|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 4 – Sistem Persekutuan

Sejarah Sistem Persekutuan

4.1 Latar Belakang Sistem Persekutuan di Negara Kita

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Persekutuan. Persekutuan bermaksud penyatuan beberapa buah negeri dan membentuk sebuah negara bersekutu.

Antara unsur penting dalam sebuah negara Persekutuan termasuklah wujudnya Kerajaan Persekutuan (Kerajaan Pusat) dan Kerajaan Negeri serta pembahagian kuasa dalam sistem pentadbiran.

Pembentukan Sistem Persekutuan di Malaysia

Sistem persekutuan di negara kita mempunyai latar belakang sejarah tersendiri, iaitu bermula pada tahun 1896 hingga tahun 1963.

Persekutuan 1896

Berikutan peluasan pengaruh British, sebuah Persekutuan yang terdiri daripada empat buah negeri Melayu ditubuhkan berdasarkan Perjanjian Persekutuan 1895.

Persekutuan berkuat kuasa pada tahun 1896 dan dikenali sebagai NNMB. Persekutuan tersebut tidak mempunyai agihan kuasa dan fungsi khusus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Banyak keputusan pentadbiran dibuat oleh Residen Jeneral di Kuala Lumpuar sebagai pusat pentadbiran NNMB.

Majlis Mesyuarat Persekutuan 1927

Majlis ini distruktur semula pada tahun 1927 untuk memperkemas tadbir urus Persekutuan dan mengukuhkan kedudukan British di negeri Melayu.

Raja-raja Melayu dan pembesar bergambar selepas menandatangani perjanjian penstrukturan semula Majlis Mesyuarat Persekutuan pada tahun 1927.

Kesatuan Malaya 1946 (Malayan Union)

Pada tahun 1946, British berusaha untuk menyatukan pentadbiran semua negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka untuk membentuk sebuah kerajaan berbentuk kesatuan yang dinamakan Kesatuan Malaya 1946 atau Malayan Union.

Konsep kesatuan yang diperkenalkan di bawah Malayan Union ini turut membayangkan pembentukan sebuah kerajaan pusat yang kuat di bawah kuasa Gabenor British.

Malayan Union dilaksanakan dalam tempoh masa yang terhad dan gagal diteruskan setelah mendapat bantahan daripada Raja-raja Melayu dan orang Melayu.

Persekutuan Tanah Melayu 1948

Satu gabungan sembilan buah negeri Melayu dan dua buah NNS yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu terbentuk melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 menetapkan kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pengagihan kuasa peringkat persekutuan dan negeri menandakan bermula era moden amalan Persekutuan di negara kita. Pesuruhjaya Tinggi British dilantik sebagai ketua Persekutuan. Raja- raja Melayu memerintah negeri mengikut perlembagaan negeri masing-masing.

Persekutuan Tanah Melayu 1957

Pada 31 Ogos 1957, muncul Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Persekutuan yang berasaskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 mewujudkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang kuat bagi melicinkan pentadbiran negara yang berdaulat.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sebagai Ketua Persekutuan. Konsep Persekutuan diperkukuh dengan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen melalui peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Persekutuan Malaysia 1963

Pada 16 September 1963, berdasarkan Perjanjian Malaysia, maka lahir sebuah Persekutuan yang terdiri daripada 11 buah negeri Tanah Melayu, Singapura dan dua buah negeri Borneo, iaitu Sarawak dan Sabah. Persekutuan ini dinamakan Malaysia.

Pembentukan sistem Persekutuan di negara kita merupakan penerusan tradisi sejarah. Sistem tersebut berakar umbi daripada pemerintahan beraja dan berkait rapat dengan peluasan pengaruh British dalam pentadbiran negeri Melayu.

4.2 Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Pentadbiran Kerajaan Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

1. Pembahagian Kuasa

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa yang khusus antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri yang meliputi kuasa perundangan dan kuasa pemerintahan.

Pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bertujuan melicinkan perjalanan sistem Persekutuan serta mengelakkan permasalahan antara kedua-dua peringkat kerajaan.

Peruntukan kuasa lebih besar diberikan pada peringkat Persekutuan untuk mewujudkan Kerajaan Persekutuan yang kuat bagi menjamin kestabilan dan kemajuan negara.

Tiada peruntukan kuasa khusus kepada Kerajaan Tempatan, sebaliknya Kerajaan Tempatan diletakkan di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

2. Kuasa Kerajaan Persekutuan

Pada peringkat Persekutuan, institusi yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang bagi seluruh Malaysia ialah Parlimen.

Kuasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan meliputi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Senarai Persekutuan.

Senarai Persekutuan menjelaskan kuasa Kerajaan Persekutuan yang luas meliputi skop kepentingan nasional dan merangkumi semua aspek perkhidmatan berhubung dengan pentadbiran negara.

Antara yang terkandung dalam Senarai Persekutuan termasuklah:

  • Hal ehwal luar negeri.
  • Pertahanan.
  • Keselamatan dalam negeri.
  • Pentadbiran keadilan.
  • Kewarganegaraan.
  • Kewangan.
  • Perhubungan dan pengangkutan.
  • Pelajaran.
  • Perubatan dan kesihatan.

3. Kuasa Kerajaan Negeri

Setiap negeri di Malaysia mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi negerinya.

Kuasa pemerintahan Kerajaan Negeri meliputi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Senarai Negeri.

Antara perkara yang terkana Senarai Negeri termasuklah:

  • Undang-undang Islam.
  • Tanah.
  • Pertanian dan perhutanan.
  • Kerajaan tempatan.
  • Hari kelepasan negeri.

4. Senarai Bersama

Senarai Bersama ialah perkara yang membolehkan Parlimen dan DUN menggubal undang-undang untuk perkara yang sama.

Sekiranya ada percanggahan bagi perkara di bawah Senarai Bersama, undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen harus dipatuhi.

Antara perkara yang terkandung dalam Senarai Bersama termasuklah:

  • Kebajikan awam.
  • Biasiswa.
  • Perlindungan haiwan liar dan taman negara.
  • Perancangan bandar dan luar bandar.
  • Kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit.
  • Kebudayaan dan sukan.
  • Perumahan.

5. Peruntukan Tambahan bagi Sarawak dan Sabah

Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah diberi kuasa tambahan bagi menyesuaikan kemasukan negeri berkenaan ke dalam Persekutuan Malaysia.

Antara tambahan kepada Senarai Negeri bagi Sarawak dan Sabah termasuklah:

  • Undang-undang dan adat anak negeri.
  • Mahkamah Anak Negeri.
  • Kereta api di Sabah.
  • Undang-undang diri berhubung dengan perkahwinan, penceraian, penjagaan anak, nafkah dan sebagainya berkaitan dengan undang-undang keluarga.
  • Penyelidikan pertanian dan perhutanan, pengawalan makhluk perosak dan pencegahan penyakit tumbuhan.
  • Pilihan raya bagi Dewan Negeri.

Di bawah Akta Imigresen 1963, Kerajaan Negeni Sarawak dan Sabah diberi kuasa untuk mengekalkan kuasa kawalan, kemasukan dan kediaman di negeri-negeri berkenaan.

Peranan Kerajaan Tempatan

Kerajaan Tempatan merupakan kerajaan peringkat ketiga yang diberi kuasa untuk mentadbir dan melaksanakan tanggungjawab dalam sesebuah kawasan tempatan atau daerah kecil yang diwartakan. Kerajaan Tempatan lebih dikenali sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Kerajaan Tempatan merupakan perantara antara Kerajaan Negeri dengan rakyat serta berperanan memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat. Fungsi Kerajaan Tempatan digariskan oleh Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], merangkumi semua jenis Kerajaan Tempatan seperti Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Antara Fungsi Kerajaan Tempatan

(Pihak Berkuasa Tempatan)

  • Menyediakan perkhidmatan pembersihan
  • Mengeluarkan lesen dan kawalan penjaja
  • Membangunkan perumahan awam.
  • Menyediakan kemudahan sukan dan kebudayaan.
  • Menyediakan pasukan bantuan dan penyelamat.
  • Menyediakan perkhidmatan kecemasan.
  • Menyediakan kemudahan awam.
  • Menyenggara jalan raya
  • Menyenggara sistem saliran.
  • Mengindahkan kawasan.
  • Menjaga kesihatan awam.

Pembahagian kuasa dalam sistem Persekutuan menggambarkan kepentingan mewujudkan pentadbiran yang sistematik bagi melicinkan tadbir urus negara. Setiap peringkat kerajaan dalam Persekutuan mempunyai peranan untuk membentuk pentadbiran yang berwibawa bagi kemajuan bangsa dan negara.

4.3 Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri penting untuk memastikan segala usaha pembangunan dapat memberikan manfaat demi kesejahteraan rakyat di seluruh negara. Kerjasama ini antaranya meliputi aspek pembangunan sosioekonomi, pemeliharaan khazanah negara, perumahan dan keselamatan.

