|

Sejarah Tingkatan 5 Bab 6 –  Cabaran Selepas Pembentukan Malaysia

Cabaran Selepas Pembentukan Malaysia

6.1 Cabaran Dalaman Malaysia

Pembentukan Malaysia membuktikan kejayaan Persekutuan yang terdiri daripada 13 buah negeri terpaksa berhadapan dengan cabaran dalaman kerana mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik. Negara perlu mewujudkan keseimbangan pembangunan dan sosioekonomi.

Cabaran utama Malaysia adalah dalam bidang pembangunan dan ekonomi terutama di Sarawak dan Sabah selain menghadapi cabaran dalam persaingan politik yang boleh menggugat perpaduan kaum. Ancaman komunis turut menjadi cabaran bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan negara.

Cabaran yang Dihadapi oleh Malaysia

Negara kita menghadapi pelbagai cabaran selepas pembentukan Malaysia. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah pembangunan dan sosioekonomi di Sarawak dan Sabah, krisis politik di Sarawak dan perpaduan kaum.

1. Cabaran Pembangunan dan Sosioekonomi di Sarawak dan Sabah

Pembentukan Malaysia menawarkan peluang ekonomi yang lebih luas kepada semua negeri. Hasil bahan asli yang disumbangkan oleh Sarawak dan Sabah meningkatkan jumlah eksport negara.

Pengeluaran ekonomi negara bertambah daripada getah dan bijih timah kepada lada hitam, petroleum, minyak kelapa sawit, kayu balak dan koko. Walau bagaimanapun, negara menghadapi cabaran bagi menyeimbangkan pembangunan dan ekonomi di kedua-dua negeri ini.

A. Mempelbagaikan Kegiatan Ekonomi

Sarawak dan Sabah mempunyai kekayaan hasil bumi yang banyak, namun rakyat masih mengamalkan pertanian sara diri. Bagi melibatkan rakyat dengan aktiviti ekonomi komersial, maka kerajaan perlu menyusun bidang pekerjaan.

Dalam usaha menghadapi cabaran ini, kerajaan mempelbagaikan pertanian komersial seperti kelapa sawit, getah dan koko. Kerajaan juga membuka peluang kepada penduduk menyertai kegiatan ekonomi berkaitan dengan petroleum.

B. Memajukan Sistem Perhubungan dan Pengangkutan

Saiz negeri yang besar bagi Sarawak dan Sabah menjadi cabaran dalam bidang perhubungan dan pengangkutan. Kedua-dua negeri masih bergantung pada sistem pengangkutan air (sungai dan laut) bagi tujuan perhubungan.

Tugas utama kerajaan adalah untuk membina sistem perhubungan dan pengangkutan terutama kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Usaha menyeimbangkan pembangunan dilakukan melalui Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia. Sarawak dan Sabah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966.

C. Memajukan Sistem Pendidikan

Kebanyakan sekolah yang wujud pada zaman British ialah sekolah vernakular Inggeris dan Cina yang berada di kawasan bandar. Penduduk di kawasan pedalaman tidak mendapat peluang secukupnya untuk bersekolah.

Usaha ditumpukan untuk membina sekolah dan melatih tenaga guru bagi memberikan pendidikan kepada penduduk, khususnya kaum bumiputera.

2. Cabaran Politik di Sarawak

Krisis perlembagaan berlaku di Sarawak pada bulan Jun 1966, apabila 21 orang ahli Council Negri tidak berpuas hati dengan kepimpinan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak. Beliau dipecat oleh Gabenor pada bulan Jun 1966.

Stephen Kalong Ningkan mencabar tindakan ini di Mahkamah Tinggi Sarawak dan memenangi kes ini pada bulan September 1966. Beliau kembali menjadi Ketua Menteri, namun beliau mendapat undi tidak percaya daripada Council Negri.

Krisis politik menyebabkan ketidakstabilan di Sarawak serta mengancam keselamatan dan keamanan. Pada bulan September 1966, darurat diisytiharkan di Sarawak. Stephen Kalong Ningkan digantikan dengan Tawi Sli.

3. Cabaran Perpaduan Kaum

Usaha mewujudkan perpaduan kaum dan integrasi nasional merupakan cabaran besar yang dihadapi oleh Malaysia.

Penduduk negara kita mempunyai pelbagai kaum antaranya termasuklah Melayu, Cina, India, Melanau, Iban, Bidayuh, Kadazandusun, Murut dan Bajau. Dengan penduduk yang pelbagai budaya ini, perpaduan sentiasa menjadi agenda bagi pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini.

