|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 10 – Kecemerlangan Malaysia di Persada Dunia

Sejarah Tingkatan 5 Bab 10 - Kecemerlangan Malaysia di Persada Dunia

10.1 Malaysia dalam Isu Global Kontemporari

Sebagai negara yang mengamalkan sikap terbuka, isu pada peringkat global sama ada isu ekonomi, sosial mahupun politik turut mempengaruhi perkembangan negara kita. Sikap dan pandangan Malaysia tentang isu tersebut turut disuarakan dalam pelbagai pertubuhan antarabangsa.

Kemampuan Malaysia menangani isu global membolehkan kedudukan Malaysia dihormati oleh negara lain. Antara isu global yang dihadapi oleh Malaysia termasuklah penyalahgunaan dadah, pertindihan sempadan, kempen antiminyak sawit, pemerdagangan orang dan penyakit berjangkit.

1. Penyalahgunaan Dadah

Penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang dihadapi oleh Malaysia. Malaysia antara negara yang mengisytiharkan perang terhadap penyalahgunaan dadah dan menjatuhkan hukuman berat kepada pesalah dadah.

  • Kesungguhan Malaysia memerangi bahaya penyalahgunaan dadah disuarakan dalam forum antarabangsa seperti International Drug Enforcement Conference-IDEC (Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa) yang ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Amerika Syarikat.
  • Malaysia turut mendapatkan kerjasama daripada International Criminal Police Organization – INTERPOL (Polis Antarabangsa) dalam usaha memerangi dadah serta bekerjasama dengan negara lain bagi menggubal strategi operasi menangani masalah dadah.
  • Kelantangan Malaysia memerangi dadah disuarakan dalam forum PBB apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad, terpilih sebagai Ketua Jawatankuasa Antidadah Antarabangsa pada tahun 1988.

2. Pertindihan Sempadan

Malaysia turut terlibat dalam isu tuntutan sempadan dan hak milik bertindih dengan negara lain.

  • Tuntutan terhadap Pulau Batu Putih melibatkan Malaysia dengan Singapura manakala Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia dengan Indonesia.
  • Kedua-dua tuntutan ini diselesaikan melalui keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Antarabangsa. Pada tahun 2002, Mahkamah Antarabangsa memutuskan Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi hak milik Malaysia.
  • Pada tahun 2008, Mahkamah Antarabangsa memutuskan hak milik Pulau Batu Putih kepada Singapura.
  • Isu tuntutan Kepulauan Spratly melibatkan China, Vietnam, Brunei dan Filipina. Isu ini masih belum selesai sehingga hari ini.
  • Kedudukan Kepulauan Spratly yang terletak di tengah-tengah rantau Asia Tenggara bukan sahaja penting dari sudut geostrategik tetapi juga dari aspek perdagangan sehingga menjadi asas perebutan banyak negara.
  • Bagi Malaysia, tuntutan terhadap Kepulauan Spratly bermula pada tahun 1979 apabila memasukkan sebahagian daripada Kepulauan Spratly ke dalam wilayah Malaysia. Kepulauan ini merangkumi Pulau. Kecil Amboyna, Terumbu Ubi, Terumbu Semarang Barat dan Layang-Layang seperti yang termaktub dalam Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984.
  • Antara usaha yang dilakukan bagi menyelesaikan isu ini termasuklah membangkitkan isu Spratly dalam Forum ASEAN-China pada tahun 1995.

3. Kempen Anti minyak Sawit

Gerakan antiminyak kelapa sawit yang dilancarkan oleh negara maju menggugat ekonomi negara sedang membangun. Isu ini terpaksa dihadapi oleh negara pengeluar minyak sawit termasuk Malaysia dan Indonesia.

