|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 7 – Membina Kesejahteraan Negara

Sejarah Membina Kesejahteraan Negara

7.1 Perpaduan dan Integrasi Nasional

Pembinaan negara Malaysia berasaskan perpaduan kaum dan integrasi nasional menjadi asas kekuatan negara kita yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum.

Hubungan kaum terus diperkukuh selepas negara mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

1. Maksud Perpaduan dan Integrasi Nasional

Perpaduan dan integrasi merupakan dua konsep yang saling berkait rapat dan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Rukun Negara.

a. Perpaduan Kaum

Perpaduan kaum ialah keadaan rakyat daripada pelbagai etnik, agama dan wilayah hidup dengan aman dalam masyarakat yang bersatu. Mereka memberikan komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

b. Integrasi Nasional

Intergrasi nasional merupakan satu proses dinamik yang merapatkan hubungan masyarakat antara negeri dengan wilayah bagi membentuk satu bangsa. Mereka ini mempunyai identiti sendiri berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

2.Latar Belakang Hubungan Kaum

Pentadbiran British menyebabkan pemisahan kaum dari segi kegiatan ekonomi dan petempatan. Keadaan ini menyukarkan setiap kaum untuk memahami adat resam budaya kaum lain.

Selepas Perang Dunia Kedua, usaha dilakukan oleh para pemimpin pelbagai kaum untuk bekerjasama bagi mewujudkan perpaduan. Beberapa faktor sejarah dikenal pasti menjadi punca kepada masalah perpaduan. Antaranya termasuklah kesan pentadbiran, kegiatan ekonomi dan petempatan, sistem pendidikan serta fahaman politik.

Kesan Dasar British

Pentadbiran

Pentadbiran British bermula pada tahun 1874 menerusi pengenalan Sistem Residen. Dasar British yang mengutamakan sektor ekonomi menyebabkan pekerja dibawa masuk dari luar untuk bekerja dalam sektor perlombongan, perladangan dan pemiagaan.

Kaum bumiputera pula bertumpu di kawasan luar bandar dan menjalankan kegiatan ekonomi tradisional. Keadaan ini menyebabkan mereka terpisah dan berlaku kerenggangan hubungan kaum. Kesannya, masalah hubungan kaum berterusan sehingga selepas kemerdekaan dan menyebabkan peristiwa 13 Mei 1969.

Kegiatan Ekonomi dan Petempatan

British memberikan tumpuan kepada perkembangan ekonomi yang berasaskan perlombongan bijih timah dan perladangan getah. Kegiatan ekonomi yang berbeza antara kaum menyebabkan pemisahan dari segi petempatan.

Rakyat juga terpisah dengan petempatan yang wujud di kawasan perlombongan, bandar, estet dan perkampungan. Keadaan ini menyebabkan setiap kaum kurang berinteraksi antara satu sama lain dan mewujudkan jurang ekonomi yang tidak seimbang.

Sistem Pendidikan

Dasar pentadbiran British menyebabkan munculnya sistem pendidikan vernakular Melayu, Cina, India dan Inggeris di negara kita. Sekolah vernakular pula berkembang mengikut kaum masing-masing.

Sistem pendidikan vernakular diteruskan selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Pendidikan vernakular mewujudkan perbezaan pemikiran dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

Fahaman Politik

Fahaman politik berasaskan kaum bermula dengan penubuhan parti politik sebelum kemerdekaan hingga kini. Polarisasi kaum disebabkan perbezaan kegiatan ekonomi dan petempatan menyebabkan parti politik ini memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

Isu yang diperjuangkan berkaitan dengan bahasa, budaya, pendidikan dan ekonomi. Keadaan ini mempengaruhi hubungan antara kaum di negara ini.

Memperkasakan Perpaduan dan Integrasi Nasional

Sejak mencapai kemerdekaan, usaha memperkasakan perpaduan dan integrasi nasional telah dilaksanakan secara konsisten oleh kerajaan dan berterusan sehingga hari ini. ini merangkumi bidang politik, ekonomi dan sosial.

Politik

Menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara yang terletak di bawah bidang kuasa MAGERAN. Jabatan ini berperanan mendraf satu ideologi untuk negara yang dikenali sebagai Rukun Negara. Mewartakan pembentukan Majlis Muhibah Negara pada 18 Julai 1969.

