| |

Contoh Karangan SPM: Kesan pertumbuhan penduduk negara

Kesan pertumbuhan penduduk negara

Negara kita pernah merancang untuk mempunyai jumlah penduduk mencecah 70 juta. Dasar ini dijangka mampu membawa banyak kesan positif dan negatif. Jadi, huraian kedua-dua kesan yang bakal timbul jika pertumbuhan penduduk negara Malasyia mencecah 70 juta orang.

Kesan pertumbuhan penduduk negara

Malaysia memang mempunyai impian untuk memiliki penduduk yang ramai, iaitu 70 juta menjelang 2020. Mungkin ada pihak yang ketawa besar mendengar impian tersebut. Namun, kalau kita kaji kebanyakan negara jiran kita selain Singapura mempunyai jumlah penduduk yang jauh lebih banyak daripada Malaysia. Jadi, impian itu memang ada asasnya cuma dasar ini mempunyai banyak impak positif dan negatif terhadap pembangunan negara.

Pembangunan negara yang lebih seimbang

Alasan yang paling ketara ialah negara kita masih mempunyai kawasan yang luas berbanding dengan negara jiran yang lain. Negara kita hanya mempunyai kepadatan penduduk di kawasan berhampiran bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Ipoh, dan Seremban. Keadaan ini menyebabkan pengurusan sumber manusia dan alam sekitar tidak berjalan dengan baik. Keperluan lebih ditumpukan terhadap penduduk di kawasan bandar sehingga menyebabkan penduduk di kawasan desa terpinggir. Jadi, pertambahan penduduk yang ramai memastikan pembangunan negara menjadi lebih seimbang kerana jumlah penduduk akan berkembang ke kawasan pedalaman.

Keperluan sumber manusia dipenuhi

Selain itu, penduduk yang ramai memastikan keperluan sumber manusia akan mampu dipenuhi. Setiap tahun negara kita memerlukan tenaga muda untuk meneruskan pembangunan negara. Melalui pertambahan penduduk yang pesat keseimbangan generasi muda dan tua mampu dikawal dengan baik. Kita tidak akan kekurangan sumber manusia kerana mempunyai lapisan penduduk muda yang banyak. Situasi ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang stabil.

Pertambahan kuasa ekonomi

Malah, kalau kita kaji, negara-negara kuasa ekonomi dunia mempunyai penduduk yang ramai. Jumlah penduduk yang ramai menyebabkan negara tersebut dapat memiliki pasaran dalaman yang luas untuk keperluan ekonomi mereka. Jepun, Amerika Syarikat, dan China mempunyai penduduk yang ramai sehingga syarikat tempatan mereka tidak memerlukan pasaran luar untuk produk mereka. Jadi, penduduk yang ramai baik untuk perkembangan syarikat tempatan.

Kos perbelanjaan negara bertambah

Namun, pertambahan penduduk menyebabkan kos perbelanjaan negara akan bertambah. Kerajaan sudah pasti terpaksa menyediakan lebih banyak kemudahan awam seperti hospital, sekolah, dan sebagainya untuk menampung penduduk yang bertambah itu. Keadaan ini menyebabkan jumlah kewangan kerajaan akan terjejas sedikit demi sedikit. Kegagalan untuk memastikan kewujudan kemudahan awam akan membawa bencana kepada rakyat negara ini.

Persaingan dalam semua aspek

Malahan, keadaan penduduk yang ramai menyebabkan berlakunya persaingan dalam semua aspek terutama pekerjaan. Keadaan ini jika tidak dikawal akan menyebabkan kadar pengangguran bertambah secara mendadak. Pertambahan kadar pengangguran akan membawa munculnya pelbagai masalah sosial yang lain seperti peningkatan kes jenayah dan penagihan dadah. Semua ini akan membawa kesan negatif kepada negara dan masyarakat secara keseluruhannya.

Kesimpulan Karangan pertumbuhan penduduk

Kesimpulannya, pertambahan penduduk negara harus diselia dengan rapi. Kita tidak mahu jumlah penduduk yang ramai tetapi taraf hidup atau perbezaan taraf hidup antara masyarakat begitu jauh seperti yang berlaku di India dan Indonesia. Dalam memastikan jumlah rakyat bertambah, kerajaan harus memastikan taraf kesihatan, pendidikan, dan ekonomi terus berkembang sejajar dengan jumlah penduduk.


Sumber:
1. [Utusan Malaysia] Pertumbuhan penduduk Malaysia menurun
2. [Astro Awani] Terengganu alami fenomena kurang penduduk

Similar Posts