  • Minyak sawit menjadi pesaing utama kepada minyak kacang soya hingga menyebabkan kempen antiminyak sawit dijalankan oleh American Soybean Association (ASA) iaitu pengeluar minyak kacang soya.
  • Gerakan antiminyak sawit dilaksanakan oleh ASA dan pihak NGO Pencinta Alam di Eropah. Bagi ASA, minyak sawit menjejaskan penjualan minyak kacang soya manakala bagi NGO Pencinta Alam pula, penanaman kelapa sawit dikatakan menjadi punca pencemaran alam sekitar, kemusnahan hutan dan habitat haiwan liar.
  • Malaysia menangani isu ini melalui pertubuhan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO), kempen secara berterusan serta mendapatkan skim pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) sejak tahun 2019. Langkah ini bertujuan menghasilkan pengeluaran minyak sawit secara mampan dan pelaksanaan amalan baik seperti Good Agricultural Practices-GAP (Amalan Pertanian Baik).
  • Tindakan Malaysia secara berhemah dapat mengelakkan sebarang konflik dengan negara lain.

4. Pemerdagangan Orang

Pemerdagangan orang merupakan jenayah terancang. Aktiviti ini dijalankan tanpa mengenal bangsa, agama, keturunan dan warna kulit. Pemerdagangan orang merupakan ancaman terhadap hak asasi manusia dan keselamatan negara.

  • Perkembangan ekonomi dan kemakmuran Malaysia menarik kehadiran warga asing. Terdapat warga asing yang masuk ke Malaysia melalui sindiket pemerdagangan orang.
  • Kedudukan Malaysia yang strategik di Asia Tenggara turut menjadikannya sebagai lokasi transit bagi pemerdagangan orang ke negara lain.
  • Malaysia menguatkuasakan undang-undang dan memberikan bantuan kepada mangsa pemerdagangan orang. Undang-undang dikuatkuasakan menerusi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 dan Protokol PBB untuk mencegah, menyekat serta menghukum pesalah pemerdagangan orang.
  • Malaysia menubuhkan Council For Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants- MAPO (Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) pada tahun 2008 dan menguatkuasakan Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants Act 2007- ATIPSOM 2007 (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, 2007). Malaysia juga mewujudkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2010-2015), menjalankan rundingan dengan negara luar, penguatkuasaan, pendakwaan dan perlindungan.

5. Penyakit Berjangkit

Penyakit berjangkit merupakan fenomena yang wujud
dalam masyarakat di seluruh dunia seperti Acquired Immune Deficiency Syndrome-AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit).

  • Penyakit ini dikesan di Malaysia pada tahun 1986. Sehingga tahun 2014, sejumlah lebih 100 000 kes dilaporkan dengan lebih 16 000 kematian. Penyakit ini merebak disebabkan gaya hidup yang tidak sihat serta penyalahgunaan dadah.
  • Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan bertindak proaktif memastikan penyakit ini tidak merebak melalui pemeriksaan kesihatan secara berterusan dan memberikan rawatan kepada mangsa. Tindakan ini menyebabkan Malaysia berjaya mengawal penularan wabak tersebut.
  • WHO memperakukan pencapaian Malaysia sebagai antara negara di Asia yang berjaya mengurangkan masalah penularan wabak daripada ibu kepada anak pada tahun 2018.
  • Sejak tahun 2011, Malaysia mendukung hasrat PBB untuk menjadikan dunia bebas AIDS pada tahun 2030 melalui pelaksanaan National Strategic Plan for Ending AIDS-NSPEA (Pelan Strategik Kebangsaan Mengakhiri AIDS).
  • Malaysia turut menyambut Hari AIDS Sedunia yang diadakan pada 1 Disember setiap tahun.

10.2 Peranan Malaysia dalam Hubungan Ekonomi Antarabangsa

Malaysia mengamalkan ekonomi pasaran bebas selari dengan perkembangan yang berlaku dalam ekonomi antarabangsa dan memainkan peranan besar dalam hubungan ekonomi antarabangsa.