Selain itu, jarak antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah yang jauh menjadi cabaran kepada integrasi nasional serta sukar memupuk semangat satu negara.

6.2 Pemisahan Singapura

Pemisahan Singapura menjadi cabaran utama selepas pembentukan Malaysia. Masalah hubungan antara pemimpin Persekutuan dengan Singapura disebabkan faktor politik, ekonomi dan sosial yang telah ada sebelum Singapura menyertai Malaysia.

Faktor Pemisahan

1. Politik

Lee Kuan Yew tidak berpuas hati dengan peranan kerajaan Singapura yang terhad.

Konfiik antara pemimpin PAP dengan Perikatan. Kempen Malaysian Malaysia oleh Lee Kuan Yew menuntut hak sama untuk semua kaum menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk.

2. Ekonomi

Singapura menuntut pembukaan pasaran bersama (common market) disegerakan. Singapura tidak berpuas hati dengan cadangan tambahan cukai yang perlu diberikan kepada Kerajaan Persekutuan.

Singapura juga mahu mengenakan kadar faedah terhadap sebahagian daripada pinjaman sebanyak RM150 juta kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak dan Sabah.

3. Masalah Perkauman

Telah berlaku rusuhan kaum di Singapura pada 21 Julai 1964 yang menimbulkan ketegangan antara kaum. Rusuhan ini berlaku ekoran daripada usaha menuntut persamaan hak yang sama rata bagi semua kaum. Perkara ini menjadi isu antara kaum.

Pemisahan Singapura daripada Malaysia

29 Jun 1965 Kegagalan rundingan Tun Abdul Razak Hussein dengan Lee Kuan Yew

1 Julai 1965 Setelah rundingan tidak berjaya, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengarahkan Tun Abdul Razak Hussein bermesyuarat dengan beberapa menteri seperti Dr. Ismail Abdul Rahman, Tan Siew Sin dan V.T. Sambanthan untuk berbincang tentang pemisahan.

Awal Ogos 1965 Mesyuarat Khas Kabinet Malaysia bersetuju dengan rancangan pemisahan

7 Ogos 1965 Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Lee Kuan Yew menandatangani persetujuan untuk Singapura keluar daripada Malaysia.

9 Ogos 1965 Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj membawa usul pemisahan Singapura ke dalam Parlimen Malaysia. Parlimen meluluskan rang undang-undang pemisahan Singapura.

6.3 Menangani Ancaman Komunis

Kegiatan komunis menjadi ancaman kepada keselamatan negara sejak sebelum merdeka. Antara kegiatan yang dilakukan oleh komunis termasuklah melakukan serangan bersenjata terhadap anggota pasukan keselamatan, menyerap masuk ideologi komunis dan melakukan kegiatan sabotaj terhadap kemudahan awam. Kerajaan mengambil langkah yang serius untuk membanteras kegiatan komunis di negara kita.

a. Bentuk Ancaman

Komunis melakukan ancaman melalui gerakan politik dan serangan bersenjata.

i. Gerakan Politik

Gerakan komunis juga terlibat dalam politik. Mereka menentang gagasan Malaysia. Pelibatan mereka menyebabkan kerajaan Sarawak memburu dan menangkap ahli yang terlibat. Mereka melarikan diri ke Kalimantan dan membentuk Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU). PKKU meneruskan penentangan melalui Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) dan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) untuk membentuk republik komunis di Sarawak.

ii. Serangan Bersenjata

Pada 5 Ogos 1952, komunis menyerang kawasan Batu Kitang, Kuching, Sarawak yang menandakan permulaan serangan komunis terhadap orang awam.

b. Usaha Mengatasi

Kerajaan melaksanakan dua kaedah, iaitu gerakan perang saraf dan operasi ketenteraan bagi mengatasi ancaman komunis.

i. Perang Saraf

  • Pihak berkuasa mengambil langkah yang berikut:
  • Mengadakan perhimpunan awam dengan memberikan kesedaran tentang bahayanya ancaman komunis.
  • Menyebarkan risalah untuk menyampaikan maklumat tentang bahaya ancaman komunis dan menanamkan kebencian terhadap komunis.
  • Mengisytiharkan kawasan putih yang bebas daripada ancaman komunis.
  • Tawaran program pengampunan kepada anggota komunis.
  • Pembangunan infrastruktur dengan menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada penduduk.

ii. Operasi Ketenteraan

Beberapa operasi ketenteraan dijalankan, iaitu Operasi Hammer 1965 di Bahagian Pertama. Operasi oleh RASCOM pula dilaksanakan di Bahagian Ketiga. Seterusnya, Operasi Sri Aman dilancarkan di Bahagian Kedua. Semua operasi ini berjaya melemahkan gerakan komunis di Sarawak.