Majlis ini bertujuan menggalakkan perkembangan perasaan muhibah antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Menubuhkan Majlis Perundingan Negara pada 29 Januari 1970. Majlis ini ditubuhkan untuk mengadakan garis panduan bagi kerjasama antara kaum dan integrasi nasional antara negeri dengan wilayah. Selain itu, majlis ini juga bertujuan memupuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat.

Membentuk gabungan parti politik pelbagai kaum untuk mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Ekonomi

Meneruskan Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia yang memberikan tumpuan

kepada pertumbuhan ekonomi semua kaum.

Memperkenalkan beberapa dasar pembangunan ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) untuk kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.

Memberikan tumpuan kepada pembangunan masyarakat luar bandar dan wilayah. Pembangunan dilakukan melalui rancangan pembangunan tanah yang mampu menambah pendapatan rakyat dan membasmi kemiskinan.

Memajukan bidang perindustrian dan perdagangan dengan memperkenalkan Zon Perindustrian Bebas seperti di Bayan Lepas, Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang.

Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar berlaku disebabkan peluang pekerjaan yang terbuka luas kepada semua kaum. Hal ini mempercepat proses integrasi.

Mengintegrasi ekonomi melalui pembangunan ekonomi wilayah termasuk di Sarawak dan Sabah. Pembangunan ekonomi wilayah membuka peluang kepada semua kaum bersaing dalam ekonomi secara adil.

Sosial

Menambah baik Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada melalui Akta Pendidikan 1996 bertujuan mengukuhkan perpaduan kaum dan integrasi nasional.

Mengukuhkan sistem pendidikan melalui pelaksanaan dasar pendidikan seperti Laporan Rahman Talib, Laporan Jawatankuasa Kabinet dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sistem pendidikan kebangsaan dapat melahirkan rakyat yang patriotik dan mempunyai semangat cinta akan negara.

Memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pusat ilmu dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menyebar luas penggunaan bahasa kebangsaan. Langkah ini dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai satu identiti bahasa yang sama.

Menggalakkan pengamalan satu kebudayaan kebangsaan yang dapat membentuk identiti bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Menggalakkan pelibatan dalam sukan sebagai medium untuk mewujudkan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Memperkenalkan Rukun Negara sebagai tunjang kesetiaan rakyat berbilang kaum terhadap bangsa dan negara.

7.2 Dasar Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan merupakan saluran terbaik bagi merealisasikan matlamat membina perpaduan kaum dan integrasi nasional. Matlamat ini terkandung dalam Laporan Rahman Talib, Kajian Aminuddin Baki, Laporan Jawatankuasa Kabinet, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 Latar Belakang Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan dibentuk untuk memupuk perpaduan kaum.

Dasar ini dilaksanakan melalui Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau dikenali sebagai Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Semua dasar pendidikan yang terdapat sebelum ini disemak semula pada tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979.

1. Laporan Rahman Talib

Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Abdul Rahmai Talib pada tahun 1960 untuk menyemak semula dai mengukuhkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 Laporan jawatankuasa ini menjadi asas penggubalar Akta Pelajaran 1961 dan penyemakan Dasar Pendidikar Kebangsaan seterusnya.

Laporan Rahman Talib masih mengekalkan teras sistem pendidikan kebangsaan untuk memupuk perpaduan dan integrasi.

  • Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada semua peringkat pendidikan. Penggunaan bahasa yang seragam dapat mewujudkan perpaduan.
  • Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan negara kita bagi semua jenis sekolah. Kurikulum yang berorientasikan negara mewujudkan perasaan cinta akan negara.

Laporan Rahman Talib mencadangkan beberapa cadangan tambahan kepada Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956. Cadangan tambahan ini bertujuan memperkukuh semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan murid pelbagai kaum ke arah perpaduan.

  • Penekanan kepada mata pelajaran Sejarah untuk menanam perasaan cinta dan kesetiaan terhadap negara.
  • Mewajibkan mata pelajaran Tatarakyat untuk membentuk sikap bertoleransi, bekerjasama dan persefahaman antara kaum.

2. Kajian Aminuddin Baki

Laporan Rahman Talib kemudian dibuat penambahbaikan dan dilaksanakan sepenuhnya melalui Kajian Aminuddin Baki, iaitu:

  • Memperkenalkan sistem persekolahan aneka jurusan untuk menampung pelajar yang gagal memasuki sekolah menengah akademik.
  • Memperkenalkan kursus kemahiran untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang melibatkan pelbagai kaum sertapersediaan memenuhi permintaan pasaran kerja.
  • Mewujudkan sekolah kebangsaan yang menggabungkan semua kaum untuk memupuk perpaduan.