Peranan ini dapat dilihat melalui pelibatan dalam pelbagai perjanjian termasuklah ASEAN Free Trade Area – AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN). Malaysia juga lantang menyuarakan ketidakadilan dalam ekonomi dan bertindak tegas bagi memastikan kedudukan ekonomi negara tidak terjejas.

1. Meluaskan Pasaran Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi sesebuah negara sangat bergantung pada keupayaan negara tersebut menjual barangannya ke pasaran antarabangsa.

  • Malaysia bersetuju untuk mempermudah dan meningkatkan perdagangan sesama anggota ASEAN. Hal ini membawa kelahiran AFTA pada tahun 1992.
  • Perjanjian AFTA bertujuan menjadikan kawasan ASEAN sebagai tempat produksi yang kompetitif bagi hasil keluaran negara ASEAN. Satu bentuk kerjasama ekonomi dalam kalangan negara ASEAN dapat dilaksanakan melalui AFTA terutama untuk mengurangkan tarif dan cukai barangan.
  • Malaysia terlibat sepenuhnya dalam AFTA. Pelibatan ini membawa kebaikan kepada perkembangan ekonomi negara.

2. Dominasi Ekonomi Negara Maju

Perkembangan ekonomi Malaysia bukan sahaja bergantung pada pasaran domestik tetapi juga pasaran antarabangsa.

  • Malaysia sering berhadapan dengan sikap negara maju yang mengenakan pelbagai sekatan dan halangan perdagangan dalam bentuk tarif dan cukai. Keadaan ini menjejaskan perdagangan negara.
  • Malaysia bersuara agar diberikan layanan vang saksamn kepada semua negara. Pandangan ini dibangkitkan oleh Malaysia dalam pelbagai forum antarabangsa termasuklah di PBB dan Asia-Pacific Economic Cooperaton – APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik).

3. Kerjasama Pembangunan Ekonomi Segi Tiga

Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi yang melibatkan kerjasama pembangunan segi tiga, iaitu pembangunan wilayah baharu yang dimajukan bersama-sama negara anggota ASEAN. Kerjasama ini bertujuan mendapatkan keuntungan bersama apabila negara jiran saling membantu bagi memajukan kawasan yang terlibat.

Malaysia memperoleh manfaat yang besar melalui kerjasama ini kerana dapat mengurangkan monopoli pasaran barangan dalam ASEAN daripada negara maju. Selain itu, negara kita juga dapat mengurangkan kebergantungan pada pasaran kewangan antarabangsa dengan mewujudkan pelbagai badan yang berkaitan seperti koperasi ASEAN, bank ASEAN serta cadangan untuk menggunakan wang ASEAN dan membendung campur tangan ekonomi negara maju.

4. Menangani Kemelesetan Ekonomi

Pada tahun 1997-1998, kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi yang bermula dengan kejatuhan nilai ringgit, antara lain disebabkan oleh spekulasi mata wang.

  • Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam buku
  • The Malaysian Currency Crisis: How and Why It Happened, perkembangan ini menyebabkan pelabur luar menarik pelaburan mereka di Malaysia sehingga menjejaskan ekonomi Malaysia.
  • Malaysia didesak untuk mencontohi langkah yang diambil oleh negara lain, iaitu menggunakan pelan perancangan T abung Kewangan Antarabangsa (IMF), namun negara kita enggan menerimanya. Malaysia menggunakan pendekatan sendiri dalam usaha memulihkan keadaan termasuklah menambat kadar pertukaran ringgit (RM) kepada dolar (USD) dengan kadar RM3.80 bagi USD1.
  • Langkah ini berjaya memulihkan ekonomi negara.

5. Mengantarabangsakan Sistem Kewangan Islam

Sistem kewangan Islam berlandaskan syarak dan menjadi alternatif kepada sistem kewangan konvensional.