Operasi Hammer Sarawak

  1. Ancaman komunis di Sarawak membangkitkan semangat penentangan daripada penduduk tempatan. Penentangan berlaku kerana komunis membunuh orang awam. Kerajaan menggunakan kaedah sama yang diguna pakai dalam Rancangan Briggs untuk dilaksanakan di Sarawak. Rancangan berbentuk memenangi hati rakyat ini dinamakan Operasi Hammer.
  2. Bermula pada bulan Julai 1965, rancangan ini dilaksanakan dengan mendirikan petempatan baharu untuk seramai lebih kurang 7500 orang. Dalam tempoh tiga hari, seramai 1200 keluarga yang kebanyakannya berketurunan Hakka diarahkan berpindah ke tiga kawasan petempatan baharu sepanjang Jalan Kuching-Serian. Penempatan ini dikawal sepanjang masa dan dikenakan perintah berkurung dalam tempoh 24 jam sehari bagi melindungi penduduk daripada ancaman komunis.
  3. Operasi Hammer menyebabkan gerakan komunis di Sarawak mulai goyah. Langkah pembanterasan yang berterusan menyebabkan komunis ditangkap. Operasi Hammer tamat pada tahun 1970. Operasi Jala Raja pula dilancarkan di Asajaya di Bahagian Pertama pada awal tahun 1970.
  4. Pada 13 Oktober 1973, Bong Kee Chok, pemimpin komunis menulis surat kepada Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak bagi menyatakan hasrat untuk berunding. Selepas beberapa hari, seramai lebih kurang 500 anggota komunis keluar dari hutan dan menyerah diri.

Langkah Membanteras Ancaman Komunis

  1. 6 Julai 1965 Operasi Hammer dilancarkan. Tiga kampung baru dibuka di Bahagian Pertama.
  2. 8 Ogos 1973 Operasi besar-besaran rampasan senjata di Bahagian Ketiga
  3. 24 Februari 70 Operasi Jala Raja di Asajaya, Bahagian Pertama
  4. 8 Ogos 1971 Operasi Ngayau dilancarkan di Bahagian Ketiga
  5. 26 Mac 1972 Rajang Area Security Command (RASCOM) dibentuk di Bahagian Ketiga
  6. 21 Oktober 1973 Operasi Sri Aman dilancarkan.
  7. 4 Julai 1974 Operasi Sri Aman ditamatkan. Anggota komunis menyerah diri.
  8. 17 Oktober 1990 Perjanjian damai menamatkan ancaman komunis yang diadakan antara pihak komunis dengan kerajaan Sarawak.

c. Ancaman Keselamatan di Semenanjung Malaysia

Parti Komunis Malaya (PKM) meneruskan kegiatan mengancam keselamatan di Semenanjung Malaysia. PKM bertindak agresif dengan menyerang anggota keselamatan dan orang awam serta memusnahkan kemudahan awam.

i. Pembunuhan Anggota Keselamatan dan Orang Awam

Komunis melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan. Kemuncak ancaman komunis ialah pembunuhan pegawai kanan polis.

  • Pada 17 Jun 1968, PKM telah melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan di Kroh, Perak yang mengorbankan seramai 16 anggota keselamatan.
  • Pada 7 Jun 1974, menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim di Kuala Lumpur.
  • Pada 13 November 1975, menembak mati Ketua Polis Negeri Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong dan pemandunya di Ipoh.

Selain itu, orang awam dan kemudahan awam turut menjadi sasaran komunis.

  • Pada bulan Julai 1969, seorang wanita diseksa sehingga mati di Sintok, Kedah.
  • Periuk api dipasang di sepanjang Jalan Changlun, Kedah.
  • Jalan raya dan jambatan kereta api diletupkan.

ii. Pengeboman Tugu Negara

Pada pagi 26 Ogos 1975, PKM meletupkan Tugu Negara di Kuala Lumpur. Tindakan mengebom tempat awam menimbulkan kemarahan rakyat terhadap komunis dan menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas termasuklah mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Pihak keselamatan telah mengambil langkah bagi mengawasi kegiatan komunis.