3. Laporan Jawatankuasa Kabinet

Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan pada bulan September 1974. Fungsi jawatankuasa ini adalah untuk mengkaji semula pelaksanaan sistem pelajaran kebangsaan. Laporan Jawatankuasa Kabinet diumumkan oleh Menteri Pelajaran pada tahun 1979.

Antara kandungan Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mempunyai matlamat bagi memperkukuh perpaduan termasuklah seperti yang berikut:

  • Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dijadikan sebagai mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam.
  • Penegasan kepada pendidikan kerohanian melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
  • Penekanan terhadap aktiviti kokurikulum yang melibatkan semua kaum seperti unit berunifonn. sukan dan permainan serta persatuan.

Hasil daripada laporan jawatankuasa ini menghasilkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang diperkenalkan pada tahun 1982. Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Falsafah Pendidikan Negara pula digubal pada tahun 1988.

4. Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) digubal pada tahun 1988 untuk memperteguh hala tuju dan matlamat pendidikan negara ke arah perpaduan. FPN ditukar kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan juga intelek.

5. Akta Pendidikan 1996

Kedudukan bahasa kebangsaan diperkukuh dengan memperuntukkannya sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan melalui Akta Pendidikan 1996.

Kedudukan ini diperkuat lagi dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai mata pelajaran yang wajib diajarkan di semua sekolah dan institusi pendidikan. Institusi pendidikan swasta pula dikehendaki mengadakan pengajaran bahasa kebangsaan, Pengajian Malaysia dan Pendidikan Islam atau Moral untuk memupuk semangat cinta akan negara serta nilai murni.

7.3 Bahasa Melayu sebagai Bahasa llmu dan Bahasa Perpaduan

Seiring dengan kemerdekaan negara, bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Beberapa langkah dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Antaranya termasuklah pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan, memperkasakan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, penubuhan UKM sebagai pusat keilmuan dan peranan DBP sebagai pusat perkembangan bahasa kebangsaan.

1. Akta Bahasa Kebangsaan

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang digunakan sebagai alat untuk memupuk perpaduan kaum. Kedudukan bahasa Melayu dimartabatkan melalui penggubalan undang-undang yang dikenali sebagai Akta Bahasa Kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 1967. Akta ini dikenali juga sebagai Akta 32. Akta Bahasa Kebangsaan telah digubal di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Akta ini mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 1971.

2. Bahasa Rasmi Pentadbiran

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi antara unsur penggerak jentera pentadbiran negara. Bahasa Melayu juga merupakan alat komunikasi rasmi dalam pelbagai urusan di kementerian dan jabatan kerajaan. Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dalam urusan mahkamah pada tahun 1990.

3. Memperkasakan Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan

Pembukaan sekolah menengah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dipergiat di seluruh negara. Antaranya Sekolah Alam Shah, Sekolah Seri Puteri dan Kolej Sultan Abdul Halim menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dapat memupuk semangat kekitaan dan bersatu dalam kalangan murid. Bilangan guru terlatih bahasa Melayu ditambah di sekolah menengah kebangsaan dan guru khas untuk sekolah menengah jenis kebangsaan. Langkah ini bermatlamat untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Pusat Keilmuan Bahasa Melayu

Penubuhan UKM merupakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970. UKM muncul sebagai pusat pengajian tinggi awam pertama yang berjaya memperkenalkan pengajian pelbagai jurusan dan bidang kursus dalam bahasa Melayu.

Penubuhan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) pada 1 Disember 1972 menjadikan UKM sebagai pusat penyelidikan dan rujukan dalam bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan tamadun Melayu. Institut ini kemudian bertukar nama kepada Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) pada tahun 1992. Institut ini menjadi tumpuan para penyelidik, sasterawan, karyawan dan budayawan daripada pelbagai kaum dari dalam dan luar negara. Pengiktirafan terhadap tokoh UKM seperti Muhammad Haji Salleh dan Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara membuktikan kejayaan UKM sebagai pusat keilmuan bahasa Melayu.

5. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Penubuhan DBP pada 22 Jun 1956 di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor, hasil daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga.