Kerjasama Pembangunan Sosioekonomi

Bagi menjayakan pembangunan sosioekonomi, Kerajaan Persekutuan menubuhkan agensi yang dapat memberikan bantuan kewangan dan kepakaran kepada Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri pula menyediakan tanah untuk tujuan pembangunan kerana tanah di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri.

Pembangunan Tanah

Pada peringkat awal kemerdekaan, kerjasama sosioekonomi tertumpu pada pembukaan tanah baharu dan pembangunan In-Situ.

Pada tahun 1956, Kerajaan Persekutuan menubuhkan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan untuk mengurus dan menyalurkan bantuan kewangan kepada Kerajaan Negeri dalam usaha melaksanakan rancangan pembangunan tanah baharu.

Kejayaan FELDA mendorong Kerajaan Persekutuan menubuhkan Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority (FELCRA) atau Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan pada tahun 1966 untuk menyatukan, memulihkan dan membangunkan tanah Kerajaan Negeri yang terbiar di seluruh negara.

Pembangunan Wilayah

Selepas tahun 1970, kerjasama sosioekonomi diperluas kepada pembangunan wilayah berdasarkan pembangunan kawasan. Kerajaan Persekutuan membuka kawasan lebih luas di beberapa buah negeri untuk membangunkan wilayah baharu.

  1. Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)
  2. Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)
  3. Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
  4. Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA)
  5. Lembaga Kemajuan – Terengganu Tengah (KETENGAH)
  6. Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)

Pembangunan Koridor Wilayah

Selepas tahun 2005, kerjasama sosioekonomi dilaksanakan melalui Pembangunan Koridor Wilayah berlandaskan projek pembangunan.

Pembangunan Koridor Wilayah merupakan perancangan strategik jangka panjang yang memberikan tumpuan kepada pembangunan di negeri dan wilayah yang kurang pesat untuk mewujudkan keseimbangan pembangunan negeri dan wilayah.

Kerjasama Pemuliharaan Khazanah Negara

Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kekayaan flora dan fauna. Bagi mengekalkan warisan biodiversiti untuk kepentingan generasi kini dan akan datang, kerajaan pada setiap peringkat bekerjasama mewujudkan rangkaian kawasan perlindungan seperti taman negara dan taman laut.

Pengurusan Taman Negara

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, pengurusan hidupan liar dan taman negara merupakan tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Bagi mengukuhkan kerjasama ini, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 [Akta 76] diwujudkan pada tahun 1972. Pada tahun 2010, akta ini digantikan dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang dikenali sebagai Akta 716. Antara tahun 1972 hingga tahun 1978, Kerajaan Persekutuan mengambil alih pentadbiran semua Jabatan Mergastua Negeri di Semenanjung Malaysia.

Jabatan Mergastua kemudiannya dinamakan sebagai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.

Pengurusan taman negara di Sarawak terletak di bawah pengurusan Perbadanan Perhutanan Sarawak manakala taman negara di Sabah terletak di bawah Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Pengurusan Taman Laut

Bagi memulihara khazanah laut di negara kita, 42 buah pulau di perairan Kedah, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Labuan diwartakan sebagai taman laut sejak tahun 1994.

Kerajaan Persekutuan membentuk dasar berkaitan dengan taman laut. Kerajaan Negeri berkuasa terhadap pembangunan pulau.

Penyelarasan pentadbiran taman laut dibuat melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Taman Laut dan Rizab Laut yang dianggotai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Jabatan Taman Laut Malaysia ditubuhkan pada tahun 2007 sebagai agensi Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab secara keseluruhan dalam dasar pengurusan taman laut di Malaysia. Pada tahun 2018, pengurusan taman laut dipindahkan ke Jabatan Perikanan Malaysia. Kawasan perlindungan marin di perairan Sabah pula di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri melalui agensinya, iaitu Taman-Taman Sabah.

Kerjasama Penyediaan Perumahan Rakyat

Perumahan terletak di bawah kuasa bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Pelbagai strategi dan langkah kerjasama diambil oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

Perumahan Awal Kemerdekaan

Pada awal kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bekerjasama menyediakan perumahan kos rendah terutamanya di kawasan bandar.

Kerajaan Persekutuan menubuhkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada tahun 1964 untuk menggiatkan usaha menyediakan perumahan kos rendah.

Kerajaan Negeri menyediakan tanah yang dijual pada harga rendah kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina rumah.

