|

Contoh Karangan SPM: Punca kemalangan jalan raya

Karangan SPM: Punca kemalangan jalan raya

Kes kemalangan jalan raya merupakan isu yang semakin teruk di negara kita. Apakah punca kemalangan jalan raya berlaku di negara kita?

Punca kemalangan jalan raya berlaku

‘Lima sekeluarga mati akibat kemalangan ngeri’ antara petikan tajuk akbar berita utama yang sering menjadi tatapan pembaca seluruh warga Malaysia, kes kemalangan seperti ini acap kali terjadi pada musim perayaan. Masalah ini bukan isu baharu dalam masyarakat tetapi merupakan isu yang tiada berkesudahan malah bertambah teruk setiap tahun. Masyarakat pula tidak mengambil cakna dengan peningkatan kes kemalangan yang berlaku selagi tidak melibatkan ahli keluarga mereka atau mereka sendiri yang terlibat dalam kemalangan, maka mereka tidak prihatin terhadap kes yang berlaku. Walhal, kes kemalangan ini dapat dikurangkan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mencari titik penyelesaian terhadap isu yang sudah bersarang lama dalam masyarakat.

Sikap cuai dan lalai pengguna jalan raya

Punca utama yang perlu diteliti ialah sikap cuai dan lalai pengguna jalan raya itu sendiri. Mereka selalu melakukan tindakan tanpa melihat terlebih dahulu kiri dan kanan. Sikap seperti seekor ayam yang hendak melintas boleh mengundang bahaya kepada semua pengguna jalan raya yang lain. Kebanyakan pengguna jalan raya tidak fokus dalam pemanduan kereta atau motosikal. Mereka leka dengan gajet yang terpasang pada kenderaan sehingga mereka tidak sedar akan kehadiran pejalan kaki yang melintas jalan. Oleh itu, pengguna perlu melihat kembali diri dan cara mereka mengendalikan kenderaan ketika berada di atas jalan raya.

Keadaan kenderaan

Selain sikap individu tersebut menjadi punca kemalangan, keadaan kenderaan juga menjadi faktor kemalangan berlaku. Kegilaan peminat kenderaan bermotor bagai tiada had dan batasannya. Mereka akan melakukan segala modifikasi atas kenderaan mereka sehingga kenderaan tersebut mencapai tahap kelajuan yang diingini mereka. Ada juga pemilik kenderaan bersikap sebaliknya, mereka mengabaikan langsung penjagaan kenderaan seperti penyelenggaraan minyak hitam, minyak brek dan tayar. Sikap ini menyebabkan kenderaan tidak berada dalam keadaan yang baik ketika berada di atas jalan raya. Oleh itu, kenderaan mestilah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk bergerak untuk mengelakkan kemalangan.

Keadaan jalan raya

Seterusnya, kemalangan juga terjadi disebabkan keadaan jalan raya. Saban hari pasti ada sahaja kes kemalangan disebabkan keadaan jalan raya yang berlubang dan tidak rata. Kebiasaannya, mangsa kemalangan ini ialah pengguna kenderaan kecil seperti motosikal dan basikal. Selain itu, jalan raya yang tidak dinaik taraf turut menjadi faktor peningkatan kes kemalangan jalan raya. Jumlah kenderaan yang semakin banyak pada waktu puncak tidak dapat ditampung oleh jalan raya yang sempit. Keadaan begini pasti mengundang kemalangan jalan raya. Tegasnya, keadaan jalan raya yang tidak dinaik taraf ini perlulah dimasukkan dalam bajet pembangunan ngara agar pada tahun mendatang tiada isu yang boleh mengecewakan hati rakyat.

Binatang liar yang berada di jalan raya

Di samping masalah yang disebabkan keadaan jalan raya, kemalangan juga terjadi disebabkan kehadiran binatang liar yang berada di jalan raya. Kehadiran haiwan liar di jalan raya pada waktu malam amat berbahaya kerana boleh mengundang kemalangan . Ada juga kes kemalangan yang melibatkan binatang peliharaan seperti anjing. Tindakan di luar jangka oleh anjing tersebut menyebabkan pengguna kenderaan di jalan raya menjadi panik, terkejut dan takut lalu melakukan tindak balas yang boleh mengundang kemalangan. Sebagai contoh, apabila disergah anjing, penunggang motosikal akan terperanjat lalu terjatuh daripada motosikalnya. Lebih malang lagi jika anjing tersebut menyerang penunggang motosikal yang telah terjatuh tadi.

Penutup Karangan Punca kemalangan jalan raya

Secara tuntasnya, setiap masalah pasti akan ada penyelesaiannya, begitu juga kes kemalangan jalan raya pasti akan ada penyelesaiannya yang boleh mengurangkan peningkatan kes kemalangan setiap tahun. Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang masih membelenggu masyarakat dan bukan sekadar menuding jari menyalahkan semua pihak atas sikap kita sendiri yang cuai dan lalai ketika memandu kenderaan. sebaliknya, kita perlu sama-sama berganding bahu bekerjasama mencari satu solusi yang jitu bagi menyelesaikan masalah yang tiada titik noktah ini.


Contoh Karangan: Langkah mengurangkan kemalangan jalan raya

Similar Posts