Usaha Mengatasi
Terdapat pelbagai langkah yang diambil bagi melindungi rakyat dan orang awam daripada ancaman komunis. Antara langkah yang diambil termasuklah:

1. Strategi Counterinsurgency (COIN)

Langkah ini merupakan usaha keselamatan dan pembangunan untuk memenangi hati dan fikiran rakyat bagi menyokong agenda dan dasar kerajaan memerangi komunis. Strategi yang digunakan ialah kerjasama antara pasukan keselamatan, ahli politik dan agensi kerajaan untuk menjalankan strategi COIN yang berkesan.

2. Perjanjian Kerjasama Sempadan

Usaha membanteras komunis menghadapi masalah kerana mereka membina khemah di luar sempadan negara. Oleh itu, langkah utama yang diambil seperti mengadakan persefahaman antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Thailand melalui Perjanjian Kerjasama Sempadan Memerangi Komunis 1976 di Thailand. Antara langkah yang dijalankan termasuklah membina pagar sempadan dan operasi bersama.

Perjanjian Hat Yai pula diadakan pada 2 Disember 1989 di Hat Yai, Thailand antara PKM, Malaysia dan Thailand. PKM bersetuju membubarkan unit bersenjata serta memusnahkan segala senjata api, bahan letupan dan jerangkap samar.

6.4 lsu Pembangunan dan Ekonomi

Kerajaan telah membentuk rancangan pembangunan lima tahun bagi memastikan usaha pembangunan dan ekonomi nasional dapat dilaksanakan di semua negeri. Kerajaan Persekutuan meneruskan usaha ini dengan melibatkan Sarawak dan Sabah dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia sebaik-baik terbentuknya Malaysia.

Rancangan Malaysia Pertama

Dalam usaha menangani isu pembangunan dan ekonomi negara, kerajaan memperkenalkan Rancangan Malaysia Pertama. Antara isu yang dihadapi termasuklah kedudukan sosioekonomi penduduk berpendapatan rendah serta taraf pendidikan yang masih rendah. Pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup ekonomi rakyat melalui rancangan ini.

Isu Pembangunan Ekonomi

Terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk. Antaranya termasuklah kurangnya penyediaan bantuan kewangan oleh institusi kewangan bagi pengusaha bumiputera. Selain itu, kemudahan pengangkutan dan perhubungan terutama di kawasan luar bandar juga perlu ditambah baik.

ISU
– Terlalu bergantung pada eksport getah dan bijih timah.
– Kejatuhan harga bahan mentah. Penduduk yang terlibat dalam bidang pertanian masih ketinggalan terutama penggunaan teknologi dan peralatan. Petani masih merupakan golongan berpendapatan rendah.
– Pertanian komersial lain masih kurang diusahakan oleh petani.

Usaha Mengatasi
– Mempelbagaikan kegiatan ekonomi pertanian dan industri pemprosesan.
– Mencari pasaran baharu bagi getah dan bijih timah.
– Mempelbagaikan bidang pertanian terutama kelapa sawit dan koko.
– Mempelbagaikan pengeluaran komoditi negara.

ISU – Taraf hidup yang berbeza.

Usaha Mengatasi
– Melancarkan program pembangunan negara berasaskan satu rancangan bersepadu.
– Menggerakkan aktiviti perkilangan dan pembuatan negara dengan membuka kawasan baharu.
– Mempercepat integrasi dalam kalangan penduduk dan negeri di Malaysia.
– Mendapatkan bantuan Bank Dunia.

ISU
– Peluang pekerjaan yang terhad.
– Kadar pengangguran meningkat.

Usaha Mengatasi
– Menubuhkan pusat latihan vokasional dan teknikal.
– Meluaskan peluang pekerjaan kepada penduduk.

ISU
– Masalah kesihatan dan social.
– Keperluan asas dan hak wanita dari segi kehamilan yang terhad untuk memperoleh kesihatan terbaik.
– Kurangnya kemudahan perkhidmatan kesihatan profesional kepada ibu-ibu yang mengandung.
– Kadar kelahiran tidak normal dan kematian yang tinggi.

Usaha Mengatasi
– Mengurangkan kadar kelahiran.
– Memperkenalkan program Perancang Keluarga.
– Menambah baik perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar.

