalam kegiatan yang berfaedah ini?

Melakukan aktiviti riadah atau sukan bersama anak

Antara peranan ibu bapa yang wajar diambil perhatian dalam menggalakkan anak-anak menyertai kegiatan kokurikulum ialah ibu bapa mestilah melakukan aktiviti riadah atau sukan bersama-sama anak. Tujuannya adalah apabila anak-anak terikut-ikut dengan aktiviti sukan ibu bapa seperti sukan badminton, mereka akan aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Tindakan ibu bapa ini sesuai dengan peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya. Mereka akan aktif dalam kegiatan kokurikulum yang melibatkan aktiviti sukan badminton. Secara tidak langsung, tindakan ibu bapa ini akan mempengaruhi anak-anak untuk menyertai aktiviti kokurikulum. Tegasnya, ibu bapa berperanan untuk menggalakkan anak menyertai kegiatan

Memastikan anak menyertai kegiatan kokurikulum

ini.Dari perspektif yang berbeza, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak menyertai kegiatan kokurikulum dengan membeli peralatan atau pakaian yang diperlukan dalam aktiviti kokurikulum. Sebagai contoh, ibu bapa membeli pakaian seragam pasukan Pengakap untuk anak mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut. Hal ini menyebabkan anak- anak teruja untuk memakai pakaian tersebut lalu bersiap sedia menanti hari kokurikulum yang kebiasaannya pelajar diwajibkan memakai pakaian berdasarkan Unit Uniform yang disertai mereka. Secara tidak langsung, anak-anak akan meminati kegiatan kokurikulum yang diadakan di sekolah. Tegasnya, tindakan ibu bapa ini akan menggalakkan penglibatan anak-anak dalam aktiviti kokurikulum.

Memberi sokongan kepada anak

Di samping perspektif tersebut, ibu bapa perlu juga ‘turun padang’ melihat dengan mata dan telinga sendiri penglibatan anak-anak dalam kegiatan kokurikulum. Mereka hendaklah memberi sokongan kepada anak-anak terutamanya apabila terlibat dalam acara-acara penting seperti Hari Sukan, Pertandingan Kawad Kaki, dan Perlawanan Bola Sepak. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan sokongan padu ibu bapa terhadap anak mereka apatah lagi pertandingan tersebut merupakan detik indah yang terbaik dalam hidup mereka. Kekerapan ibu bapa terlibat secara proaktif dalam aktiviti kokurikulum anak-anak akan memberi semangat kepada mereka untuk memberi pencapaian terbaik dalam kegiatan kokurikulum. Tegasnya, sikap ibu bapa yang ‘lebih sudu daripada kuah’ ini akan memberi impak positif kepada anak-anak.

Menawarkan hadiah sebagai galakan

Jika dilihat dari perspektif yang lain pula, ibu bapa hendaklah menawarkan hadiah sebagai galakan kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah bijak mengaturkan tawaran yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak. Maka ibu bapa boleh menawarkan hadiah jika mereka terlibat dalam kegiatan kokurikulum. Sebagai contoh, ibu bapa memberikan hadiah sebuah basikal. Sesungguhnya ‘jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, maka usaha ibu bapa ini akan dihargai oleh anak-anak demi memastikan mereka aktif dan cemerlang bukan sahaja dalam kurikulum malah kokurikulum.

Penutup Karangan Kegiatan Kokurikulum

Secara keseluruhannya, ibu bapa sanggup berkorban demi memastikan anak mereka cemerlang dalam pelbagai aspek sama ada dalam pelajaran, sahsiah atau kokurikulum. Oleh itu, ibu bapa hendaklah menggalakkan anak -anak menyertai kegiatan kokurikulum demi menjamin masa depan mereka.


Contoh Karangan: Cara mencungkil bakat pelajar

Similar Posts