  • Malaysia terlibat dalam usaha membangunkan sistem kewangan ini sejak tahun 2001.
  • Malaysia membangunkan sistem kewangan lslam yang progresif dan komprehensif sehingga rnenyumbang kepada keberkesanan sektor kewangan negara.
  • Malaysia juga menduduki kedudukan utama dalam menduduki indeks global berkaitan dengan kewangan Islam termasuk menjadi pasaran sukuk terbesar di dunia.
  • Negara kita menjadi negara utama pelaburan dana Islam.
  • Malaysia menubuhkan International centre for Education in Islamic Finance – INCIF (Pusat Antarabanesa pendidikan Kewangan Islam) untuk menyokong perkembangan kewangan Islam

10.3 Penglibatan Rakyat dalam Isu Kemanusiaan dan Keamanan

Malaysia berada di barisan hadapan dalam membangkitkan isu kemanusiaan dan keamanan. Malaysia sering menyuarakan pandangan dalam pertubuhan antarabangsa dan serantau seperti PBB, Komanwel, OIC dan ASEAN. Pandangan yang disuarakan ini berkaitan dengan aspek kemanusiaan dan keamanan terutama dalam kalangan masyarakat yang tertindas.

Selain itu, rakyat Malaysia turut aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik sama ada disebabkan bencana alam mahupun peperangan.

Tindakan ini secara langsung menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Isu Palestin dan Syria merupakan antara isu yang menonjolkan pelibatan rakyat Malaysia dalam pertubuhan antiarabangsa. Selain itu, rakyat Malaysia juga terlibat dalan misi kemanusiaan di Aceh dan Sri Lanka.

1. Isu Palestin

Perjuangan menegakkan isu Palestin disuarakan oleh semua Perdana Menteri Malaysia, sejak zaman Tunku abdul Rahman Putra al-Haj. Sejak tahun 1948, rejim Zionis Israel melakukan kekejaman, pengusiran dan pembunuhan terhadap penduduk Palestin. Tindakan ini menjadi asas perjuangan Malaysia bagi memastikan hak dan keadilan rakyat Palestin mendapat pembelaan.

Penglibatan rakyat dalam menangani isu kemanusiaan di Palestin dapat dilihat secara jelas melalui Non- Governtmental Organization –NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan. Kewujudan NGO ini membolehkan satu bentuk koordinasi membantu warga Palestin dapat dilaksanakan. Antara NGO yang aktif dalam bidang sukarelawan ini termasuklah Aman Palestin dan Cinta Gaza Malaysia (CGM).

NGO yang membantu Palestin:

Aman Palestin

Didaftarkan secara rasmi pada tahun 2006 dan menjadi organisasi yang giat membantu rakyat Palestin secara kolektif, sistematik, berterusan dan berkesan,

Menyalurkan bantuan kebajikan dan sumbarigan orang ramai kepada rakyat Palestin.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Gabungan beberapa buah NGO dan turut menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan dalam usaha membantu rakyat Palestin yang tertindas.

Antara aktivitinya termasuklah mengadakan Hari Solidariti Rakyat Palestin.

Cinta Gaza Malaysia (CGM)

Diasaskan oleh Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman dan menjalankan operasi sejak tahun 2013.

Menjalankan aktiviti kutipan dan sumbangan kepada penduduk Gaza terutama kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas.

Melancarkan Projek Ramadan 2020 dengan tema “Ramadan Bulan Berkongsi Kebahagiaan” merangkumi bantuan perubatan, kebajikan belia, teknologi hijau, infrastruktur, pendidikan, pengajian al-Quran serta seni dan budaya

Muslim Care Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 2006 dan secara aktit menjalankan misi kemanusiaan termasuk di Palestin.


Rakyat Malaysia turut menyatakan sokongan padu kepada rakyat Palestin. Mereka melakukan demonstrasi sebagai tanda sokongan kepada Palestin dan menubuhkan Tabung Palestin untuk mengutip sumbangan kewangan kepada mangsa Zionis di Palestin.