Perumahan untuk Mengatasi Masalah Kemiskinan

Selepas tahun 1970, Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi membina rumah untuk rakyat berpendapatan rendah. Kerajaan mengenal pasti penyediaan perumahan bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah kekurangan rumah tetapi juga sebagai langkah menghapuskan kemiskinan.

Kerajaan Persekutuan melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPR) pada tahun 1997 untuk membina perumahan awam di seluruh negara.

Kerajaan Negeri menubuhkan agensi pembangunan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak untuk membina rumah bagi rakyat berpendapatan rendah. Kerajaan Negeri juga memperkenalkan program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) melalui peruntukan kewangan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Perumahan Mampu Milik

Pada tahun 2014, Majlis Perumahan Negara ditubuhkan untuk merangka strategi menyediakan perumahan mampu milik.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menubuhkan pelbagai agensi serta memperkenalkan program khusus untuk membolehkan golongan pertengahan memiliki rumah.

Antara program peringkat Persekutuan termasuklah:

  • Perbadanan Perumahan 1 Malaysia (PRIMA).
  • Rumah Mesra Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
  • Antara program peringkat negeri termasuklah:
  • Rumah Selangorku (Selangor).
  • Rumah Mampu Milik Johor (Johor).

Kerjasama Menjamin Keselamatan dan Kedaulatan Negara

Keselamatan dan pertahanan negara adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Pada umumnya. keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala pertahanan negara di bawah Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).

Kedua-dua aspek tersebut diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun begitu. Kerajaan Persekutuan mengadakan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan keselamatan rakyat dan kedaulatan negara terpelihara seperti mewujudkan kawasan keselamatan khas di Sarawak dan Sabah

Pemerintahan Keselamatan Daerah Rajang di Sarawak

Berikutan ancaman komunis yang semakin meningkat di Sarawak, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia mengisytiharkan Bahagian Ketiga Sarawak sebagai Rajang Area Security Command (RASCOM) atau Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang.

Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi Negeri dalam RASCOM. Beliau bertanggungjawab menyelaraskan fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dengan pejabat awam dalam kawasan RASCOM.

Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui RASCOM berjaya memulihkan serta mengekalkan keselamatan dan keamanan di bahagian tengah Sarawak. Pada tahun 1995 RASCOM dibubarkan dan semua operasi keselamatan diselaraskan di bawah MKN.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah

Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri menubuhkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ekoran pencerobohan pengganas dari Kepulauan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 12 Februari 2013. Misi ESSCOM untuk meningkatkan keselamatan Kawasan Timur Sabah daripada sebarang ancaman melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan.

ESSCOM bertanggungjawab mengawasi keselamatan 10 daerah di Pantai Timur Sabah yang dikenali sebagai Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) atau Zon Keselamatan Timur Sabah.

4.4 Faktor yang Mengukuhkan Sistem Persekutuan

Kekukuhan sistem Persekutuan di negara kita berkait rapat dengan konsep keluhuran Perlembagaan.

Keluhuran Perlembagaan Mengukuhkan Persekutuan

Sejak negara mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan diangkat sebagai undang-undang tertinggi bagi mentakrifkan prinsip Persekutuan dan pentadbiran negara. Undang- undang yang digubal oleh Parlimen dan DUN tidak boleh bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen dan DUN tidak boleh menggubal undang- undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan..

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang- undang Persekutuan hendaklah mengatasi undang- undang Negeri.

Penyelarasan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri

Penyelarasan pentadbiran dibuat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta majlis khas.

Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri

Mesyuarat dipengerusikan oleh Perdana Menteri serta dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri. Mesyuarat membincangkan pelaksanaan sesuatu dasar yang diputuskan oleh kerajaan.

Majlis yang Termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penubuhan Majlis Negara untuk menyelaraskan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, iaitu:

  • Majlis Kewangan Negara.
  • Majlis Tanah Negara.
  • Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

Majlis Kewangan Negara

Mentadbir hal ehwal berkaitan dengan kewangan seperti pemberian wang, bayaran cukai dan pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.

Majlis Tanah Negara

Membentuk dasar dan mengawal penggunaan tanah untuk kegiatan pertanian. perlombongan, perhutanan dan sebagainya.

Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan

Perundingan Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri untuk membangunkan Kerajaan Tempatan.

Majlis yang Ditubuhkan oleh Kerajaan

Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri juga dibuat melalui majlis yang ditubuhkan oleh kerajaan seperti yang berikut:

  • Majlis Keselamatan Negara.
  • Majlis Air Negara.
  • Majlis Perumahan Negara.

Similar Posts