Penubuhannya bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Nama asal DBP ialah Balai Pustaka. Pengarah pertama DBP ialah Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (jawatan ini kini dikenali sebagai Ketua Pengarah). js Pembukaan pejabat di wilayah dan cawangan di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Sarawak dan Sabah bertujuan mengembangkan aktiviti bahasa dan sastera sebagai medium untuk memupuk perpaduan.

DBP memainkan peranan penting dalam mengembangkan bahasa dan sastera Melayu melalui penerbitan buku dan majalah, risalah, menganjurkan seminar dan bengkel serta pelbagai aktiviti bersempena dengan Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Peranan DBP ini adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dilancarkan pada tahun 1960, agar dapat mengukuhkan pembinaan masyarakat yang bersatu padu melalui bahasa.

7.4 Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan dibentuk bagi mewujudkan perpaduan negara dan integrasi nasional melalui aspek kesenian dan kebudayaan. Dasar ini menjadi garis panduan masyarakat bagi membentuk dan mengekalkan identiti sebagai warganegara Malaysia.

1. Sejarah Pembentukan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah digubal dan diperakui melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971. Kongres ini boleh dianggap sebagai lanjutan daripada Kongres Rakyat 1956, iaitu Kongres Kebudayaan Melayu.

Kongres ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kongres ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

a. Prinsip Utama

Pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan tiga prinsip utama.

  • Berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau Melayu sebagai tunjang Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
  • Unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima sebagai elemen penting.
  • Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

b. Matlamat Pembentukan

Pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bertujuan mencapai tiga matlamat utama, iaitu:

  • Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan.
  • Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang terhasil daripada kebudayaan kebangsaan
  • Memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

c. Agensi Pelaksana

Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan melibatkan semua kementerian, agensi dan jabatan yang berkaitan dengannya.

Dasar ini dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Majlis Kebudayaan Negeri, Istana Budaya serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

2. Citrawarna Malaysia

Dasar Kebudayaan Kebangsaan dijelmakan melalui program seperti Citrawarna Malaysia yang melibatkan pelbagai kaum dan budaya. Program ini mula dianjurkan pada tahun 1999 yang merupakan promosi pelancongan.

Antara program yang dijalankan termasuklah memperagakan kebudayaan, pakaian, tarian dan nyanyian rakyat Malaysia. Program Citrawarna diadakan di Dataran Merdeka bulan Mei setiap tahun dengan melibatkan rakyat pelbagai kaum dan budaya.

3. Penggiat Budaya

Dasar Kebudayaan Kebangsaan melahirkan ramai tokoh dan penggiat budaya yang tersohor. Tokoh ini memberikan sumbangan yang besar terhadap proses membudayakan masyarakat dan kebudayaan bangsa.

Sumbangan mereka juga penting dalam menggalakkan penghasilan karya seni tempatan yang bermutu tinggi dan memartabatkan khazanah asli negara.

7.5 Sukan sebagai Alat Perpaduan

Sukan merupakan satu medium untuk memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia. Sukan dapat mengeratkan hubungan muhibah dan menerapkan rasa saling hormat dalam kalangan peserta.

Selain itu, sukan mampu mewujudkan masyarakat yang sanggup memberikan sumbangan demi kesejahteraan sosial dan kecemerlangan sukan negara.

1. Sukan dan Perpaduan Melalui Pendidikan

Sukan merupakan aktiviti kokurikulum yang sangat digalakkan dalam kalangan murid sekolah. Dasar 1 Murid 1 Sukan dan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) menggalakkan murid pelbagai kaum melibatkan diri dalam sukan yang digemari. Dasar ini juga memberikan peluang kepada murid pelbagai kaum untuk menceburi bidang sukan serta dapat memupuk semangat setia kawan dan berpasukan. Selain itu, dasar ini juga mampu melahirkan atlet yang berkaliber sehingga ke peringkat antarabangsa.

Kejohanan olahraga tahunan sekolah melibatkan murid yang terdiri daripada pelbagai kategori umur dan kaum. Tiada acara sukan yang dipertandingkan mengikut kaum. Rakan-rakan penyokong serta guru penasihat rumah sukan akan bersorak memberikan sokongan kepada atlet rumah sukan masing- masing tanpa mengira kaum.

2. Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM)

Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bermula pada tahun 1974. MASUM ditubuhkan bertujuan mengadakan pertandingan sukan dalam kalangan penuntut dan staf universiti tempatan bagi memupuk perpaduan dan integrasi nasional.