Selain itu, rakyat Malaysia turut terlibat menghantar bantuan makanan dan perubatan ke Palestin menerusi program Freedom Flotilla, iaitu program kemanusiaan yang digerakkan oleb Free Gaza Movement yang ahlinya datang dari seluruh dunia. Rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan turut menghadapi cabaran seperti ditawan dan dipenjara.

  • Sebanyak 12 orang sukarelawan Malaysia yang berada di dalam kapal Mavi’ Marmara ditawan oleh pihak Israel pada bulan Mei 2010.
  • Dr. Fauziah Mohd Hasan turut serta dalam misi kemanusiaan ke Palestin dalam program “Women’s Boat to Gaza” pada bulan Ogos 2016. Kapal Zaytouna-Oliva yang dinaiki beliau ditawan oleh pihak Israel.
  • Dr. Mohd Afandi Salleh pula terlibat dalam misi kemanusiaan ke Palestin menaiki kapal Al-Awda pada tahun 2018. Kapal tersebut ditawan oleh Israel dan beliau ditahan di dalam penjara di Israel sebelum dibebaskan kemudiannya.

2. Isu Syria

Krisis politik di Syria bermula pada tahun 2011 menyebabkan rakyat Syria mengalami kesengsaraan terutamanya masalah kekurangan makanan dan kemudahan perubatan. Malaysia tampil memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Syria.

Pada 1 Oktober 2015, kerajaan mengumumkan kesediaan untuk menerima 3000 orang pelarian warganegara Syria dalam tempoh tiga tahun secara sukarela atas dasar kemanusiaan. Pelibatan rakyat Malaysia membantu rakyat Syria pula dapat dilihat melalui peranan NGO.

NGO yang terlibat membantu Syria:

Organisasi Humanitarian Care Malaysia (MyCare)

  • Gabungan enam buah NGO kemanusiaan.
  • Melancarkan kempen i4Syria pada tahun 2011 bagi menyalurkan pelbagai bantuan kepada pelarian Syria.
  • Mengendalikan aspek pendidikan, kesihatan dan kebajikan pelarian Syria berada di Malaysia

Cinta Syria Malaysia (CSM)

  • Ditubuhkan pada tahun 2014.
  • Memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria yang berada di Turki, Lubnan dan Malaysia.
  • Menubuhkan “Sekolah KITA”, iaitu program pendidikan percuma untuk anak-anak pelarian Syria.

Global Peace Mission (GPM)

  • Ditubuhkan pada tahun 2001.
  • Aktil menjalankan pelbagai aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di 30 buah negara.
  • Turut aktif memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria berupa makanan, ubatan dan peralatan.

Tsunami di Aceh dan Sri Lanka

Bencana alam seperti tsunami yang memusnahkan Aceh dan Sri Lanka pada tahun 2004 menarik perhatian Malaysia. Penduduk Aceh dan Sri Lanka kehilangan segalanya dalam sekelip mata.

Keadaan ini menyebabkan Malaysia melancarkan bantuan segera termasuklah bantuan perubatan, makanan dan keperluan harian. Rakyat Malaysia yang prihatin turut memberikan bantuan melalui badan seperti MERCY Malaysia.

NGO yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Aceh dan Sri Lanka:

Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia)

  • Ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.
  • Aktif dalam bidang kesukarelawanan dan kemanusiaan membabitkan negara yang berkonflik dan ditimpa bencana
  • Bertindak memberikan bantuan perubatan serta membina semula pusat kesihatan komuniti di Aceh.
  • Membangunkan infrastruktur di Sri Lanka termasuk sekolah dan jambatan bagi kemudahan penduduk.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

  • Ditubuhkan pada tahun 1971.
  • Memberikan bantuan kemanusiaan kepada pihak yang memerlukan termasuklah mangsa bencana tsunami Aceh
  • Mendirikan sekolah dan rumah perlindungan kepada lebih kurang 120 orang anak yatim yang menjadi mangsa tsunami di Banda Aceh.