6.5 Tragedi Hubungan antara Kaum

Peristiwa rusuhan antara kaum berlaku pada 13 Mei 1969, bermula beberapa hari setelah diadakan Pilihan Raya Umum Ketiga. Keputusan pilihan raya menyebabkan berlakunya ketegangan antara penyokong parti politik yang memprovokasikan keadaan.

Situasi ini mencetuskan rusuhan antara kaum di negara kita. Rusuhan yang berlaku lebih tertumpu di Kuala Lumpur, Selangor dan kawasan di sekitarnya.

1. Rusuhan Kaum

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya rusuhan kaum di negara kita. Antaranya termasuklah:

  • Kesan daripada ketidakseimbangan dalam ekonomi dan sosial di negara kita.
  • Keadaan dan keputusan Pilihan Raya Umum Ketiga 1969 merupakan sebab utama tercetusnya peristiwa ini. Ketegangan bermula dengan kempen pilihan raya. Terdapat parti politik mengeksploitasi isu yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum semasa berkempen.
  • PKM mengambil kesempatan semasa pilihan raya untuk mempengaruhi penduduk supaya bermusuhan antara kaum.
  • Parti yang bertanding telah berkempen menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mendapat sokongan daripada pengundi.
  • Perarakan kemenangan pilihan raya tidak terkawal menimbulkan kekacauan dan perbuatan provokatif.

2. Langkah bagi Mengatasi Masalah

Langkah yang Diambil bagi Mengatasi Masalah Peristiwa 13 Mei 1969

Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan berlaku ketegangan hubungan antara kaum. Langkah serta- merta telah diambil bagi mengelakkan kekacauan dan menghentikan rusuhan serta menghalang daripada merebak ke bandar-bandar lain. Antara langkah yang diambil termasuklah pengisytiharan darurat, pembentukan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan peranan yang dimainkan oleh Raja-raja Melayu.

a. Darurat

Pengisytiharan perintah darurat dibuat oleh Yang di- Pertuan Agong pada 16 Mei 1969 ke seluruh negara. Antara perkara yang diputuskan termasuklah:

  1. Perlembagaan digantung manakala Parlimen ditangguh.
  2. Mewujudkan pusat perlindungan di beberapa tempat semasa darurat.
  3. Pihak polis menguatkuasakan perintah berkurung. Orang ramai tidak dibenarkan keluar dan dikehendaki tinggal di kediaman masing-masing.
  4. Penubuhan jawatankuasa bertugas untuk menyusun semula perkhidmatan penerangan kerajaan
  5. Semua berita daripada pihak media ditapis bagi memastikan kesahihannya.
  6. Kerajaan juga memastikan bekalan makanan diperoleh penduduk terutama di pusat perlindungan.
  7. Mangsa rusuhan dipindahkan ke pusat perlindungan di Stadium Merdeka dan Tiong Nam Settlement. Semangat saling membantu ketika ketegangan dalam kalangan anggota masyarakat dapat dilihat di pusat perlindungan ini.
  8. Pihak berkuasa memagar kawasan Kampung Baru dan menjadikannya kawasan perintah berkurung yang besar. Sementara itu, tentera memberikan perlindungan kepada penduduk yang berlindung di beberapa kem tentera.

b. Majlis Gerakan Negara [MAGERAN]

Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein.

Ahlinya terdiri daripada pegawai perkhidmatan awam, pegawai tinggi polis dan tentera. MAGERAN diberi kuasa memerintah semasa darurat dari 16 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971 dan bertanggungjawab mengawal ketenteraman negara. Fokus utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi.

Tanggungjawab MAGERAN termasuklah:

  • Mengembalikan keamanan dan undang-undang
  • Menentukan pentadbiran yang licin dalam negara
  • Mengembalikan keharmonian dan kepercayaan antara kaum dalam negara
  • Menggantung sementara penerbitan semua akhbar sehingga keadaan negara kembali tenang
  • Menguatkuasakan Akta Hasutan 1948.
  • Jabatan Penerangan menapis berita palsu dan menerangkan usaha kerajaan

C. Peranan Raja

Raja-raja Melayu turut memainkan peranan dalam usaha memulihkan keadaan negara. Semasa berlakunya rusuhan kaum, Sultan Perak, Sultan Idris Iskandar Shah II, menasihati rakyat agar menjaga keamanan.

Berikutan itu, pemimpin masyarakat dan politik negeri Perak menubuhkan Jawatankuasa Muhibah. Jawatankuasa ini menulis surat merayu penduduk agar bertenang dan membantu negara mengekalkan keamanan.

Similar Posts