MASUM menjadi medan untuk atlet menunjukkan kebolehan dalam sukan. Penganjuran MASUM secara bergilir-gilir dapat menggalakkan integrasi antara negeri.

3. Sukan Malaysia (SUKMA)

Sukan Malaysia (SUKMA) diadakan secara dwitahunan pada peringkat kebangsaan yang disertai oleh 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

SUKMA bertujuan mengeratkan hubungan kaum serta integrasi antara negeri. SUKMA pertama diadakan di Kuala Lumpur dari 19 April 1986 hingga 26 April 1986 yang disertai oleh 3849 atlet dari 13 buah negeri di Malaysia.

4. Penganjuran Sukan

Kejayaan Malaysia menganjurkan pelbagai jenis sukan pada peringkat serantau dan antarabangsa juga membuktikan sukan dapat menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Komitmen pemimpin dan kesungguhan para sukarelawan pelbagai kaum memastikan penganjuran sukan yang cemerlang mendapat pengiktirafan banyak pihak. Antara sukan antarabangsa yang berjaya dianjurkan oleh Malaysia termasuklah Hoki Piala Dunia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, South East Asia Games atau Sukan SEA, Sukan Permotoran Formula 1 dan sukan berbasikal Le Tour de Langkawi.

5. Kejayaan Malaysia Kebanggaan Bersama

Kejayaan pasukan negara dalam pertandingan sukan antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan / Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan Pestabola Merdeka merupakan hasil kerjasama serta kesun gguhan pelbagai pihak.

Dalam pasukan seperti bola sepak, hoki, badminton, renang, boling dan olahraga, pemain dan jurulatih bekerjasama tanpa mengira kaum.

Kejayaan pasukan negara ini merupakan harapan seluruh rakyat Malaysia. Jelaslah bahawa sukan memainkan peranan yang penting dalam membentuk sebuah pasukan yang bersatu dan saling bekerjasama untuk mencapai kejayaan.

Malaysia turut melakar kejayaan dalam sukan paralimpik seperti Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia. Atlet negara menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih kemenangan dalam pelbagai jenis sukan seperti olahraga dan memanah.

6. Laungan “Malaysia Boleh”

Slogan “Malaysia Boleh” menunjukkan patriotisme rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya ketika menyokong pasukan Malaysia yang bertanding dalam kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Slogan ini asalnya untuk kempen Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan Piala Thomas dan Uber pada tahun 1992 dan penyertaan Malaysia di kejohanan Olimpik yang diadakan di Sepanyol serta kejohanan Sukan SEA di Singapura 1993.

Laungan semangat “Malaysia Boleh” oleh penyokong dapat dilihat apabila Malaysia muncul sebagai juara Piala Thomas pada tahun 1992. Sokongan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersatu padu untuk kejayaan pasukan negara.

7. Peranan Organisasi dalam Perkembangan Sukan dan Memupuk Perpaduan Kaum

Beberapa agensi diberi tanggungjawab untuk meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan sukan negara pada peringkat antarabangsa. Antaranya termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia serta persatuan sukan peringkat kebangsaan dan negeri.

Pegawai pengurusan, pakar perubatan sukan, pegawai teknikal dan panel kejurulatihan yang terlibat dalam organisasi ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan kepakaran dalam bidang masing- masing.

8. Kepemimpinan Berwibawa

Kejayaan sukan di negara kita merupakan hasil pengurusan sukan yang cekap dan teratur. Kecemerlangan ini juga disebabkan ketokohan pemimpin persatuan sukan, jurulatih, para atlet dan pegawai sukan.

Keunikan perkembangan sukan di negara kita memperlihatkan pelibatan kerabat diraja dan ahli politik sebagai penaung atau presiden persatuan sukan. Sementara itu, bekas atlet pula menjadi pengurus atau jurulatih pasukan. Peranan mereka penting untuk menarik minat dan sokongan rakyat terhadap perkembangan industri sukan negara.

7.6 Rukun Negara sebagai Tonggak Kesejahteraan Negara

Rukun Negara ialah ideologi negara yang dibentuk sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyatukan dan membimbing rakyat ke arah perpaduan.

Rukun Negara merupakan susunan prinsip hidup masyarakat yang mengandungi nilai kenegaraan dan norma sosial yang mencakupi seluruh aspek kehidupan bernegara seperti politik, ekonomi, agama, budaya dan perundangan. Rukun Negara juga menggariskan ikrar yang perlu dihayati oleh warganegara Malaysia dan dianggap sebagai falsafali hidup rakyat Malaysia.