Yayasan Restu

  • Ditubuhkan pada tahun 1998.
  • Memberikan bantuan pendidikan percuma kepada warga Aceh.
  • Membangunkan rumah anak yatim Babun Najah di Ulee Kareung, Aceh.

10.4 Usaha Mengekalkan Kelestarian Global

Mengekalkan kelestarian global bermaksud usaha untuk mengekalkan serta memelihara keaslian alam sekitar bagi membolehkannya diwarisi oleh generasi akan datang.

Malaysia memberikan komitmen yang tinggi dalam pemeliharaan alam sekitar. Negara kita juga melibatkan diri dalam pelbagai program bersama- sama pertubuhan antarabangsa.

1. Mengisytiharkan Deklarasi Langkawi

Bukti komitmen Malaysia dan negara Komanwel untuk memelihara alam sekitar ialah dengan Pengisytiharan Deklarasi Langkawi. Deklarasi Langkawi diadakan pada bulan Oktober 1989 bersempena Mesyuarat Ketua- Ketua Negara Komanwel.

Deklarasi Langkawi dilaksanakan sebagai usaha menangani isu alam sekitar terutama kesan rumah hijau, kerosakan dan penipisan ozon serta pencemaran yang disebabkan aktiviti manusia yang tidak terkawal.

  • Anugerah Langkawi diberikan kepada warganegara Malaysia yang menunjukkan komitmen dan sumbangan besar dalam bidang alam sekitar. Anugerah ini dimulakan pada tahun 1991.
  • Malaysia turut melaksanakan Dasar Alam Sekitar Negara 2002 yang menjadi asas dalam pembangunan negara.
  • Pada tahun 2006, kerajaan negeri Kedah mengisytiharkan Langkawi sebagai geopark bagi memastikan kelestariannya terjamin.
  • Malaysia telah melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara pada tahun 2009 untuk menggalakkan penggunaan produk teknologi hijau bagi mengawal perubahan iklim.

2. Menyertai Sidang Kemuncak Bumi

Isu pencemarari alam sekitar merupakan salah satu isu yang mencetuskan Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992. Malaysia menunjukkan kesungguhan dalam memulihara alam sekitar dengan menyertai sidang Bumi di Rio de Janeiro, Brazil yang dianjurkan oleh PBB.

  • Komitmen Malaysia terpapar melalui pelibatan negara dalam Sidang Kemuncak Bumi ini yang mengeluarkan deklarasi Agenda 21.
  • Agenda 21 ini merupakan satu dokumen umum yang penting bagi pengurusan aktiviti manusia dalam sesebuah negara. Agenda ini menyentuh tindakan pembangunan abad ke-21 bagi mengatasi masalah kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan ekosistem.
  • Selain itu, Malaysia turut terlibat dalam Protokol Kyoto 1997 dan persidangan alam sekitar di Bali pada tahun 2007. Persidangan-persidangan ini merupakan satu persetujuan sah dan persefahaman negara maju bahawa negara yang terlibat ini akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau secara kolektif dan menggalakkan penggunaan tenaga baharu seperti tenaga solar.
  • Hasrat Malaysia adalah untuk menerapkan dan mengguna pakai segala saranan agenda tersebut dalam program pembangunan bagi memastikan alam sekitar negara tidak terjejas dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

3. Antartika sebagai Warisan Sejagat

Malaysia merupakan antara negara yang membangkitkan isu Antartika menganggap bahawa penerokaan terhadap benua ais tersebut dilakukan secara tidak adil.

