Contoh Karangan – Kepentingan Alam Sekitar

Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Tulis karangan tentang Kepentingan Alam Sekitar.
Kandungan
Kepentingan Memelihara dan Memulihara Alam Sekitar
Alam sekitar meliputi segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi. Alam sekitar memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan harian kita. Namun, aktiviti-aktiviti pembangunan di negara kita telah sedikit sebanyak menjejaskan alam sekitar. Persoalannya, apakah kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar?
Manusia dapatmenyedut udara yang segar
Kepentingan Alam Sekitar pertama ialah kita boleh menyedut udara yang segar apabila alam sekitar terpelihara. Udara yang bersih dan segar amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih sentiasa dipenuhi dengan tumbuhan menghijau yang membebaskan oksigen ke udara. Dengan ini, badan kita akan memperoleh bekalan oksigen yang secukupnya. Persekitaran yang bersih dan segar, kita dapat melakukan aktiviti luar seperti beriadah dengan selesa. Dengan ini, kesihatan kita juga akan terjamin.
Menjamin keseimbangan ekosistem
Selain itu, pemeliharaan alam sekitar akan dapat menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara akan menjamin kita memperoleh sumber air. Hal yang demikian kerana hutan dapat berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan sekiranya hutan tidak dimusnahkan. Hutan-hutan akan menakung air huja secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Dengan yang demikian, kita akan memperoleh bekalan air yang cukup untuk memenuhi keperluan hidup.
Menghindari kepupusan flora dan fauna
Pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar juga dapat menghindari kepupusan flora dan fauna. Hal yang demikian kerana alam sekitar merupakan habitat flora dan fauna yang memainkan peranan untuk mengekalkan alam semula jadi dan saling berkaitan antara satu sama yang lain. Flora dan fauna merupakan biodiversiti yang tidak boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat perlindungan pelbagai fauna.
Memajukan industri pelancongan negara
Sebenarnya, pemeliharaan alam sekitar boleh memajukan industri pelancongan negara juga. Keindahan alam sekitar dan persekitaran bersih dapat menarik kunjungan pelancong dari luar negara ke negara kita. Dengan ini, industri pelancong dapat dibangunkan serta meningkatkan pendapatan negara. Melalui aktiviti tersebut, peluang pekerjaan juga akan bertambah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran serta meningkatkan taraf hidup penduduk. Justeru, penjagaan terhadap alam sekitar merupakan tanggungjawab kita.
Penutup Karangan Kepentingan Alam Sekitar
Kesimpulannya, kita harus berganding bahu demi menjaga alam sekitar yang masih ada. Usaha-usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar perlu dilaksanakan secara berterusan. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama demi pembangunan lestari tersu dikekalkan.