1. Sejarah Pembentukan

Rukun Negara dibentuk ekoran daripada peristiwa 13 Mei 1969. Rukun Negara hasil daripada perbincangan dan pemikiran Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dibentuk oleh MAGERAN pada 29 Januari 1970.

Rukun Negara telah diisytiharkan secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong IV pada 31 Ogos 1970 bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan yang ke-13. Pada tahun 2020, genaplah 50 tahun Rukun Negara dicipta.

2. Matlamat ke Arah Kesejahteraan

Rukun Negara dibentuk untuk mendukung cita-cita mencapai beberapa matlamat. Setiap matlamat ini berperanan bagi melahirkan sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu padu, aiuan dan sejahtera.

3. Matlamat Rukun Negara

i. Masyarakat Demokratik

Kita mendukung cita-cita hendak memelihara cara hidup demokratik apabila rakyat bertindak melalui parlimen yang dilantik menerusi perlembagaan. Perlembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan berpolitik asalkan tidak melanggar undang- undang negara. Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum.

ii. Negara Bersatu

Kita mendukung cita-cita untuk mencipta satu bangsa dan negara yang bersatu padu. Setiap ahli masyarakat menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Mereka mempunyai kesetiaan dan cinta akan negara.

iii. Masyarakat Liberal

Kita mendukung cita-cita hendak memelihara wujudnya satu masyarakat yang liberal. Ahli masyarakat bebas mengamalkan agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan kepentingan perpaduan negara.

Ahli masyarakat bercita-cita mencipta satu masyarakat yang boleh menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia.

iv. Masyarakat Progresif

Kita mendukung cita-cita hendak menegakkan satu masyarakat yang progresif mengikut kemajuan sains dan teknologi di samping mengamalkan nilai-nilai ketuhanan. Masyarakat progresif adalah satu masyarakat yang bergerak maju sejajar dengan perubahan dan kemajuan pada bangsa dan negara.

v. Masyarakat Adil

Kita mendukung cita-cita untuk mencipta satu masyarakat yang adil apabila semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara.

Masyarakat yang adil akan wujud apabila pihak yang lemah dan berkurangan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dan bebas daripada penindasan.

4. Prinsip Rukun Negara

Rukun Negara mempunyai lima prinsip yang perlu dihayati oleh rakyat Malaysia.

i. Kepercayaan kepada Tuhan

Prinsip ini menunjukkan bahawa agama menjadi panduan hidup untuk membentuk keperibadian yang baik dan landasan dalam membina keharmonian kaum. Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan.

Agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram. Kita perlu saling memahami dan menghormati serta bertoleransi dalam aspek keagamaan.

ii. Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Prinsip ini menjelaskan bahawa negara kita mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Raja merupakan simbol penyatuan dan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Pengamalan prinsip ini dapat melahirkan rakyat yang menghormati simbol kedaulatan negara, mematuhi undang-undang, berusaha untuk meningkatkan imej negara dan berani mempertahankan kedaulatan negara serta mempunyai ciri patriotisme yang teguh.

iii. Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini membawa maksud ketertinggian dan juga keagungan perlembagaan atau undang-undang.

Perlembagaan berfungsi memberikan perlindungan dan hak kepada setiap anggota masyarakat dalam negara. Prinsip ini menekankan supaya rakyat dapat menerima, mematuhi dan mempertahankan kemuliaan perlembagaan.

iv. Kedaulatan Undang-undang

Prinsip ini menuntut setiap rakyat menghormati undang- undang, tidak melakukan kesalahan di sisi undang- undang dan berusaha untuk menyokong penguatkuasaannya.

Rakyat perlu bertanggungjawab mempertahankan dan memelihara kedaulatan undang- undang daripada dicabaroleh mana-mana pihak demi mengekalkan kehidupan yang aman dan harmoni.

v. Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ini adalah untuk memastikan bahawa setiap rakyat perlu sentiasa bersopan santun, hormat- menghoimati dan berakhlak mulia. Kesopanan dan kesusilaan dapat menjamin hubungan baik sesama kaum agar terus kekal terpelihara.

Prinsip ini menjadi garis panduan yang perlu dijadikan amalan dan disemai dalam diri setiap rakyat Malaysia. Penghayatan nilai murni akan melahirkan suasana yang harmoni dan saling bertolak ansur.

Similar Posts