  • Penerokaan terhadap Antartika didominasi oleh hanya sebahagian kecil negara.
  • Pandangan Malaysia ini diutarakan sejak tahun 1983 melalui NAM. Dalam Sidang Kemuncak NAM ketujuh di New Delhi, India, Malaysia mendesak PBB mengambil langkah pertama menjadikan Antartika sebagai warisan manusia sejagat.
  • Malaysia mencadangkan PBB mentadbir Antartika agar segala bentuk hasil yang terdapat di benua tersebut dapat dikongsi bersama-sama oleh semua negara. Pandangan ini mendapat sokongan daripada negara lain.
  • Malaysia mengambil inisiatif membentuk pasukan penyelidik dalam pelbagai bidang ke Antartika. Antara anak tempatan yang mencatatkan sejarah terlibat dalam penyelidikan ini termasuklah Dr. Haji Omar Abdul Rahman yang melawat Antartika pada tahun 1985.
  • Malaysia secara giat melakukan penyelidikan di Antartika sejak tahun 1999 terutama dalam bidang perubahan iklim dan kajian gas rumah hijau.
  • Malaysia juga mewujudkan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan yang ditempatkan di Universiti Malaya dan diterajui oleh Dr. Azizan Abu Samah.
  • Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) di Kuala Lumpur turut terlibat melakukan penyelidikan saintifik di Antartika.
  • Komitmen Malaysia dalam penyelidikan Antartika membuktikan bahawa negara kecil juga mampu mencapai kejayaan jika diberi peluang dalam penyelidikan di Antartika.

10.5 Wawasan Malaysia Menuju Masa Hadapan

Wawasan masa hadapan bermaksud strategi jangka panjang dalam pelbagai aspek berkaitan dengan pembangunan negara.

Dalam melihat kepada perkembangan sejarah serantau dan antarabangsa, Malaysia lebih yakin untuk menuju masa hadapan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Malaysia merangka pelbagai usaha bagi memastikan generasi akan datang turut menikmati kehidupan yang lebih baik.

1. Komuniti ASEAN

Komuniti ASEAN ditubuhkan pada tahun 2015 melalui Deklarasi Kuala Lumpur sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.

  • Komuniti ASEAN merupakan satu langkah menyeluruh, strategik dan bersifat memandang ke hadapan serta mencerminkan aspirasi ASEAN.
  • Wawasan ASEAN memberikan fokus pada ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan. Pertumbuhan ekonomi ASEAN diharapkan dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
  • Melalui komuniti keamanan pula, menjadi harapan agar keselamatan rantau ASEAN kekal terjamin dan segala konflik dapat diselesaikan secara damai.
  • Hasrat komuniti sosiobudaya pula agar integrasi antara negara anggota ASEAN dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih baik.

2. Keselamatan Makanan

Malaysia serta negara di rantau Asia Tenggara menyedari bahawa satu isu penting yang perlu dihadapi pada masa hadapan ialah isu keselamatan makanan.

  • United Nations’ Committee (UNC) pada tahun 1996 menyebut bahawa keselamatan makanan merujuk setiap orang pada setiap masa mempunyai akses kepada sumber makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan makanan mereka.
  • Antara isu tentang keselamatan makanan termasuklah berlaku kenaikan harga barangan yang keterlaluan, bekalan barangan terhad kerana masalah pengeluaran, bencana alam atau pencemaran makanan.
  • Malaysia bekerjasama dengan negara anggota ASEAN untuk menubuhkan Rizab Sekuriti Makanan ASEAN. Usaha ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang dasar sekuriti makanan bagi negara anggota ASEAN dan membentuk Simpanan Beras Kecemasan ASEAN. Rizab ini boleh digunakan sewaktu kecemasan dan kadar yang ditetapkan sebanyak 50 000 tan yang disimpan sebagai stok.

3. Alam Sekitar

Isu alam sekitar seperti Jerebu merupakan fenomena atau pencemaran udara yang menjejaskan jarak penglihatan dan kesihatan. Hal ini disebabkan pembakaran terbuka yang tidak terkawal terutamanya pembakaran hutan.

Malaysia bersama-sama negara ASEAN mengambil langkah aktif bagi memastikan isu ini dapat diatasi pada masa hadapan.

  • Langkah ini dilaksanakan melalui Perjanjian ASEAN berkaitan dengan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
  • Perjanjian ini merupakan sebuah perjanjian serantau pertama di dunia. Menerusi perjanjian ini, negara anggota yang terlibat disarankan untuk mengambil langkah dari aspek undang-undang dan pentadbiran serta tindakan lain yang sewajarnya. Pelaksanaan tersebut amat penting bagi memastikan krisis jerebu tidak akan berlaku lagi di rantau Asia Tenggara dengan menekankan prinsip, “ASEAN Tanpa Jerebu 2020”.
  • Malaysia dan Singapura juga bersetuju bekerjasama untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

4. Zon Bebas Nuklear

Isu pertahanan dan keselamatan merupakan isu penting bagi memastikan rantau Asia Tenggara berada dalam keadaan aman dan selamat terutamanya daripada persaingan senjata nuklear.

  • Malaysia menandatangani Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free-Zon (SEANWFZ) atau dikenali sebagai Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara pada tahun 1995. Perjanjian ini menekankan agar negara yang terlibat tidak mengembangkan, mengeluarkan, memperoleh, memiliki atau mengawal senjata nuklear.
  • Kedudukan Asia Tenggara yang strategik turut menjadikannya terlibat secara langsung dalam kancah persaingan membabitkan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat yang turut memiliki senjata nuklear.
  • Dalam keadaan mi, Malaysia tidak boleh berdiam diri dan membiarkan perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan digunakan oleh kapal perang asing yang membawa senjata nuklear. Malaysia berasakan bahawa kedua-dua laluan tersebut perlu bebas daripada senjata nuklear.
  • Malaysia bertindak untuk tidak membenarkan kapal yang membawa senjata nuklear berlabuh atau mengadakan latihan di perairan negara ini kerana boleh membawa konflik yang buruk kepada rantau Asia Tenggara.

5. Kerelevanan Organisasi Antarabangsa

Malaysia memandang serius terhadap pertubuhan dunia seperti PBB dan OIC yang tidak mampu bertungsi dengan baik dalam menjayakan matlamatnya terutama bagi melindungi hak dan kedudukan negara kecil yang sedang membangun.

  • Malaysia berpandangan bahawa penggunaan kuasa veto oleh kuasa besar hanya sah jika dua buah negara yang mempunyai kuasa itu bersama- sama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan penyalahgunaan kuasa veto dikurangkan. Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya meletakkan diri mereka terkecuali daripada undang-undang antarabangsa.
  • Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang melibatkan kira-kira 56 buah negara Islam dengan 450 perwakilan. Matlamat sidang ini adalah untuk merapatkan jurang dan kedudukan masyarakat Islam bagi menangani pelbagai isu.

6. Hak Asasi Manusia, Pelarian dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Malaysia menyedari bahawa isu hak asasi manusia, pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) merupakan isu yang saling berkait dan penting pada masa hadapan. Keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi yang pesat menjadi faktor penarik kepada kemasukan PATI dan pelarian.

  • Kehadiran PATI dan pelarian ini mampu membawa implikasi terhadap sosial, ekonomi, jenayah, politik dan hubungan diptomatik Serta berupaya untuk mengancam ketenteraman dan keselamatan negara. Malaysia turut membendung kemasukan PATI melalui pengukuhan mekanisme pengurusan warga asing.
  • Malaysia terlibat dalam pelbagai program di bawah PBB terutama United Nations High Commissioner for Refugees – UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian). Malaysia turut dilantik sebagai ahli suruhanjaya ini pada tahun 1993 hingga tahun 1995.
  • Sebagai langkah proaktif juga sebuah badan berkaitan dengan hak asasi manusia, iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ditubuhkan pada tahun 1999.

Similar Posts